Jurgen Klopp: Perjalanan Terakhir Seorang Legenda Liverpool
Jurgen Klopp duduk di luar pusat latihan Liverpool, menikmati udara segar selepas meninggalkan pejabatnya untuk kali terakhir pada Mei lalu.
“Pada saat ini, saya hampir pasti tidak akan bekerja sebagai pengurus lagi,” katanya.
“Saya akan baik-baik saja. Dan lebih penting, kelab juga akan baik-baik saja kerana anda sudah melihat pasukan ini. Mereka adalah sekumpulan pemain hebat yang akan terus berkembang.”
Kini, Liverpool memasuki era baharu di bawah kendalian Arne Slot dan dokumentari 4 bahagian di Prime Video, Doubters to Believers: Liverpool FC — Klopp’s Era, membawa peminat mengimbas kembali detik kegemilangan Klopp di Anfield.
Mengubah Fokus Dokumentari
Pada asalnya, dokumentari ini dirancang untuk merakam musim terakhir Klopp bersama Liverpool. Namun, apabila menjadi jelas bahawa musim itu tidak akan berakhir dengan kejayaan besar, fokus dokumentari diperluaskan untuk merangkumi keseluruhan perjalanan Klopp di Liverpool termasuk sedikit imbasan tentang hari-harinya di Mainz dan Borussia Dortmund.
Untuk memastikan dokumentari ini lebih lengkap, Klopp bersetuju ditemu ramah di rumahnya di Majorca pada musim panas lalu. Dokumentari ini sarat dengan rakaman perlawanan bersejarah dan wawancara dengan individu penting. Namun, mereka yang mengharapkan paparan eksklusif di bilik persalinan mungkin sedikit kecewa kerana akses yang terhad.
Perbualan Lijnders dan Nunez
Salah satu detik menarik dalam dokumentari ini adalah perbualan antara pembantu pengurus, Pep Lijnders dan Darwin Nunez di bilik analisis.
“Kamu perlu berlatih bersungguh-sungguh dan jangan cepat kecewa,” kata Lijnders dalam bahasa Portugis sambil menunjukkan klip perlawanan.
“Kamu antara yang terbaik di Eropah dalam gabungan gol dan bantuan gol. Kamu telah mencatat 23 sumbangan dalam 36 perlawanan. Ramai penyerang hanya fokus menjaringkan gol tetapi kamu banyak mencipta peluang untuk rakan sepasukan. Kamu masih boleh menjadi lebih baik.”
Dokumentari ini turut menunjukkan peranan besar Lijnders dalam pasukan, termasuk perbalahannya dengan Klopp mengenai pinjaman Conor Bradley ke Bolton pada 2022. Lijnders mahu Bradley kekal tetapi Klopp bertegas dengan keputusannya.
“Kejadian itu benar-benar mengecewakan saya. Itu adalah yang pertama dan terakhir saya bertelagah dengan Jurgen,” dedah Lijnders.
Jones Mendenda Salah
Dalam satu babak lain, Curtis Jones membawa kru kamera mengelilingi pusat latihan Liverpool. Ketika memasuki bilik fisioterapi, dia melihat Mohamed Salah menggunakan telefon bimbit ketika mendapatkan rawatan.
“Kita ada denda di sini. Itu £250!” kata Jones dengan gembira.
Jones juga melawat sekolah lamanya, St Vincent de Paul Catholic Primary dan mengimbau kenangan zaman kanak-kanaknya. Dalam satu sesi soal jawab bersama pelajar, dia bergurau mengenai Klopp yang bakal meninggalkan Liverpool:
“Dia boleh berehat dengan keluarga sekarang… dan membelanjakan wangnya!”
Klopp sendiri cukup menghargai Jones dan percaya bahawa pemain itu memiliki keyakinan luar biasa.
“Dia tidak pernah meragui kebolehannya sendiri dan saya sangat menyukai perkara itu. Ia sangat berbeza dengan personaliti saya. Saya sendiri tak tahu bagaimana saya sampai ke tahap ini tetapi dia yakin dia berada di tempat yang tepat,” kata Klopp.
Elliott dan Keluarga yang Sentiasa Bersama
Dokumentari ini juga memaparkan kisah menarik mengenai Harvey Elliott dan keluarganya. Ayahnya, Scott menceritakan detik selepas Elliott menandatangani kontrak dengan Liverpool pada 2019.
“Dia menggenggam tangan saya dan berkata, ‘Kita berjaya, ayah.’ Kami berdua terus menangis dan saya terpaksa memberhentikan kereta di tepi jalan untuk berpelukan selama seminit,” kata Scott.
Elliott mengakui bahawa dia mahu membalas pengorbanan keluarganya.
“Saya sebenarnya sedang hidup dalam impian ayah saya. Jadi, saya mahu menikmati setiap detik ini bersama dia,” katanya.
Namun, tidak semua momen indah. Dalam perlawanan suku akhir Liga Europa menentang Atalanta di Anfield, Elliott dikeluarkan pada separuh masa pertama selepas Liverpool tewas 3-0.
“F***, percubaannya dah kena tiang dan palang. Itu memang menyakitkan,” kata Scott. “Dia perlu lebih tegas dengan dirinya sendiri. Kalau dia terlalu selesa dengan apa yang dia lakukan sekarang, itu tak boleh diterima. Dia kena terus berusaha. Setiap hari adalah peluang untuk belajar.”
Kenangan Manis dan Pahit Klopp
Klopp turut mengimbau detik paling bersejarah dalam kariernya di Liverpool.
Dia masih mengingati kemenangan dramatik ke atas Barcelona dalam separuh akhir Liga Juara-Juara 2019 dan bagaimana dia meminta pemainnya menutup mata selama 10 saat sebelum perlawanan.
“Saya suruh mereka bayangkan perlawanan terbaik yang mereka pernah main. Kemudian saya suruh buka mata dan berkata, ‘Itulah yang kita perlukan hari ini.’ Kisah itu tak akan berlaku lagi,” katanya.
Dia juga bercakap tentang kejayaan memenangi Piala Carabao 2024 walaupun pasukan dibelenggu kecederaan.
“Ia seperti menaiki permaidani terbang—kami hanya duduk dan terbang,” katanya.
Namun, ada juga kenangan pahit, seperti kekalahan 2-0 kepada Everton di Goodison Park pada April lalu.
“Sekarang saya kena fikir balik perlawanan s*** itu yang saya cuba lupakan?” katanya dengan geram. “Mungkin semuanya salah, sebab kami bermain sangat teruk.”
Selamat Tinggal, Klopp
Bahagian akhir dokumentari ini adalah yang paling menyentuh hati. Klopp sudah menerima hakikat bahawa masanya di Liverpool telah berakhir.
“Saya melihatnya sebagai satu perjalanan yang luar biasa,” katanya. “Saya sudah melakukan segalanya yang saya mampu. Saya bukan seorang genius, jadi satu-satunya cara untuk berjaya adalah bekerja keras dan saya sudah melakukannya.”
Melihat gambar lama dirinya di Anfield pada 2015, dia berkata, “Ini bukti kenapa saya perlu pergi… lapan setengah tahun lalu tapi nampak macam sudah 500 tahun!”
Dia juga tidak selesa dengan gelaran ‘legenda’.
“Saya tidak melihat cermin setiap pagi dan berkata, ‘Kamu seorang legenda!’” katanya sebelum ketawa besar seperti biasa.
Dokumentari ini diakhiri dengan ucapan perpisahan Klopp kepada para pemain selepas perlawanan terakhirnya di Anfield.
“Saya nak kata ‘Saya sayang kamu semua’. Ini perjalanan yang luar biasa. Terima kasih untuk segalanya. Saya sangat bangga. Masa depan kamu semua tiada had.”
Melihat bagaimana Liverpool terus berkembang di bawah Arne Slot, kata-kata Klopp itu kini terbukti benar.