Emery: Trofi Lebih Penting Dari Top 4

Pengurus Arsenal, Unai Emery menegaskan beliau mahu melihat Arsenal memenangi trofi dari menamatkan musim di kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris dalam musim pertamanya di Emirates Stadium.

Di bawah rejim terdahulu, Arsenal sering dikritik kerana Arsene Wenger lebih mementingkan ‘Top 4’ dari memenangi trofi. Ia terbukti musim lalu apabila Wenger sering menurunkan skuad yang lebih lemah dalam pertandingan seperti Europa League dan Piala Liga. Wenger juga pernah berkata menamatkan musim di kedudukan empat teratas lebih bermakna daripada memenangi piala.

Emery lebih suka melihat Arsenal memenangi Europa League dari menamatkan musim di kedudukan empat teratas. Piala lebih penting dari Top 4

Walaupun Arsenal memberi tumpuan yan lebih kepada saingan Liga Perdana Inggeris, mereka masih lagi gagal menempatkan diri dalam kelompok 4 teratas sejak dua musim yang lalu. Akibatnya, Arsenal gagal melayakkan diri untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah untuk dua musim berturut-turut dan ia juga menjadi punca utama mengapa Wenger kehilangan tempatnya selaku pengurus Arsenal.

Namun demikian, pengganti Wenger, Unai Emery berkata beliau mahu mengubah trend yang ditetapkan Wenger sebelum ini dengan memberi tumpuan yang lebih kepada memenangi trofi.

“Jika saya diberi pilihan samada untuk memenangi Europa League atau menamatkan musim di kedudukan empat teratas, saya akan pilih Europa League. Bagi saya, Europa League merupakan kejohanan yang sangat penting.”

“Ia merupakan satu trofi dan bagi kami, setiap trofi memberi jalan terbaik untuk masa depan yang cerah.”

Wenger terkenal dengan pendekatan beliau yang mementing Top 4 dari memenangi piala

Emery sememangnya dikenali sebagai pakar dalam memenangi Europa League. Sebelum bergelar pengurus Paris Saint-Germain pada tahun 2016, beliau berjaya memenangi 3 trofi Europa League berturut-turut ketika menguruskan pasukan Sevilla di Sepanyol. Namun begitu, Emery menegaskan beliau tidak akan sekali-kali memandang rendah kepentingan Liga Perdana Inggeris dalam mengejar trofi.

“Liga Perdana Inggeris sangat penting buat kami kerana ia merupakan pertandingan paling utama buat Arsenal. Pertandingan ini juga akan menunjukkan kredibiliti pasukan sepanjang musim ini.”

“38 perlawanan akan memberikan gambaran kepada kami dan pasukan lawan yang lain mengenai pasukan mana yang paling layak untuk berada di kedudukan empat teratas.”

3 trofi Europa League berturut-turut dari 2014 hingga 2016. Memang pakar

“Saya sangat yakin kami mempunyai sebuah pasukan yang amat kompetitif untuk mencapai sasaran tersebut. Saya sangat yakin.”

Arsenal akan meneruskan kempen Liga Perdana Inggeris dengan pertemuan sukar menentang Everton pada malam ini di hadapan penyokong sendiri. Bekas pemain sayap Arsenal, Theo Walcott akan kembali ke Emirates buat kali pertama selepas bermain untuk Arsenal selama 12 tahun.

BACA:  Penyokong Arsenal Salahkan Chelsea 'Loan' Pemain Power Punca Mereka Berkicap Lawan Palace