Divock Origi Kongsi Nasihat Klopp Yang Membolehkannya Menjaringkan Gol Pada Minit Akhir Menentang Wolves

Divock Origi mungkin tidak diangkat dan dijulang seperti penyerang Liverpool yang lain seperti Mohamed Salah dan Sadio Mane, tetapi dia adalah seorang pemain yang sangat boleh diharapkan dan kerap menjaringkan gol penting buat The Reds, walaupun tidak banyak diberikan peluang untuk turun beraksi.

Jaringan pentingnya termasuklah ketika memastikan kemenangan Liverpool dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA menentang Tottenham Hotspur, dua gol yang berjaya membalikkan defisit aggregat dalam pusingan kedua UCL ketika pusingan kalah mati menentang Barcelona dan juga jaringan pada masa kecederaan ketika menewaskan seteru setempat, Everton pada tahun 2018.

Semalam, dia sekali lagi telah menjadi penyelamat dan wira Liverpool apabila menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan sekaligus membantu pasukannya mendaki tangga liga sehingga ke puncak buat sementara waktu, sebelum turun ke tangga kedua selepas pencabar, Manchester City, berjaya mengutip tiga mata penuh.

Dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal pula, Chelsea dikejutkan oleh pasukan yang sedang meningkat naik, West Ham United.

Dalam perlawanan ni Molineux, Salah sekali lagi telah mencatatkan namanya dalam senarai assist apabila dia telah melorongkan bola kepada Origi yang berada di dalam kotak enam ela pasukan Wolves, yang kemudiannya melakukan satu turn persis Azman Adnan, lalu menolak leret bola ke dalam gawang menewaskan Jose Sa.

Kalau ikutkan, Liverpool tidak perlu menunggu sehingga ke minit akhir perlawanan untuk mendapatkan gol di mana penyerang Portugal, Diogo Jota, sepatutnya telah menjaringkan gol pada minit ke-60.

Kegagalan Jota ini boleh diangkat sebagai missed paling teruk dalam kempen Liga Perdana Inggeris pada musim ini.

Sebelum kejadian itu, Leander Dendoncker berpeluang untuk meletakkan Wolves dihadapan namun Allison Becker terlalu handal untuk tewas dengan percubaan itu.

Satu serangan terus dilakukan oleh Liverpool dengan satu hantaran panjang dan penjaga gol Wolves, Jose Sa telah keluar dari kotak untuk melawan tapi Diogo Jota berjaya lolos.

Tanpa ada pemain berdekatan Jota tenang membawa bola secara solo ke depan gawang yang cuba ditutup oleh dua pemain Wolves.

Benteng dari dua pemain Wolves tidak cukup menutup gawang yang luas namun entah apa yang difikirkan Jota yang merembat ke arah pemain Wolves.

Kiri kanan kosong dan boleh menjadi sasaran mudah tapi Jota memilih ruang sempit berisiko tinggi dan akibanya tiada gol pendahuluan.

Usai tamat perlawanan, pengurus Jurgen Klopp, tidak henti-henti memuji penyerang gantiannya tersebut dalam temu ramah selepas perlawanan.

“Divock Origi ni memang seorang pemain yang padu dan dia memang cukup cemerlang dalam detik-detik macam ni.

“Gol macam ni (jaringan Origi menentang Wolves), kita dah tengok banyak kali.

“Menang pada minit ke-95 ni memang seronok, tapi bila Div yang jaringkan gol, jadikan benda tu lagi seronok,” ujar Klopp sambil tersenyum lebar.

Origi, selepas perlawanan, telah ditanya oleh seorang wartawan tentang nasihat yang diberikan oleh Klopp sebelum dia dimasukkan, dia sekadar menyatakan bahawa kata-kata hikmah yang diucapkan adalah cukup ringkas.

“Masuk padang dan jadi Divock.”

Origi meraikan jaringannya bersama TAA. Gambar : Liverpool FC

Ternyata Origi faham dan tahu apa yang dimaksudkan oleh pengurusnya itu dan juga telah melakukan apa yang perlu dilakukan oleh seorang Divock.

Jaringan tersebut merupakan jaringan yang ke-39 oleh Origi sepanjang kariernya bersama Liverpool, dan gol ini boleh menjadi gol yang paling penting buat Liverpool menjelang penghujung musim ini.

Kemenangan tersebut juga telah menjadikan Liverpool berjaya mencatatkan kemenangan dalam empat perlawanan terakhir mereka dalam liga, dengan rekod 13 jaringan gol dan sebiji bolos.

Selepas ini mereka bakal bertemu pasukan AC Milan dalam perlawanan Liga Juara-Juara, di mana perlawanan ini boleh dianggap waktu untuk pemain utama mereka berehat memandangkan kelayakan ke pusingan kalah mati dan juga tempat teratas kumpulan sudahpun berjaya disahkan menjadi milik mereka.

Jika prestasi cemerlang mereka ini berjaya dikekalkan melepasi bulan Januari, tidak mustahil Liverpool bakal menamatkan saingan liga pada musim ini sebagai juara – kali kedua dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, selepas kali pertama melakukannya pada tahun 2020 yang lalu.

Andai ini menjadi kenyataan, penyokong Liverpool dari seluruh dunia sudah pasti dapat menyertai perarakan piala di jalanan bandaraya Liverpool selepas tidak dapat melakukannya ketika keraian terdahulu dek penangan Covid-19.

Sumber : SB

BACA:  Liverpool Akan Lepaskan Dua Pemain Seandainya Diaz Ke Anfield Bulan Ini