Kontrak Pemain Liverpool Yang Akan Tamat dan Isu Lebih Besar di Sebalik Salah, Alexander-Arnold dan Van Dijk
Pada musim ini, isu kontrak pemain menjadi topik hangat di Liverpool. Ia kerana tiga tonggak utama iaitu Mohamed Salah, Virgil van Dijk, dan Trent Alexander-Arnold masih belum memperbaharui kontraknya. Jika dibiarkan, mereka boleh meninggalkan kelab secara percuma, sesuatu yang pastinya mencetuskan kebimbangan di kalangan penyokong.
Ketika Liverpool sedang bersaing merebut kejuaraan, masa depan jangka panjang pasukan bergantung kepada keputusan mengenai pemain-pemain ini. Jika salah seorang atau ketiga-tiga mereka pergi, ia boleh memberi kesan besar kepada kestabilan pasukan.
Pemilik kelab, Fenway Sports Group (FSG), telah membantu membina skuad yang kuat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, perubahan tetap diperlukan untuk memastikan Liverpool terus bersaing di peringkat tertinggi. Pada bulan lalu, jurulatih baharu, Arne Slot mengesahkan bahawa kelab sedang merancang strategi bagi memperkukuhkan pasukan menjelang musim panas. Menurutnya, mereka mahu memastikan Liverpool kekal sebagai pencabar utama dalam setiap kejohanan untuk tahun-tahun akan datang.
Ini bermakna keputusan mengenai kontrak pemain lain juga akan menjadi tumpuan. Liverpool perlu memutuskan pemain mana yang akan dikekalkan atau dijual.
Pemain Liverpool yang Akan Tamat Kontrak dalam Beberapa Tahun Akan Datang
- 2025: Mohamed Salah, Trent Alexander-Arnold, Virgil van Dijk
- 2026: Andy Robertson, Caoimhin Kelleher, Ibrahima Konate, Vitezslav Jaros
- 2027: Alisson, Wataru Endo, Joe Gomez, Kostas Tsimikas, Diogo Jota, Curtis Jones, Luis Diaz, Harvey Elliott, Conor Bradley, Trey Nyoni, James McConnell, Tyler Morton
- 2028 dan Seterusnya: Dominik Szoboszlai, Alexis Mac Allister, Federico Chiesa, Cody Gakpo, Darwin Nunez, Jarell Quansah
Liverpool Perlu Segera Selesaikan Isu Kontrak Pemain Bintang
Tidak dinafikan isu kontrak Mohamed Salah, Trent Alexander-Arnold, dan Virgil van Dijk sepatutnya boleh diselesaikan lebih awal. Namun, Liverpool kini berdepan situasi yang tidak ideal kerana masalah ini timbul ketika pemilik kelab, Fenway Sports Group (FSG) baru sahaja melantik Michael Edwards sebagai CEO bola sepak dan Richard Hughes sebagai pengarah sukan bagi membentuk era baharu selepas pemergian Jurgen Klopp.
Walaupun terdapat perubahan dalam pengurusan, FSG sepatutnya tidak membiarkan perkara ini berlaku terutama Alexander-Arnold yang sedang berada di kemuncak prestasi pada usia 26 tahun. Membiarkan kontraknya hampir tamat boleh dianggap satu kesilapan besar dalam pengurusan kelab.
Bagi Salah (yang bakal berusia 33 tahun) dan Van Dijk (34 tahun), situasi mereka lebih rumit kerana faktor usia dan nilai mereka dalam jangka panjang. Liverpool perlu mencari keseimbangan antara memberi ganjaran atas prestasi dan melindungi kepentingan perniagaan mereka. Ketiga-tiga pemain ini sudah ditawarkan kontrak baharu dengan gaji lumayan tetapi rundingan masih berlarutan tanpa kata putus.
Tambahan pula, terdapat khabar angin bahawa Real Madrid berminat untuk mendapatkan Alexander-Arnold secara percuma, menjadikan keadaan semakin sukar untuk Liverpool. Jika kelab berjaya menguruskan isu ini dengan baik dan hanya kehilangan 1 daripada 3 pemain, proses pembinaan semula pasukan tidak akan menjadi terlalu sukar. Namun, jika mereka gagal mengekalkan 2 atau lebih pemain ini, Liverpool mungkin berdepan cabaran besar dalam tempoh terdekat.
Keputusan Besar Menanti Liverpool: Masa Depan Kelleher, Konate dan Pertahanan Pasukan
Selain isu kontrak pemain utama, Liverpool juga perlu membuat beberapa keputusan penting mengenai posisi penjaga gol dan pertahanan.
Salah satu persoalan besar adalah masa depan Caoimhin Kelleher, yang kontraknya akan tamat pada 2026. Penjaga gol kedua Liverpool itu secara terbuka menyatakan keinginannya untuk menjadi pemain utama dan hampir berpindah musim panas lalu. Mujur tiada tawaran yang sesuai diterima. Liverpool meletakkan nilai lebih £20 juta untuknya dan kini dengan kehadiran Giorgi Mamardashvili sebagai pesaing kepada Alisson Becker, kelab perlu memutuskan sama ada mahu menjual Kelleher atau berisiko kehilangannya secara percuma nanti.
Bagi Ibrahima Konate, situasinya lebih mudah. Pemain berusia 25 tahun itu masih dalam pelan jangka panjang Liverpool walaupun beberapa kelab besar Eropah sedang memantau perkembangannya. Kelab sudah menawarkan kontrak baharu sejak tahun lalu dan rundingan masih berjalan.
Selain itu, Liverpool juga sedang mencari seorang lagi pertahanan tengah serta bek kiri baharu sebagai pesaing kepada Andy Robertson, yang kontraknya akan tamat pada 2026. Dengan perancangan ini, jelas bahawa Liverpool mahu benteng pertahanan mereka kukuh untuk beberapa tahun kedepan.
Pendekatan Liverpool dalam Pembaharuan Kontrak: Keutamaan Prestasi & Kewangan
Liverpool di bawah pengurusan Fenway Sports Group (FSG) mengendalikan kelab dengan pendekatan perniagaan yang berdaya saing. Mereka jarang menawarkan kontrak besar kepada pemain yang sudah berusia, sebaliknya lebih mengutamakan kontrak berasaskan prestasi dengan struktur bonus yang tinggi.
Sebagai contoh, Mohamed Salah adalah penerima gaji tertinggi di kelab dengan bayaran asas lebih £350,000 seminggu tetapi jumlah keseluruhannya meningkat melalui pelbagai insentif tambahan. Sementara itu, pemain utama seperti Virgil van Dijk, Alisson Becker dan Trent Alexander-Arnold menerima lebih £200,000 seminggu.
Walaupun setiap kontrak dinilai berdasarkan sumbangan pemain di atas padang, Liverpool sebelum ini tidak teragak-agak untuk melepaskan beberapa nama besar seperti Joel Matip, Thiago, Roberto Firmino, James Milner dan Sadio Mane. Selain itu, pemain seperti Fabinho dan Jordan Henderson juga dibenarkan berpindah apabila menerima tawaran lumayan dari Arab Saudi.
Kini, tugas menguruskan pembaharuan kontrak dipegang oleh Richard Hughes, yang bertindak sebagai perantara antara kelab dan pemain. Dia melaporkan segala perkembangan kepada Michael Edwards, yang kemudiannya akan membawa cadangan kepada lembaga pengarah FSG untuk membuat keputusan akhir.
Masa Depan Pemain: Ke Mana Haluan Mereka?
Andy Robertson kekal sebagai tonggak utama di bek kiri walaupun prestasinya tidak sebagus beberapa musim lalu. Dengan pengalaman yang luas, dia masih boleh memainkan peranan penting jika Liverpool berjaya mendapatkan pemain muda untuk posisi tersebut.
Luis Diaz menjadi sasaran Barcelona. Namun, cabaran utama ialah kemampuan kelab Sepanyol itu untuk memenuhi harga yang diminta Liverpool. Kontrak Diaz akan tamat pada 2027, jadi kelab perlu membuat keputusan sama ada mahu menawarkan lanjutan yang mahal atau menjualnya pada harga terbaik.
Diogo Jota terus menjadi penjaring yang boleh diharap tetapi rekod kecederaannya menimbulkan kebimbangan. Liverpool juga mungkin mempertimbangkan untuk menjual Darwin Nunez terutama dengan minat dari Liga Pro Saudi, yang boleh memberi impak besar kepada bajet perpindahan kelab.
Bagi Wataru Endo, usianya akan mencecah 34 tahun apabila kontraknya tamat, selepas itu dia mungkin tidak lagi diberi kontrak baharu. Walaupun lebih muda Joe Gomez juga berdepan situasi yang sama dan perlu membuktikan kepentingannya kepada pasukan.
Harvey Elliott menafikan khabar angin perpindahannya ke Borussia Dortmund atau Brighton tetapi peluang permainannya tetap terhad. Pada musim panas ini mungkin menjadi masa untuknya menilai semula masa depan.
Sementara itu, Conor Bradley dijangka menerima kontrak baru tetapi Liverpool berkemungkinan besar akan menunggu sehingga situasi Alexander-Arnold diselesaikan terlebih dahulu.
Adakah Ini Semua Akan Menjejaskan Bajet Perpindahan Liverpool?
Bagaimana keputusan mengenai kontrak Salah, Van Dijk, dan Alexander-Arnold akan mempengaruhi bajet perpindahan Liverpool masih menjadi tanda tanya.
Jika ketiga-tiga pemain ini meninggalkan kelab, Liverpool perlu membelanjakan jumlah wang besar untuk mencari pengganti berkualiti. Sebaliknya jika mereka kekal, gaji mereka pasti akan meningkat, yang akan memberi impak kepada perbelanjaan kelab dalam pasaran pemain.
Dari segi kewangan, Liverpool berada dalam kedudukan yang stabil. Pendapatannya untuk musim 2023/24 meningkat kepada €714 juta, berbanding €683 juta pada tahun sebelumnya. Selain itu, kepulangan ke Liga Juara-Juara UEFA juga akan menambah sumber pendapatan kelab.
Dengan kestabilan ini, Liverpool mempunyai fleksibiliti untuk menaikkan gaji pemain sambil tetap aktif dalam pasaran perpindahan, memastikan pasukan kekal kompetitif di peringkat tertinggi.