Ejen Christian Eriksen Gembira Pemainnya Dikaitkan Dengan Manchester United

Pemain tengah Tottenham Hotspurs, Christian Eriksen telah berjaya menampilkan prestasi yang baik musim ini bersama Spurs dan telah dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab besar musim panas nanti.

Ejen yang mewakili pemain antarabangsa Denmark ini, Martin Schoots berkata beliau berasa sangat teruja melihat Eriksen dikaitkan dengan kelab gergasi seperti Manchester United dan Real Madrid.

Tidak hairan melihat Eriksen dikaitkan dengan perpindahan ke Theatre of Dreams

Eriksen berjaya mempamerkan persembahan yang cemerlang bersama Spurs setakat musim ini dimana beliau telah menjaringkan 9 gol dalam semua pertandingan disamping mencatatkan 9 bantuan gol.

Spurs kini menduduki tangga ke-4 Liga Perdana Inggeris di hadapan dua seteru London, Chelsea dan Arsenal. Mereka juga berada dalam landasan terbaik untuk melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.

Dalam peringkat Eropah pula, Tottenham berjaya mengikat pasukan gergasi Itali, Juventus 2-2 di tempat lawan dan dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk mara ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara.

United sering menjadi mangsa free kick Eriksen

Persembahan baik Eriksen dalam perlawanan menentang Juventus tempoh hari menyaksikan sahamnya meningkat naik dan membuatkan kelab-kelab besar sekitar Eropah mula memasang niat untuk mendapatkan beliau.

Terdapat juga spekulasi mengatakan Eriksen bakal mengikut jejak pemain Spurs terdahulu seperti Dimitar Berbatov dan Michael Carrick dengan berpindah ke Old Trafford.

Dan ejen Eriksen berkata minat yang ditunjukkan oleh kelab besar terhadap pemainnya merupakan petanda yang Eriksen sedang bermain dengan baik ketika ini.

“Kebiasaannya saya tidak memberi sebarang komen mengenai berita sebegini. Tetapi apabila kelab seperti Real Madrid, Barcelona dan Manchester United dikaitkan dengan Eriksen, ia merupakan satu pujian kepada pemain tersebut.”

Berkat tunjuk ajar Lord Bendtner, Eriksen semakin disegani seluruh dunia

“Sejak Eriksen berumur 14 tahun, beliau telah menarik minat kelab-kelab besar. Antara yang terawal menunjukkan minat tehadap Eriksen adalah Chelsea, AC Milan dan Barcelona. Sejak dari itu, beliau telah menerima tawaran atau minat dari kelab luar setiap kali tirai perpindahan pemain dibuka.”

Schoots turut mendakwa terdapat juga kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat Eriksen tetapi tidak terdedah kepada pengetahuan pihak media.

“Bukan semua kelab yang berminat diketahui pihak media. Eriksen merupakan seorang pemain yang tidak bercakap terlalu banyak mengenai spekulasi perpindahan. Beliau bercakap menggunakan kakinya di atas padang.”

BACA:  Reaksi Calvert lewin Melihat Rakaman Semula Jaringan Beliau Yang Dibatalkan VAR