Pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne berkata beliau langsung tidak bersimpati terhadap Liverpol selepas pasukannya berjaya menidakkan impian The Reds untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 1 mata sahaja.
Manchester City berjaya memenangi kesemua 14 perlawanan terakhir liga mereka untuk mengejar lalu memintas Liverpool dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris paling sengit pernah kita saksikan.
Liverpool berjaya mengutip 97 mata selepas mengharungi 38 perlawanan, kutipan mata ke-3 tertinggi sepanjang sejarah Liga Perdana Inggeris tetapi ia belum cukup untuk memberikan trofi yang mereka sangat dambakan itu.
Melihat pada kesungguhan Liverpool untuk muncul juara liga, De Bruyne berkata ia adalah satu pencapaian yang hebat tetapi beliau langsung tidak berasa simpati terhadap anak buah Jurgen Klopp.
“Memang ia pencapaian yang hebat, tetapi ia juga memberi makna yang kami merupakan pasukan yang lebih baik pada penghujungnya.”
“Saya tidak berasa simpati terhadap Liverpool kerana saya rasa mereka tidak akan berasa perkara yang sama terhadap kami. Saya rasa tiada siapa yang simpati terhadap cara kami tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah. Anda harus menerimanya.”
“Saya tahu apa perasaan Liverpool kerana saya juga pernah berasa kecewa. Kami pon akan merasai perasaan yang sama jika ia berlaku terhadap kami.”
“Tetapi Manchester City dan Liverpool masih lagi pesaing. Ia merupakan pertarungan yang hebat. Saya boleh faham dengan apa yang mereka lalui, tetapi untuk berasa simpati mungkin agak keterlaluan.”
Walaupun Manchester City diambang untuk menjadi pasukan pertama meraih treble di peringkat domestik, ia merupakan musim yang cukup mengecewakan buat De Bruyne. Beliau adalah pemain terbaik Manchester City musim lepas tetapi musim ini menyaksikan beliau lebih banyak menghabiskan masa dalam bilik rawatan selepas dibelenggu masalah kecederaan yang berterusan.
Pemain berusia 27 tahun ini hanya melakukan 18 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris disebabkan dua kecederaan di bahagian kaki yang berasingan selain beberapa lagi masalah lain.
Beliau kembali dari kecederaan untuk duduk di bangku simpanan ketika Manchester City mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris di Brighton minggu lalu. Kini pemain antarabangsa Belgium ini nekad untuk membantu pasukannya mengesahkan kejuaraan treble musim ini dengan menumpaskan Watford dalam perlawanan akhir Piala FA hujung mingg ini.
“Ini adalah tahun dimana saya melalui permulaan yang cukup buruk apabila mengalami dua kecederaan serius. Saya berjaya kembali dalam cara yang betul tetapi yang nyata, badan saya tidak boleh menghadapi perlawanan yang banyak musim in.”
“Saya berasa gembira keraan dapat kembali ke dalam pasukan untuk mengambil trofi di Brighton tempoh hari dan sekarang kami mempunyai satu lagi final.”