Fabrizio Sahkan Sheikh Jassim Tarik Diri Beli Manchester United

Wartawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano menjadi antara individu terawal mengesahkan penarikan diri Sheikh Jassim melalui konsortium Qatar nya untuk menjadi pemilik Manchester United.

Menurut Romano melalui satu hantaran di X (dulu dikenali sebagai Twitter), Jassim dikatakan telah datang untuk berbincang dengan keluarga Glazer untuk mengemukakan bidan terus kepada pemilik dari Amerika Syarikat itu.

Bidaan tersebut dipercayai bernilai dua kali ganda daripada nilai sebenar kelab itu.

Bidaan tersebut bagaimanapun ditolak oleh keluarga Glazer sekali lagi. Kecewa dengan pendirian keluarga Glazer, Jassim terus memaklumkan bahawa dia kini bersedia untuk menarik diri daripada seluruh proses.

Melalui satu lagi hantaran, Romano berkata tawaran Jassim adalah untuk mendapatkan 100% pegangan, melangsaikan semua hutang kelab, dan mengambil alih kelab Manchester itu tanpa membuat hutang baharu [pinjaman bank].

Kem Jassim enggan memberikan komen lanjut mengenai keputusan tersebut namun mengesahkan mereka bukan lagi antara calon yang memiliki Manchester United selepas ini.

Penarikan diri Sheikh Jassim untuk mendapatkan pemilikan Manchester United bermaksud keluarga Glazer hanya mempunyai Sir Jim Ratcliffe sebagai satu-satunya pembida.

Ratcliffe yang merupakan seorang penyokong Manchester United sejak kanak-kanak dikhabarkan hanya mahu mendapatkan pegangan minoriti sebanyak 25% untuk memastikan keluarga Glazer kekal sebagai pemilik utama.

Perkhabaran terbaru ini pasti menyebabkan ramai penyokong United marah dengan keluarga Glazer selepas beberapa siri protes untuk menghalau pemilik dari Amerika Syarikat itu keluar dari kelab mereka diadakan di Manchester.

Tindakan Glazer menuntut harga yang lebih tinggi daripada Sheikh Jassim juga sebenarnya sudah dijangka.

Melalui kolum khas di CaughtOffside, bekas super ejen Jon Smith menulis: “Jujurnya saya tidak terlibat di dalam proses pengambilalihan ini, tetapi saya mengenali beberapa individu yang rapat dengan kedua-dua pembida.

“Dan melalui siasatan saya keluarga Glazer dipercayai mahu menyemak kembali bidaan [terutama] dari Timur Tengah mengambil kira potensi pertandingan yang lebih besar [melibatkan Manchester United]. Mereka [Glazer] enggan terus berpuas hati dengan tawaran pada hari ini.

“Tidak diragui mereka [Glazer] kini memiliki entiti terbesar di dalam bola sepak. Dan jika [pada hari ini] pihak Qatar menawarkan £5 billion, Glazer mungkin akan meminta £10 billion.”

BACA:  FA Cup Suku Akhir: Norwich City 1-2 Manchester United