Pengurus Arsenal, Unai Emery tidak menghalang Joachim Low dari memasuki pusat latihan Arsenal untuk berjumpa dengan Mesut Ozil seperti yang dilaporkan beberapa akhbar tabloid Britain.
Berikutan prestasi buruk Jerman di Piala Dunia 2018, Ozil merupakan pemain yang paling teruk dikritik kerana kegagalan Jerman untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka empat tahun yang lalu di Brazil.
Tambah mengeruhkan keadaan, Ozil ada berjumpa dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebelum bermulanya kempen Piala Dunia. Ozil teruk dikecam disebabkan pertemuan tersebut dan banyak pihak mempersoalkan kesetiaannya kepada Jerman.
Disebabkan serangan ini, Ozil akhirnya membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan persaraan beliau dari skuad kebangsaan Jerman. Beliau mendakwa menjadi mangsa diskriminasi dari sesetengah pihak di Persekutuan Bola Sepak Jerman kerana asal usulnya yang berasal dari Turki.
Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ozil yang mengakatan wujud masalah perkauman dalam kem Jerman. Low juga berkata Ozil tidak pernah datang kepadanya untuk berbincang mengenai hal ini sebelum mengumumkan persaraannya.
Low yang berada di London bagi menghadiri majlis ‘The Best FIFA Footbal Awards’ bercadang untuk melawat pusat latihan Arsenal untuk berjumpa dengan Mesut Ozil. Namun begitu, terdapat laporan mengatakan Low telah dihalang dari memasuki pusat latihan Arsenal atas arahan Emery.
Walau bagaimanapun, berita tersebut nyata palsu kerana tujuan sebenar Low singgah ke pusat latihan Arsenal adalah untuk berjumpa dengan Per Mertesacker yang kini bertindak sebagai Ketua Akademi Arsenal sejak Disember tahun lalu.
Low turut mengambil kesempatan tersebut dengan berjumpa dua pemain antarabangsa Jerman yang beraksi dengan Arsenal iaitu Shkodran Mustafi dan Bernd Leno. Difahamkan Ozil tiada di padang latihan ketika lawatan Low dan pengurus Jerman itu hanya sempat berbual dengan Mustafi dan Leno sahaja.
Low pernah ditanya mengenai isu perkauman yang wujud dalam kem Jerman sehingga menyebabkan persaraan Ozil tetapi beliau menafikan dakwaan tersebut sekeras-kerasnya.
“Tidak timbul sebarang isu perkauman dalam kem Jerman dan ia tidak patut dibincangkan langsung. Persekutuan Bola Sepak Jerman menentang segala unsur perkauman atau diskriminasi dan kami telah mengamalkan prinsip ini sejak bertahun lamanya.”
“Ozil berkata beliau mahu bersara. Ozil berkata dengan jelas yang beliau tidak mahu bermain lagi untuk Jerman. Jadi saya tidak faham mengapa kita harus bercakap mengenai isu ini lagi.”
“Ozil merupakan sebahagian dari skuad Jerman untuk satu tempoh masa yang lama tetapi sekarang tidak lagi. Bagi pasukan Jerman, beliau bukan lagi sebahagian dari skuad ini.”