Enam Negara Kerdil Yang Masih Berpeluang Layak ke Piala Dunia 2018

Bila bercakap pasal Piala Dunia, nama-nama negara gergasi yang sering menjadi sebutan ialah Brazil, Perancis, Jerman, Sepanyol, Selangor dan juga Argentina. Namun, ramai juga yang lupa bahawa tanpa pasukan kerdil, Piala Dunia tidak akan semeriah seperti yang kita sering saksikan.

Beberapa hari lalu kami telah kongsikan senarai beberapa negara gergasi yang berdepan kemungkinan tidak layak ke Piala Dunia.

Kali ini, kami kongsikan pula beberapa negera yang tidaklah dikenali sebagai gergasi bola sepak dunia namun masih berpeluang untuk layak ke kejohanan sukan yang paling terkemuka di dunia tersebut.

Ireland Utara

Negara jajahan Britain ini bukanlah satu kuasa besar bola sepak suatu ketika dahulu dan kali terakhir Ireland Utara layak ke Piala Dunia adalah pada tahun 1986 di Mexico dan mereka gagal melepasi peringkat kumpulan. Namun sejak mula dibimbing oleh Michael O’Neil, nasib pasukan ini berubah serta merta.

O’Neill bukanlah seorang pemain kelas dunia seperti Jurgen Klinsmann atau pengurus yang pernah menjulang piala utama bola sepak, namun kepintarannya mengendalikan pasukan telah membawa Ireland Utara ke peta dunia bola sepak.

Pada musim panas tahun lalu, Ireland telah layak ke Kejohanan Eropah – kejohanan utama yang pertama dalam tempoh 30 tahun. Lebih manis lagi, pasukan ini telah layak ke pusingan kedua sebelum dihantar pulang oleh Wales.

Dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018, Ireland Utara menduduki tangga kedua kumpulan C di belakang Jerman yang telah layak ke Russia. Ini bermakna Ireland Utara perlu bermain di pusingan kalah mati dan berkemungkinan besar akan bertemu pasukan seperti Itali, Sweden dan Croatia.

Andai Ireland Utara berjaya layak ke Piala Dunia, kita sekali lagi akan disajikan dengan lagu Will Griggs On Fire. Sedap juga lagu tu.

Iceland

Seperti Ireland Utara, Iceland juga tidak mempunyai sejarah bola sepak yang hebat namun sejak pelan pembangunan bola sepak untuk jangka masa panjang telah dijalankan di negara Scandinavia tersebut, pasukan ini semakin dikenali di mata dunia.

Dalam Kejohanan Eropah pada tahun lalu, mereka telah menunjukkan pintu keluar kepada pasukan England dan layak sehingga peringkat suku akhir.

Sepanjang kempen kelayakan ke Russia pula, Iceland kini mendahului kumpulan I selepas sembilan perlawanan dan dibezakan dua mata dengan pasukan tangga kedua, Croatia.

Morocco

Selepas layak ke Piala Dunia 1998 di Perancis, pasukan benua Afrika ini terus gagal untuk menjejakkan kaki ke kejohanan sukan yang paling berprestij di dunia.

Dalam kempen kelayakan, pasukan yang diketuai oleh pemain Juventus, Mehdi Benatia ini mendahului kumpulan D, satu mata mengatasi Ivory Coast dengan baki satu perlawanan.

Lebih epik lagi, pertemuan Morocco dan Ivory Coast pada 6 November 2017 nanti bakal menentukan siapa juara kumpulan sekaligus mengesahkan tempat ke Russia pada tahun hadapan.

Panama

Asal usul nama negara ini bukanlah diberi oleh orang Kedah, Perlis, Pulau Pinang ataupun Taiping, dan pasukan bola sepak mereka juga tidaklah dikenali seperti negara serantau seperti Amerika Syarikat, Mexico atau Honduras. Malah mereka juga tidak pernah layak ke Piala Dunia.

Akan tetapi, kempen kelayakan kali ini memberikan sedikit sinar buat mereka. Selepas sembilan perlawanan, Panama menduduki tangga kelima kumpulan, dua mata di belakang pasukan di tangga keempat, Amerika Syarikat dan berkongsi mata dengan Honduras di tangga kelima.

Dalam zon Concacaf, pasukan yang menduduki tangga keempat di akhir kempen kelayakan bakal layak secara terus ke Piala Dunia dan pasukan di tangga kelima perlu melalui satu perlawanan kalah mati menentang pasukan dari Asia.

Kalau dilihat dari kalangan pemain yang dipanggil kebelakangan ini, majoriti daripada mereka adalah yang bermain di liga-liga di luar Panama seperti di Amerika Syarikat, Mexico dan juga Eropah.

Ini bermaksud pemain professional mereka sedar, untuk mengubah nasib bola sepak negara, mereka perlu menimba ilmu di negara yang lebih maju, bukan acah-acah sayangkan liga kampung yang tidak berapa kompetitif.

Peru

Seperti Panama, Peru juga bukanlah pasukan yang dikenali berbanding jiran-jiran serantau, namun mereka juga measang hajat yang besar untuk layak ke Piala Dunia kali ini memandangkan kali terakhir mereka bertanding di piala tersebut adalah pada tahun 1982 di Sepanyol.

Kali ini, berbekalkan pemain yang bermain di liga Sepanyol, England, Brazil dan Amerika Syarikat dan diketuai Paolo Guerrero, Peru berada di tangga kelima kumpulan kelayakan, berkongsi mata dengan pasukan di tangga keenam, Argentina, dan satu mata di belakang Colombia di tangga keempat.

Perlawan terakhir Peru? Menentang Colombia di laman sendiri pada 10 Oktober nanti.

Jika mereka menang, tempat di Piala Dunia bakal menanti mereka memandangkan mereka lebih superior dari segi jumlah jaringan berbandng Argentina.

Syria

Syria seringkali menjadi tumpuan dunia namun bukan untuk sebab yang enak. Negara ini telah diselubungi perang yang berpanjangan sejak 2011.

Disebabkan perang juga, pasukan bola sepak mereka tidak dibenarkan untuk bermain kempen kelayakan di tempat sendiri kerana isu keselamatan dan mujurlah Malaysia sudi untuk membenarkan pasukan negara Arab ini bermain di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Dalam pusingan kalah mati menentang Australia minggu lalu di Melaka, Syria telah mengikat pasukan Australia 1-1 dan mereka akan kembali berentap di Australia ada 10 Oktober.

Andai Syira berjaya menewaskan The Socceroos, mereka bakal bertemu pasukan dari zon Concacaf untuk satu lagi pusingan kalah mati. Meskipun tidak dapat memberikan keamanan kepada negara tersayang, kejayaan mereka layak ke Piala Dunia nanti pasti akan memberikan sedikit senyuman di wajah rakyat yang terseksa akibat sikap tamak kuasa dan kebabian ahli politik.

Baca Juga

Baca Juga