Ejen kepada Thibout Courtois, Christophe Henrotay merayu kepada Chelsea supaya menerima tawaran yang dikemukan Real Madrid dan membenarkan Courtois meninggalkan Chelsea pada jendela perpindahan musim panas ini.
Menurut sumber Sky Sports, Chelsea tidak akan menyambung perbincangan dengan Real Madrid selagi mereka belum mendapatkan pengganti yang sesuai. Courtois masih mempunyai baki kontrak selama setahun dan akan dibenarkan untuk berbincang dengan mana-mana kelab luar England pada Januari tahun hadapan.
Courtois yang kini berusia 26 tahun pernah berkata beliau terbuka untuk mempertimbangkan segala tawaran yang masuk terhadapnya, tetapi ejen Courtois, Henrotay percaya Chelsea patut menunjukkan sedikit belas kasihan dengan membenarkan Courtois menyertai Real Madrid.
Courtois dinilai pada harga £32 juta oleh Real Madrid, satu nilai yang tinggi bagi pemain yang hanya mempunyai baki setahun dalam kontraknya.
“Saya ada terbaca di beberapa akhbar dimana Chelsea berkata keputusan kini terletak di tangan Courtois. Akan tetapi Courtois telah menyatakan niatnya secara jelas kepada kelab dimana pilihan terbaik adalah dengan berpindah ke Real Madrid.”
“Bagi Courtois, ini satu keputusan yang cukup besar kerana beliau mahu lebih dekat dengan keluarganya, dan Chelsea sudah mempunyai tawaran di atas meja untuk diterima.”
Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri mengakui beliau tidak pasti sama ada Courtois akan kekal atau tidak, tetapi bekas pengurus Napoli ini yakin beliau mampu meyakinkan Courtois untuk terus kekal.
“Buat masa sekarang, Courtois masih lagi seorang penjaga gol Chelsea.” Ujar Sarri ketika bercakap kepada sidang medai menjelang perlawanan Community Shield menentang Manchester City malam esok.
“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Ia bergantung kepada kelab, dan juga pemain itu sendiri, tetapi saya berharap Courtois akan menjadi penjaga gol kami.”
Henrotay mendakwa duit bukan menjadi faktor mengapa Courtois ingin meninggalkan Chelsea.
“Terdapat beberapa andaian yang mengatakan duit menjadi faktor Courtois ingin berpindah, dan memang benar Courtois mampu menerima gaji yang lebih tinggi sekiranya beliau berpindah.”
“Tetapi beliau telah menolak tawaran yang lebih lumayan daripada kelab lain kerana keputusan untuk menyertai Real Madrid bukanlah disebabkan faktor kewangan semata-mata.”
“Chelsea boleh mendapatkan duit yang berpatutan dari hasil penjualan Courtois dan menggunakan duit tersebut untuk mencari pengganti. Atau mereka boleh mencari pengganti pada musim panas tahun depan, tetapi Chelsea tidak akan menerima sebarang duit daripada Courtois.”
“Kami juga faham akan ada pihak yang kecewa kerana Courtois ingin meninggalkan Chelsea, dan kami dapat menerima perkara tersebut.”
“Tetapi ini merupakan satu keputusan individu berdasarkan keinginan untuk berada lebih dekat dengan anaknya – dan ia suatu keputusan yang semua orang dapat fahami.”