Dua pemain kelab Perancis, Auxerre bakal dihadapkan badan disiplin kelab tersebut selepas dilayangkan kad merah kerana bergaduh sesama sendiri dalam satu perlawanan Ligue 2.
Pierre-Yves Polomat dan Michael Barreto perlu menghadiri perbicaraan dan menceritakan sebab mengapa mereka berbalas tumbukan ketika perlawanan sedang berlangsung.
Dalam perlawanan yang berlangusng Jumaat lepas, Auxerre tumpas di tangan Quevilly Rouen 4-1 di gelanggang lawan.
Kedua-dua pemain Auxerre tersebut terpaksa dileraikan oleh seorang pemain lawan dan seorang pegawai pasukan Auxerre yang meluru masuk ke padang selepas melihat pergaduhan tersebut. Pergaduhan tersebut tercetus pada 9 minit sebelum tamat perlawanan dengan Auxerre ketinggalan 3-1.
Ketika Quevilly Rouen melancarkan serangan dari bahagian kanan padang, dua pemain Auxerre dilihat sedang bertengkar. Salah seorang dari mereka dilihat melancarkan tumbukan terlebih dahulu dan pergaduhan terus tercetus selepas itu.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Auxerre, pihak kelab sangat menyesali dan malu dengan insiden tersebut. Pihak kelab juga mengesahkan kedua-dua pemain tersebut akan muncul dalam perbicaraan peringkat dalaman untuk menentukan hukuman lebih lanjut terhadap mereka.
“Pihak kelab sangat terkejut dan malu dengan kelakuan Pierre-Yves Polomat dan Michael Barreto yang tidak diterima ketika berada di atas padang Quevilly-Rouen.”
“Kedua-dua pemain ini telah mencemarkan nama baik kelab ini yang telah banyak mendidik pemain bolasepak sebelum ini dan juga terkenal dengan pembangunan pemain muda.”
Auxerre pernah memenangi Ligue 1 pada musim 1995-1996. Dua tahun sebelum itu, mereka berjaya memenangi trofi pertama sepanjang penubuhan kelab dengan menjulang Coupe de France pada tahun 1994.
Auxerre terkenal di peringkat Eropah kerana berjaya menghasilkan beberapa nama besar dalam bolasepak Perancis seperti Philippe Mexes, Djibril Cisse, Jean-Alain Boumsong dan Olivier Kapo.
Walaubagaimanapun, mereka terjerumus ke kancah Ligue 2 pada tahun 2012 selepas 32 tahun berada di kancah tertinggi liga domestik Perancis.