Ozil Tolak Tawaran Lumayan Untuk Terus Kekal di Arsenal, Mesej Perpisahan Giroud Kepada Peminat

Pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil akhirnya menamatkan segala spekulasi berhubung masa depannya di Emirates dengan menandatangani kontrak lanjutan selama 3 tahun setengah.

Selepas hampir 18 bulan perbincangan di antara ejen dan pihak kelab, Ozil menurunkan tandantangannya untuk terus kekal bersama Arsenal dan dilaporkan bakal menerima gaji mingguan bernilai £350,000 seminggu atau £230,000 seminggu selepas cukai.

350k seminggu yawww

Menurut laporan dari ESPN, Ozil telah menolak tawaran lumayan dari kelab yang berpengkalan di China dan juga tawaran dari Manchester United sebelum bersetuju untuk terus kekal di Emirates.

Ozil menjadi buruan kelab Liga Super China, Guangzhou yang sanggup membayar £25juta setahun bagi mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Jerman ini. Jumlah tersebut adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada apa yang baru sahaja ditandangani Ozil bersama Arsenal.

Bekas pengurus Ozil di Real Madrid, Jose Mourinho turut berminat untuk kembali bekerjasama dengan Ozil di Old Trafford. Manchester United tidak meneruskan minat mereka terhadap  Ozil kerana permintaan gaji yang tinggi. Selepas gagal mendapatkan Ozil, Mourinho bertindak melanjutkan kontrak Juan Mata.

Mourinho gigit jari

Kelab gergasi Eropah yang lain seperti Barcelona dan Paris Saint-Germain dilaporkan turut berminat untuk mendapatkan khidmat Ozil secara percuma musim panas nanti. Ozil berpeluang mengadakan perbincangan dengan mana-mana kelab luar England dan menandatangani pra-kontrak kerana kontraknya hanya berbaki 6 bulan sahaja lagi.

Dalam perkembangan lain pula, Olivier Giroud sah menyertai Chelsea dalam perjanjian bernilai £18 juta bagi membolehkan pemain Dortmund, Pierre Emerick-Aubameyang menyertai Arsenal.

Berita ini jelas mengecewakan sebilangan besar peminat Arsenal yang sedih untuk melihat Giroud menyertai pasukan seteru utama. Seperti diketahui, Giroud kurang mendapat peluang dalam kesebelasan utama musim ini kerana Arsene Wenger lebih gemar menggunakan Alexander Lacazette sebagai penyerang utama.

Pedih buat peminat Arsenal melihat Giroud memakai baju biru

Tambahan pula, tahun ini merupakan tahun Piala Dunia bakal berlangsung dan Giroud sedar beliau perlu kerap bermain bagi membolehkan dirinya dipilih untuk mewakili skuad kebangsaan Perancis.

Selepas perpindahannya disahkan oleh Chelsea dan Arsenal, Giroud telah menulis satu mesej ringkas di Twitter peribadi bagi mengucapkan penghargaannya kepada peminat Arsenal sepanjang 5 tahun setengah menjadi pemain di Emirates.

“Saya meluangkan masa selama 5 tahun setengah yang menakjubkan untuk bermain bersama keluarga Arsenal.  Kisah gembira ini berakhir hari ini.”

“Terima kasih atas sokongan anda semua. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada peminat Arsenal atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka sejak saya tiba di Arsenal.”

BACA:  Video: Penyokong Arsenal Cuba Tenggelamkan Suara Nyanyian 'You'll Never Walk Alone'