“Dia Pemain Terpaling Komited”- Liverpool Persoal Penyokong Mesir Persoal Salah Tinggalkan Afcon

Pembantu pengurus Liverpool, Pepijn Lijnders berkata komitmen Mohamed Salah kepada skuad kebangsaan Mesir sepatutnya tidak perlu dipersoalkan.

Salah menerima kritikan hebat di Mesir selepas bertindak meninggalkan kem Mesit di Afcon dan pulang ke Liverpool akibat kecederaan yang dialaminya.

Salah pulang ke Liverpool pada Rabu lalu untuk menerima rawatan kecederaan harmstring dan kini pemain itu dijangka terpaksa disisihkan selama empat minggu, dan berpotensi terlepas baki kempen Mesir di Afcon.

Menurut Lijnders, keputusan Salah untuk kembali ke England dilakukan secara bersama oleh pasukan perubatan Mesir dan Liverpool.

Ini akan memberikan peluang kepada Salah untuk kembali menyertai The Pharaoh pada 11 Februari sekiranya pasukan itu layak ke final Afcon.

Sebagai kapten pasukan, keputusan Salah meninggalkan kem Mesir menyebabkan kritikan dilemparkan oleh penyokong pasukan itu di negaranya sendiri.

Bekas pemain dan legenda Mesir, Ahmed Hassan yang merupakan pemain dengan penampilan terbanyak selain empat kali juara Afcon bersama negaranya menuduh Salah sengaja mencari alasan untuk meninggalkan Ivory Coast.

Hassan turut berpendapat Salah sepatutnya kekal bersama rakan sepasukannya yang lain walaupun hanya mampu berdiri dengan sebelah kaki sahaja.

Sebagai respon, Lijnders berkata: “Anda tidak sepatutnya meragui komitmen Salah. Saya tidak pernah menemui seorang pemain yang sangat baik hati secara manusiawi, yang sangat komited sebagai pemain bola sepak profesional.

“Saya tahu seluruh negara [penyokong] kecewa kerana kehilangan khidmatnya. Mereka kecewa kerana dia cedera. Dia beraksi di perlawanan pertama, menjaringkan gol dan menghasilkan assist. Dia juga adalah seorang kapten dan amat penting untuk pasukan.

“Tetapi satu-satunya sebab pasukan perubatan mereka dan Liverpool memutuskannya untuk terbang kembali ke England adalah untuk memberikan segenap peluang untuk dia tampil kembali sekiranya Mesir layak ke final.”

Hassan juga mempersoalkan mengapa pasukan perubatan Liverpool tidak boleh merawat Salah di Ivory Coast sahaja tanpa perlu pulang ke England.

Ljinders menjawab: “Indikasi awal mengatakan kecederaan hanya memerlukan rawatan beberapa hari atau seminggu. Ujian lanjut dan imbasan kemudiannya mendedahkan terdapat koyakan di bahagian harmstring.

“Ini bermakna dia hanya boleh kembali bermain selepas tiga atau empat minggu sekiranya segala yang dirancang mengikut apa yang kita mahu. Ia sepatutnya tidak ada masalah kerana selama ini Salah menjaga fizikalnya dengan baik sekali.

“Apa yang menggembirakan saya ialah bagaimana pasukan perubatan kedua-dua pasukan bekerjasama dengan rapat untuk membuat keputusan yang betul.

“Ia adalah contoh bagaimana bola sepak antarabangsa dan sebuah kelab sepatutnya bekerja dengan memberikan keutamaan kepada pemain, dan bukannya kepada keperluan satu pasukan sahaja. Ia boleh menjadi konflik kepentingan.

“Kami membuat keputusan secara bersama dan yang terbaik untuk pemain. Ia [keputusan] adalah yang terbaik untuk pemain. Kita semua tahu apa yang boleh dilakukan dengan fasiliti di sini [Liverpool].”

BACA:  Jurulatih Bola Sepak Meninggal Dunia di Tepi Padang Ketika Meraikan Gol Kemenangan Minit Akhir Pasukannya