Klopp Beri Bayangan Aktiviti Perpindahan Liverpool Masih Belum Berakhir

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memberi bayangan aktiviti perpindahan Liverpool masih belum berakhir dengan ‘Deadline Day’ semakin menghampiri.

Klopp mengakui terdapat beberapa pemain mungkin berpindah keluar dari Liverpool, tetapi tidak menolak kemungkinan akan ada pemain baru dibawa masuk ke Anfield sebelum tirai perpindahan pemain ditutup pada 9 Ogos ini.

Klopp masih lagi bernafsu walaupun telah membelanjakan hampir 170 juta pound sterling.

Liverpool merupakan salah sebuah kelab Liga Perdana Inggeris yang sibuk dalam jendela perpindahan musim panas ini, dengan membawa masuk nama-nama besar seperti Alisson, Fabinho, Naby Keita dan Xherdan Shaqiri.

Liverpool berbelanja besar untuk memperkuatkan lagi skuad yang berjaya mara ke final Liga Juara-Juara Eropah musim lepas dengan harapan utama adalah untuk menamatkan penantian mereka menjulang Liga Perdana Inggeris buat kali pertama.

Berikutan ketibaan 4 pemain tersebut, beberapa pemain sedia ada Liverpool mungkin terpaksa meninggalkan Anfield bagi mendapatkan waktu permainan yang lebih kerap.

Ketika bercakap kepada wartawan selepas melihat anak buahnya membelasah Napoli 5-0 malam tadi, Klopp mungkin membenarkan beberapa penjualan pemain dilakukan sebelum jendela perpindahan ditutup pada hari Khamis ini.

Alisson antara pemain yang melakukan debut ketika menentang Napoli awal pagi tadi

“Kita akan lihat apa yang bakal berlaku. Jika salah seorang pemain saya boleh dibeli, dan jika saya bukan pengurus Liverpool, sudah tentu saya akan membeli kesemua mereka. Mereka semua adalah pemain yang menakjubkan dan mampu bermain bola sepak dengan sangat baik.”

“Buat masa sekarang, memang benar saiz skuad ini agak besar. Tetapi itu tidak bermakna kami akan menjual pemain lebihan kami secara percuma. Liverpool lebih daripada mampu untuk menyimpan pemain lebihan ini.”

“Yang pasti, kami tidak akan memperkuatkan pasukan lain kerana itu bukan tugas kami.”

Klopp juga sempat berbicara mengenai pemain baru dan enggan menutup pintu terhadap ketibaan pemain baru. Beliau juga sudah bersedia untuk mengharungi ‘Deadline Day’ yang sibuk beberapa hari lagi.

“Saya tidak boleh ‘bunuh’ Deadline Day kegemaran anda ! Peminat duduk di depan tv sepanjang hari untuk melihat siapa yang membeli dan yang menjual. Malangnya saya tidak menontonnya kerana saya akan bekerja pada hari tersebut !”

Milner pecoh palo !

Walaupun jika Liverpool tidak membawa masuk sesiapa lagi selepas ini, Klopp mengakui beliau mempunyai skuad terkuat sejak mengambil alih tampuk pengurusan pada Oktober 2015.

“Saya rasa ini skuad terkuat, tetapi kita perlu menunggu sehingga musim ini berakhir kerana kekuatan skuad bergantung kepada musim yang mereka harungi, bukannya jendela perpindahan pemain semata-mata. Atau harga yang anda bayar untuk mendapatkan pemain baru.”

“Semuanya adalah mengenai bola sepak dan itu yang kami  perlu lakukan. Kami perlu melakukannya pada setiap hari untuk beberapa minggu yang akan datang dan anda perlu bersedia untuk berdepan beberapa detik sukar.”

BACA:  Klopp Sanggup Berhenti Rai Kemenangan Hanya Kerana Mahu Kirim Mesej Kepada Dua Pemain Ini