Pengurus Arsenal, Unai Emery berkata Mesut Ozil sudah mencapai tahap dimana beliau boleh dikategorikan sebagai ‘pemain berpasukan’ sekarang dan dijangka bakal diturunkan buat kali pertama dalam perlawanan di tempat lawan bagi tahun 2019 menentang Everton malam esok.
Tidak lama dahulu, Ozil dilaporkan akan meninggalkan Arsenal kerana sering dipinggirkan Emery. Bekas pengurus PSG itu tidak berpuas hati dengan kerja keras Ozil ketika sesi latihan dan di atas padang dan memilih pemain seperti Alex Iwobi dan Aaron Ramsey untuk mengisi peranan Ozil dalam pasukan.
Walau bagaimanapun, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, keadaan mula menjadi bertambah baik buat Ozil. Beliau mula menarik perhatian Emery sehingga pengurus tersebut membuat kenyataan terbuka memuji kerja keras yang dipamerkan Ozil.
Ozil berada dalam kesebelasan utama bagi 4 perlawanan terakhir Arsenal dalam semua pertandingan tetapi kesemua perlawanan tersebut adalah di tempat sendiri.
Kali terakhir Ozil dinamakan dalam kesebelasan utama bagi perlawanan di tempat lawan adalah ketika Boxing Day dimana Arsenal diikat seri 1-1 menentang Brighton. Ozil hanya sempat bermain seketika kerana Emery mengeluarkan beliau pada rehat separuh masa.
Dengan kempen Liga Perdana Inggeris kini memasuki fasa terakhir, Arsenal bakal berdepan cabaran getir apabila bertandang ke Goodison Park untuk bertemu Everton. 3 mata perlu dikutip Arsenal bagi mencerahkan peluang mereka untuk bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan selepas dua musim berturut-turut bergelumang dalam kancah Europa League.
Emery dijangka akan menurunkan Ozil bersama-sama Alexander Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang bagi mencari gol di Goodison Park malam esok.
Dalam sidang media menjelang perlawanan tersebut, Emery telah ditanya mengapa beliau tidak menurunkan Ozil untuk bermain dalam perlawanan di tempat lawan.
“Kadang kala ia disebabkan kami memerlukan sesuatu yang berlainan. Kadang kala Ozil tidak diturunkan kerana beliau mengalami kecederaan.”
“Sekarang Ozil sudah OK. Beliau menjalani latihan setiap hari. Ozil boleh bermain dalam 2 sistem. Sistem 4-2-3-1 adalah sistem terbaik untuk Ozil tetapi kadang kala kami juga menggunakan sistem 4-3-1-2.”
“Sekarang Ozil bermain seperti ‘Team Player’. Dan kadang-kadang kami menggunakan sistem 3-4-1-2. Ozil boleh bermain di sebelah kanan ataupon kiri.”
“Bagi saya perkara paling penting adalah beliau sentiasa bersedia untuk bermain dan membantu pasukan. Dan sekarang Ozil berada dalam keadaan ini.”
“Ozil berlatih dengan cukup baik, dan juga bermain dengan sangat baik. Beliau banyak membantu pasukan ini. Saya sangat gembira dengan perkembangan ini.”
“Saya rasa Asenal sekarang memiliki atmosfera yang baik disamping semangat yang bagus dimana pemain saling menolong antara satu sama lain.”
“Inilah semangat yang saya ingin lihat. Dan Mesut juga tergolong dalam kelompok pemain yang melakukannya.”