De Gea: Kekalahan Di Tangan West Brom Sukar Untuk Dihadam

Penjaga gol Manchester United, David De Gea mengakui kekalahan di tangan pasukan tercorot liga, West Brom hujung minggu lalu amat sukar untuk diterima dan beliau sendiri terkejut United tewas dalam perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Old Trafford hujung minggu lalu, Manchester United memerlukan kemenangan  bagi menghidupkan peluang mereka untuk mengejar Manchester City tetapi perkara sebaliknya yang berlaku apabila mereka tumpas di hadapan penyokong sendiri di tangan pasukan paling corot liga.

De Gea tidak tidur malam teringatkan kekalahan di tangan pasukan tercorot liga

Kekalahan ini berlaku selepas mereka mencatatkan keputusan luar biasa menentang Manchester City di Etihad pada minggu sebelumnya, bangkit dari ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan 3-2 untuk memusnahkan harapan Pep Guardiola menyambut kejuaraan liga pada hari tersebut.

Dengan kekalahan tersebut, Manchester City mengesahkan status mereka sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim 2017/2018 selepas menang ke atas Spurs 3-1 sehari sebelum United tewas.

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengecam persembahan sesetengah pemainnya dan menggelar mereka sebagai ‘pakar dalam merumitkan keadaan’ kerana mempamerkan aksi yo-yo musim ini.

Manchester United akan meneruskan aksi Liga Perdana Inggeris dengan melakukan kunjungan ke Bournemouth awal pagi esok dalam usaha mereka untuk menambahkan jurang dengan penghuni tangga ke-3, Liverpool.

Lukaku penjaring tunggal ketika United menang tipis 1-0 ke atas Bournemouth hujung tahun lalu

United, Liverpool, dan Spurs kini sedang bersaing sengit untuk merebut slot automatik bermain di Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan dengan liga berbaki 4 perlawanan sahaja lagi.

Selepas melihat Liverpool merapatkan jurang dengan United menjadi 1 mata, David De Gea telah menggelar pertemuan menentang Bournemouth awal pagi esok sebagai perlawanan wajib menang buat United.

“Kekalahan di tangan West Brom sukar untuk diterima. Ia merupakan tamparan yang sangat hebat dan moral seluruh pasukan sedikit jatuh.”

“Ia merupakan kekalahan yang tidak dijangka sama sekali tetapi apa yang bagus adalah kami mempunyai perlawanan dalam masa terdekat untuk memperbetulkan keadaan. Ini merupakan peluang terbaik buat kami untuk kembali mencatatkan kemenangan.”

“Apa yang perlu kami lakukan sekarang adalah untuk memastikan Manchester United mengakhiri musim ini di kedudukan ke-2. Itu perkara terbaik yang perlu kami lakukan sekarang.”

“Kami perlu mempamerkan persembahan yang baik untuk mendapatkan kemenangan ke atas Bournemouth supaya tempat kedua berada dalam genggaman Manchester United.”

De Gea menepati ramalan apabila dinamakan sekali lagi dalam pasukan terbaik tahunan PFA musim 2017/2018

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata selepas tewas di tangan West Brom yang beliau akan melakukan perubahan dalam skuadnya bagi pertemuan penting menentang Tottenham dalam separuh akhir Piala FA hujung minggu ini.

Mourinho turut menambah pemain yang mempamerkan aksi yang cemerlang menentang Bournemouth akan beraksi di Wembley pada Ahad nanti.

Tempat pemain utama seperti Alexis Sanchez dan Paul Pogba tidak terjamin kerana Mourinho juga berkata beliau tidak memilih pasukan berdasarkan nilai perpindahan pemain atau gaji yang diterima mereka.

BACA:  Analisis Aras Tinggi: 7 Sebab Manchester United Kalah Bermaruah Di Tangan Real Sociedad