Arsenal berjaya naik ke tangga kelima liga, satu mata di belakang West Ham United yang berada di tangga keempat selepas menewaskan Wolverhampton Wanderers di tempat lawan.
Perlawanan bermula dengan agak sengit dan rancak dengan kedua-dua pasukan dilihat bernafsu untuk menjaringkan gol awal. Pada minit ketujuh, hantaran Ruben Neves ke dalam kotak penalti kepada Leander Dendoncker ditampan oleh Thomas Partey dan hampir menghadiahkan gol sendiri kepada Wolverhampton.
Nasib baik penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale dilihat cukup fokus dan mudah menangkap bola tersebut.
Pada minit ke-25, sepakan percuma Arsenal disepak lemah oleh Neves dan bola melantun ke arah Ben White yang kemudiannya menanduk bola kepada Alexander Lacazette di tengah kotak penalti.
Penjaga gol Wolverhampton, Jose Sa, telah melakukan kesilapan apabila dia mencabar bola yang menuju ke arah Lacazette namun tidak berjaya menyentuh bola walau sedikit, lantas bola bergolek ke hadapan Gabriel yang kemudiannya mudah menolak masuk dari kotak enam ela.
Cuba bangkit, Wolves melancarkan serangan balas dan pada minit ke-36, Raul Jimenez menanduk bola hantaran silang dari sebelah kanan padang namun tandukan lemah tersebut dengan mudah ditangkap oleh Ramsdale.
Pada penghujung separuh masa pertama, Bukayo Saka bermain satu dua dengan Martin Odegaard sebelum menolak bola ke tengah kepada Lacazette yang kemudiannya melakukan satu rembatan ke arah gol lawan.
Tapi sayang, rembatan tersebut tepat ke arah Jose Sa.
Pada minit ke-68, detik pelik bercampur kelakar terjadi. Gabriel Martinelli pada mulanya cuba untuk menggelecek Chiquinho namun apa yang dia mampu buat adalah sekadar berpusing-pusing di tempat sama sebelum bola keluar ke tepi padang.
Daniel Podence yang berada berhampiran dengan pantas mengambil bola untuk melakukan hantaran ke dalam bagi memulakan serangan balas ke kubu Arsenal. Ketika Podence melakukan lontaran, Martinelli telah menolak muka pemain tersebut lantas membuatkan dia terjatuh sambil menjerit “adoi!”.
Selepas menolak Podence, Martinelli berlari mengejar Chiquinho yang mendapat bola daripada lontaran ke dalam tersebut, dan tanpa membuang masa sebaik sahaja tiba berdekatan dengan pemain Wolves tersebut, Martinelli bertindak menolak Chiquinho sehingga terjatuh.
Tanpa teragak-agak, pengadil meniup wisel permainan di atas kekasaran tersebut.
Kelakarnya, sebaik tiba di depan Martinelli, pengadil melayangkan kad kuning dua kali tanpa menyimpan kad ke dalam poket terhadap pemain Arsenal tersebut, sekaligus membawa kepada penganugerahan kad merah.
I’m upset because it’s difficult to accept that as a red card. But I am proud the team fought to keep the result and the win 💪 pic.twitter.com/F5dm3adahc
— Gabriel Martinelli (@gabimartinelli) February 10, 2022
Mengulas tentang insiden ini, pengurus Arsenal, Mikel Arteta, mengatakan dia berasa agak terkejut dan pelik melihat anak buahnya dilayangkan dua kad kuning sebegitu rupa.
“Aku tak pernah tengok apa-apa yang macam ni,” ujarnya seperti yang dipetik dari The Sun.
“Aku tak pernah tengok kejadian tu sepanjang karier aku. Peraturan kata memang boleh, tapi kau [pengadil] nampak beria sangat nak buat macam tu.
“Kita letakkan pasukan kita dalam bahaya dengan kad merah tu dan kita terpaksa berusaha keras.
“Kita kena bermain dengan 11 orang untuk baki 16 perlawanan, untuk menang perlawanan dalam Liga Perdana ni sangatlah susah, apatah lagi nak menang dengan 10 pemain.”
Sebenarnya tindakan pengadil, Michael Oliver, adalah tepat.
Kad kuning pertama adalah hadiah buat Martinelli yang bertindak menolak Podence ketika lontaran ke dalam tersebut. Dia tidak menghentikan perlawanan selepas tindakan keji Martinelli itu kerana Wolverhampton sedang memulakan serangan lantas diberikan advantage.
Akan tetapi, tindakan bodoh Martinelli melakukan tolakan berlebihan ke atas Chiquinho lima saat kemudian, telah memaksa Oliver untuk menghentikan perlawanan dan melayangkan kad kuning dua kali.
Pertama, Oliver qada’ kad kuning Martinelli menolak Podence, dan kedua terjahan keras ke atas Chiquinho.
Bagi orang yang tidak tahu peraturan perlawanan, insiden ini mungkin agak pelik tetapi Oliver bertindak di dalam bidang kuasanya sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan Law of the Game daripada FIFA.
Selepas kad merah tersebut, Arsenal menerima asakan demi asakan daripada Wolverhampton, namun nasib menyebelahi mereka apabila Ramsdale sekali lagi beraksi bagaikan penjaga gol terbaik dunia dalam menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi, terutamanya pada minit ke-73 apabila Wolves melakukan cubaan menerusi Roman Saiss yang merembat kencang dari garisan kotak penalti menerusi kaki kirinya.