Throwback : Divock Origi Dikokak Penyokong Liverpool Selepas Menjaringkan Gol Pada Hari Kekasih

Hari Kekasih atau dalam bahasa mat saleh disebut Valentine’s Day mungkin tidak berapa disambut di Malaysia, atau sekurang-kurangnya tidak disambut secara terang-terangan kerana beberapa faktor.

Namun bagi mat saleh, termasuk di UK, hari Valentine adalah hari di mana mereka meluahkan rasa kasih dan cinta mereka kepada kekasih masing-masing, termasuklah pemain bola sepak kesayangan mereka.

Divock Origi mungkin bukanlah pemain yang sering menjadi nama pertama yang akan diisi dalam borang pemain setiap kali Liverpool turun bermain sejak dia tiba di kelab tersebut pada tahun 2015, tetapi kelibatnya tidak boleh dinafikan di mana dia sering menjaringkan gol yang menjadi pemisah sempadan seri dan juga kemenangan buat kelab Merseyside tersebut.

Jika Liverpool memerlukan jaringan pada penghujung perlawanan yang terikat, maka Divock Origi lah jawapan yang paling tepat.

Selalunya macam tu lah.

Daripada 40 gol yang dijaringkannya buat Liverpool, 15 daripadanya hadir selepas minit ke-75 dalam perlawanan. Dia menjaringkan dua gol dalam kemenangan yang bermakna 4-0 ke atas Barcelona pada peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA pada tahun 2019 dan dalam perlawanan akhir, dia sekali lagi menjaringkan gol ketika menentang Tottenham Hotspur.

Untuk rekod, Divock Origi juga telah menjaringkan lima gol dalam derby Merseyside, antara kelabnya menentang Everton.

Dalam bahasa yang mudah, dia adalah pemain gantian yang paling padu dan tidak hairanlah dia menjadi pemain yang disayangi dan dicintai oleh para penyokong kelab tersebut.

Pada Hari Kekasih 2016, Liverpool telah bertandang ke Aston Villa dan mereka telah bertindak membelasah tuan rumah enam gol tanpa balas.

Daniel Sturridge menjaringkan gol pertama pada minit ke-16, diikuti oleh James Milner pada minit ke-25. Pada separuh masa kedua, Emre Can menjadikan kedudukan 3-0 apabila menjaringkan gol pada minit ke-58, sebelum Divock Origi yang baru dimasukkan, telah menjaringkan gol keempat pasukan pada minit ke-63.

Musim tersebu mungkin musim pertama Divock Origi di Liverpool tetapi dia sudah menjadi pujaan hati para penyokong setia mereka. Selepas menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut, Divock Origi mengambil peluang tersebut untuk meraikannya bersama para penyokong di tepi padang tetapi ternyata dia telah tersalah memilih lokasi dan penyokong.

Ini kerana, ada seorang penyokong yang telah bertindak mencium mukanya berulang kali, sebelum memberikan satu bonus berharga – ciuman di bibir Divock Origi.

Dan penyokong tersebut adalah penyokong lelaki!

Origi ternyata agak terkesima dan terkejut dengan insiden yang terjadi tetapi dia kemudiannya memberikan satu temu ramah yang agak mantap selepas perlawanan.

“Aku berpusing dan perkara pertama yang aku nampak adalah penyokong,” Divock Origi berkata kepada laman sesawang rasmi kelab.

“Diorang nampak gembira sangat dan aku nak meraikan dengan diorang lah.”

Mengulas tentang ciuman Hari Kekasih tersebut, Divock Origi berkata : “Aku rasa mungkin pada Hari Kekasih, diorang jadi terlebih emosional sikit jadi aku dapatlah beberapa ciuman tapi seronok la jugak.

“Aku rasa penyokong Liverpool sangat bersemangat dalam menyokong kitorang dan bagi kami, dapat bagi sesuatu kembali adalah satu perasaan yang luar biasa.”

Pada musim ini, Divock Origi hanya tampil dalam 10 perlawanan buat The Reds, dengan lima daripadanya adalah dalam Liga Juara-Juara UEFA. Pun begitu, Divock Origi masih sempat menjaringkan lima gol dan menyumbang dua assist buat pasukannya.

Peluang untuk Divock Origi untuk merumput di kelab tersebut semakin hari dilihat semakin malap, ditambah pula dengan kedatangan pemain baharu, Luis Diaz, yang bermain di posisi serangan.

Meskipun posisinya tidak sama dengan Divock Origi, Diaz dijangka akan lebih mendapat peluang untuk turun beraksi dan mungkin selepas hampir enam tahun bersama, Divock Origi sudah boleh angkat kaki dan cuba meraih rezeki di kelab lain pula.

Kalau malas nak pindah jauh-jauh, pindah sahaja ke Manchester United. Kelab yang pernah digeruni suatu ketika dahulu dan kini menjadi bahan jenaka tersebut pada hari ini bagaikan terlalu mendap dan layu di depan gol.

Mungkin Divock Origi akan mampu menghilangkan sumpahan di depan gol kelab tersebut.

Tak payah fikir pasal rivalry, yang penting jaringkan gol, ye dak?

Sumber : GMS

BACA:  Emre Can Beri Petunjuk Akan Terus Kekal Bersama Liverpool