Pengurus Arsenal, Unai Emery mendakwa Arsenal sedang merudum dalam tahun-tahun terakhir Arsene Wenger menerajui pasukan tersebut.
Menurut Emery lagi, antara perkara utama yang menjadi masalah buat Arsenal di bawah Wenger adalah mereka sering hilang struktur ketika bertahan.
Tahun-tahun terakhir Wenger bersama Arsenal agak menyedihkan. Beliau gagal membawa Arsenal berada dalam kedudukan empat teratas liga musim lalu seterusnya terlepas slot untuk bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah. Musim ini juga merupakan musim ke-2 berturut-turut Arsenal bermain dalam Europa League.
Emery masih lagi memuji pencapaian Wenger mengemudi Arsenal selama 22 tahun. Namun begitu, Emery percaya punca kejatuhan Arsenal pada tahun-tahun terakhir Wenger adalah kerana mereka gagal mengatasi masalah di bahagian pertahanan.
“Saya ada berjumpa Wenger sekali. Itu sahaja. Saya sangat menghormati beliau. Walaupun beliau banyak memberi maklumat kepada saya, saya masih perlu mengubah beberapa perkara di kelab ini.”
“Saya beritahu para pemain, ‘Kita akan bermula pada kilometer kosong’. Sekarang pon sama, walaupun empat bulan sudah berlalu, saya masih lagi berkata, ‘Kita masih lagi berada di permulaan’.”
“Sebelum Wenger tiba di Arsenal, kelab ini bersorak gembira apabila mereka berjaya menang 1-0 kerana bahagian pertahanan yang kukuh. Selepas Wenger masuk, kegembiraan bertukar kepada serangan. Gandingan pemain yang baik berjaya menghasilkan pasukan yang mendapat gelaran ‘The Invincibles’.”
“Selepas sekian lama, hanya aspek teknikal kualiti dan kebebasan menyerang dititik beratkan pasukan ini. Lama kelamaan pasukan ini hilang struktur pertahanan mereka.”
“Apa yang saya mahu lakukan sekarang adalah untuk menggabung kembali kedua-dua aspek tersebut dan menjadikan pasukan ini kembali kompetitif.”
“Arsenal yang kita kenal dahulu sedang merudum. Kami perlu memberhentikan Arsenal dari terus menjunam dan mula mendaki.”
Arsenal akan menyambung kempen Liga Perdana Inggeris dengan melakukan kunjungan ke Dean Court untuk bertemu dengan Bournemouth. Sejak tewas kepada Chelsea pada Ogos lalu, Arsenal masih belum tewas dalam 16 perlawanan dalam semua pertandingan.
Arsenal berada di tempat ke-5 Liga Perdana Inggeris dengan mengutip 24 mata selepas mengharungi 12 perlawanan.