Dibenci Di Turki, Mengapa Perpindahan Bayindir Ke Man Utd Dirai Penuh Gembira Oleh Penyokong Feberbahce?

Penyokong Fenerbahce menyambut baik dan bergembira meraikan perkhabaran Altay Bayindir berhijrah menyertai Manchester United kerana menganggap penjaga gol itu sebagai kerugian dan berisiko besar untuk kelab mereka.

Pada usia 25 tahun, Bayindir mungkin dilihat sebagai penjaga gol kedua yang berbaloi buat United. Namun isu prestasi dan deretan kecederaan yang dialami pemain itu sepanjang bersama Fenerbahce harus menjadi kerisauan utama.

Dua perlawanan awal Manchester United pada musim ini jelas menunjukkan bahagian tengah adalah masalah terbesar yang perlu diberikan perhatian.

Namun usaha United untuk menambah kekuatan di posisi tersebut seolah-olah tiada kesinambungan tatkala usaha mendapatkan Sofyan Amrabat mengalami kesukaran.

Tatkala Dean Henderson kini hampir pasti menyertai Crystal Palace, United tidak membuang masa memburu seorang lagi penjaga gol yang boleh menjadi sokongan kepada Andre Onana untuk tempoh jangka masa panjang.

Altay Bayindir mungkin nama asing buat peminat bola sepak di luar Turki kerana sudah lama tidak beraksi bersama Fenerbahce di Champions League.

Kehebatan karier Bayindir

Bayindir dilahirkan di Osmangazi di sebelah timur Turki. Karier usia remajanya bermula bersama Bursapor tetapi penjaga gol itu kemudiannya berhijrah ke Ankaragucu pada 2013.

Perpindahan tersebut membuka laluan untuk Bayindir beraksi di dalam kesebelasan utama. Walaupun pada usia 21 tahun, penjaga gol itu diberikan kepercayaan untuk melakukan penampilan pertama di Super Lig dalam perlawanan yang berkesudahan 1-1 menentang Cakyur Rizespor pada November 2018.

Bayindir menyifatkan pengalaman dan debut kompetitifnya itu sebagai perkara yang tidak akan dilupakan.

Sejak daripada itu Bayindir menjadikan jersi No.1 pasukannya itu miliknya, beraksi dalam semua baki empat perlawanan liga selepas itu, dan dijadikan kapten pasukan ketika Ankaragucu berhadapan Kasimpasa pada November tahun yang sama.

Pada masa yang sama Bayindir turut menghasilkan impak positif di pentas antarabangsa. Dinamakan di dalam skuad Turki untuk kejohanan berprestij Toulon Tournament pada 2018, penjaga gol itu adalah tunjang utama skuad Bawah-21.

Menjelang 2018 Bayindir disifatkan sebagai penjaga gol muda terbaik di Turki, dan tidak mengejutkan apabila Fenerbahce mendapatkan khidmatnya pada musim panas tahun tersebut.

Kejatuhan Bayindir

Tidak dapat dipastikan di mana silapnya, kehebatan Bayindir jatuh secara dramati sejak beberapa tahun lalu.

Segalanya bermula akibat kecederaan yang dialaminya selepas pelanggaran dengan Serdar Guler, ketika tewas 2-1 kepada Konyaspor pada 2021.

Selepas insiden tersebut, Bayindir terpaksa dibedag di bahagian bahu dan menyebabkan penjaga gol itu berehat panjang selama beberapa bulan.

Tidak cukup dengan itu, Bayindir sekali lagi mengalami kecederaan panjang yang hampir serupa pada penghujung musim lalu, kali ini kecederaan hernia yang memaksa dirinya melalui satu lagi pembedahan.

Di kalangan peminat dan pengikut bola sepak di Turki, mereka percaya dua kecederaan serius ini telah memberikan kesan kepada prestasi dan karier Bayindir.

Sehingga ke satu tahap penyokong Fenerbahce hilang sabar dengan kemerosotan prestasi penjaga gol itu sehingga mencemuh Bayindir.

Pengurus Fenerbahce Jorge Jesus masih mahu percayakan kemampuan penjaga gol dan kapten pasukannya itu.

Tetapi atmosfera yang dicetuskan penyokong kelas tidak membantu aspek psikologi pemain itu.

Bayindir tewas dengan tekanan?

Kritikan terhadap Bayindir daripada penyokong tetap berterusan pada musim ini. Dalam perlawanan Super Lig menentang Gaziantep pada awal bulan ini, Bayindir terus melakukan kesilapan membenarkan tandukan Arda Kizildag menewaskannya – walaupun berjaya menyentuh bola tersebut.

Bayindir kemudiannya dibaling botol oleh penyokong Fenerbahce yang marah, dan ia disambut dengan kemarahan oleh Bayindir yang menghempaskan botol ke lantai padang.

Sejak daripada itu, masa depan Bayindir di Fenerbahce mulai dipersoalkan. Ia juga menunjukkan betapa besarnya tekanan yang dihadapi penjaga gol itu bersama Fenerbahce.

Daripada sudut lain perpindahan ke Old Trafford boleh menjadi permulaan baharu buat Bayindir – apatah lagi penjaga gol itu turut dilucutkan peranan sebagai kapten seperti Harry Maguire.

Satu perkara yang pasti, penyokong Fenerbahce gembira dan menyambut baik perpindahan Bayindir ke Manchester United.

BACA:  Luis Diaz Antara 3 Penyerang Yang United Boleh Tandatangani Pada Januari Lalu