Emery Dedah Sebab Mengapa Ozil Tidak Diturunkan Bermain Menentang Bournemouth

Pengurus Arsenal, Unai Emery berkata punca sebenar beliau meninggalkan Mesut Ozil dari kesebelasan utama Arsenal ketika menentang Bournemouth adalah kerana tahap fizikal pemain tengah tersebut.

Bagi menghadapi Bournemouth di gelanggang lawan, Emery telah membuat beberapa perubahan penting dalam taktikal pasukan, antaranya adalah dengan mengubah formasi pasukan.

Emery membuat tindakan kontroversi dengan tidak menamakan Ozil dalam kesebelasan utama. Mujur menang

Emery menggunakan formasi seakan-akan 3-4-3 dengan tiga pemain pertahanan tengah diturunkan bagi menghadapi ancaman fizikal pemain Bournemouth. Selain itu, beliau memilih untuk menggunakan Henrikh Mkhitaryan dan Alex Iwobi di belakang penyerang tunggal, Pierre Emerick-Aubameyang. Ini bermakna tiada ruang untuk Mesut Ozil diturunkan dalam formasi tersebut.

Dalam perlawanan tersebut, Arsenal berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah kepada 17 perlawanan dengan menewaskan Bournemouth 2-1 hasil jaringan sendiri Jefferson Lerma dan Aubameyang. ‘The Cherries’ memperolehi gol tunggal mereka menerusi jaringan Joshua King pada minit terakhir separuh masa pertama.

Dengan kemenangan ini, Arsenal mengekalkan tekanan terhadap empat pasukan di atas mereka. Mereka ketinggalan 8 mata di belakang pendahulu, Manchester City dan hanya dipisahkan 1 mata sahaja dengan penghuni slot terakhir Liga Juara-Juara Eropah, Chelsea.

Aubameyang muncul hero buat The Gunners dengan jaringan kemenangan. Kini mendahului senarai penjaring terbanyak EPL musim ini dengan 8 gol, menyamai jumlah jaringan Sergio Aguero.

Namun apa yang menjadi persoalan adalah keberanian Emery meninggalkan Ozil di bangku simpanan walaupun pemain tersebut cergas untuk diturunkan. Penerima gaji paling mahal di Arsenal itu langsung tidak dimasukkan pada separuh masa kedua dengan Emery memilih untuk memasukkan pemain muda, Matteo Guendouzi dan Aaron Ramsey bagi mempertahankan kelebihan Arsenal pada lewat permainan.

Ketika berucap kepada wartawan selepas tamat perlawanan tersebut, Emery telah ditanya soalan mengenai tindakannya meninggalkan Ozil dari kesebelasan utama.

“Kami mencari jalan untuk bermain lebih baik dalam perlawanan yang memerlukan tahap fizikal dan intensiti yang tinggi. Dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk meninggalkan Ozil.”

“Tambahan pula, hari ini kami menurunkan tiga pemain pertahanan tengah. Kami mungkin akan menggunakan formasi seperti ini lagi selepas ini kerana ia mampu membuatkan pasukan bermain lebih baik.”

Tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut, Emery terus diasak dengan soalan mengapa beliau tidak memasukkan Ozil ketika perlawanan sedang berlangsung, sebelum wisel penamat dibunyikan.

Adakah kerana Emery tidak peercaya keupayaan Ozil ? Gaji paling mahal kot

“Pada permulaan musim, kami berbincang hampir setiap hari bagaimana untuk menjadikan pasukan ini lebih kompetitif dan tersusun. Hari ini juga sama.”

Arsenal akan meneruskan aksi dengan membuat kunjungan ke Ukraine bagi menghadapi Vorskla Poltava dalam saingan peringkat kumpulan Europa League.

Dengan kelayakan ke pusingan seterusnya sudah berada di dalam poket, perlawanan ini bakal digunakan Emery untuk memberi peluang kepada pemain yang jarang diturunkan bagi mendapatkan minit permainan.

BACA:  Unai Emery Nafi Laporan Yang Mengatakan Beliau Bergaduh Dengan Mesut Ozil