FA Cup: Arsenal Lembik Dikerjakan Oleh Nottingham Forest

Nottingham Forest cemerlang tendang Arsenal keluar dari saingan FA Cup selepas mereka menewaskan skuad kendalian Mikel Arteta itu awal pagi tadi.

Arsenal berkunjung ke City Ground untuk beraksi bertemu Nottingham Forest di pusingan ketiga saingan FA Cup musim ini.

Arsenal menurunkan Bernd Leno dalam kesebelasan utama mereka dalam perlawanan ini dengan Aaron Ramsdale direhatkan di bangku simpanan.

Pemain-pemain lain yang diturunkan sememangnya pemain utama Gunners dan mereka jelas sekali mahu mencatatkan kemenangan dalam perlawanan ini.

Walau sudah menurunkan skuad terbaik mereka, namun ketumpulan jentera serangan dan aksi hambar pemain midfield menyebabkan Gunners terpaksa akur tewas dalam perlawanan ini.

Lewis Grabban menjaringkan satu-satunya gol dalam perlawanan ini pada minit ke-83 permainan, dengan gol jaringan beliau itu berjaya membantu Nottingham Forest untuk menewaskan Gunners.

Grabban cemerlang menyempurnakan hantaran lintang yang sungguh cantik dari Ryan Yates untuk menewaskan Leno yang sememangnya beraksi agak cemerlang dalam perlawanan ini.

Gol di minit-minit akhir perlawanan itu diraikan dengan penuh meriah oleh para pemain Nottingham Forest, dengan beberapa orang penyokong turut masuk ke padang untuk meraikan gol tersebut bersama mereka.

Ia merupakan kemenangan yang cukup bermakna untuk skuad Nottingham Forest, dengan mereka berjaya menyingkirkan pasukan di kedudukan empat teratas dalam saingan Premier League itu.

Arsenal yang turut dianggap sebagai maharaja dalam saingan FA Cup sejak beberapa tahun kebelakangan ini terpaksa akur ditendang keluar di pusingan ketiga, oleh pasukan dari saingan Championship.

Baru saja semalam mereka mentertawakan Newcastle tewas walau sudah menurunkan skuad terbaik mereka, hari ini tuhan bayar tunai mereka pula yang diaibkan oleh pasukan dari liga bawahan.

Para pemain Arsenal jelas tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka, dan lebih teruk lagi jentera serangan mereka seolah-olah langsung tidak berfungsi dalam perlawanan ini.

Pemain midfield Nottingham Forest juga sangat bebas bergerak dalam perlawanan ini dengan mereka jelas dilihat lebih dominan.

Bukayo Saka, Martin Odegaard dan Gabriel Martinelli gagal mempamerkan aksi persembahan terbaik mereka, dengan mereka jelas tidak berfungsi dengan baik.

Pemain midfield Nottingham Forest, James Garner merupakan antara pemain terbaik dalam perlawanan ini dengan beliau telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan.

Bukan hanya beraksi cemerlang, beliau juga turut mencatatkan statistik yang sungguh luar biasa dasyat ketika membantu Nottingham Forest menjinakkan Arsenal.

Beliau berjaya memenangi 100 peratus perebutan bola di udara dalam perlawanan ini, mencatatkan 76 peratus hantaran tepat, melakukan 41 sentuhan, melakukan 6 ball recoveries, 3 clearance, memenangi 3 perebutan bola, 2 hantaran jauh sempurna, 2 pintasan dan satu percubaan.

Kehebatan beliau dalam perlawanan ini menyebabkan pemain midfield Arsenal mati akal untuk memulakan gerakan dan kerana itulah jentera serangan Gunners mencatatkan statistik yang sangat hambar dalam perlawanan ini.

Hari yang perlu segera dilupakan oleh kem Arsenal, selepas tiada tempat untuk beraksi di kejohanan Eropah, mereka tersingkir pula dari saingan FA Cup.

Tumpuan mereka pada ketika ini adalah memastikan mereka akan menamatkan saingan liga di kedudukan empat teratas pada akhir musim nanti.

Arsenal juga mungkin akan melakukan yang terbaik untuk aksi dalam saingan Carabao Cup bertemu Liverpool nanti, kerana ia merupakan satu-satunya peluang untuk mereka memenangi Piala pada musim ini.

Arsenal hari ini turun beraksi memakai jersi putih sempena meraikan kempen β€˜No More Red’ yang mana ia merupakan kempen untuk melindungi golongan remaja dari jenayah melibatkan pisau dan keganasan terhadap remaja.

Sumber: Emirates FA Cup

BACA:Β  Arsenal Menegaskan Yang Mereka Tidak Akan Melepaskan Saka Kepada Liverpool