Pemain tengah Manchester City, Fernandinho berharap Liverpool akan kecundang dalam menangani tekanan selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris seterusnya membantu The Citizens untuk mengekalkan kejuaraan liga yang dimenangi mereka musim lepas.
Berikutan kemenangan 2-1 ke atas Liverpool dua hari yang lalu, jurang mata di antara Manchester City dengan pendahulu liga dikurangkan menjadi 4 mata. Ia juga merupakan kekalahan pertama anak buah Jurgen Klopp musim ini dalam saingan liga sekaligus meranapkan impian pasukan dari Merseyside itu untuk memenangi trofi Liga Perdana Inggeris bersalut emas.
Kali terakhir Liverpool memenangi kejuaraan liga di England adalah pada tahun 1990. Sejak Liga Perdana Inggeris diperkenalkan pada tahun 1992, Liverpool tidak pernah menjulang trofi tersebut dengan Manchester United dibawah bimbingan Sir Alex Ferguson sering memenanginya sehingga mampu memintas rekod kejuaraan liga yang dipegang Liverpool sejak sekian lama.
Fernandinho bukanlah asing dalam kancah Liga Perdana Inggeris. Tidak seperti Liverpool, beliau pernah merasai pengalaman menjulang trofi Liga Perdana Inggeris, bukan sekali tapi dua kali. Dan disebabkan perkara tersebut, Fernandinho percaya Liverpool tidak akan mampu untuk menangani tekanan tinggi selaku pendahulu liga.
“Jurang 4 mata akan menjadikan keadaan lebih menarik buat kedua-dua pasukan sehingga penghujung musim nanti.”
“Liverpool masih lagi pendahulu liga dan masih lagi banyak yang perlu mereka harungi. Bukan mudah sebenarnya untuk berada di persada liga kerana tekanan memang cukup tinggi. Anda perlu memenangi setiap perlawanan, dan kita lihat apa yang akan berlaku nanti.”
Dalam pertembungan liga di antara dua pasukan teratas kelmarin, barisan tengah Manchester City nyata berada dalam kelas tersendiri dimana mereka berjaya mengubah hala tuju perlawanan sehingga memperolehi kemenangan.
“Saya gembira untuk terlibat, ia merupakan perlawanan yang baik menentang pendahulu liga.”
“Kami mempunyai peluang untuk menunjukkan kualiti sebenar pasukan ini selepas dua keputusan yang buruk. Kami kembali ke landasan yang betul dan kembali memenangi perlawanan. Pasukan ini kembali bermain dengan baik dan ia merupakan perkara yang bagus untuk kami.”
“Ia juga merupakan perlawanan yang bagus untuk semua pihak, terutamanya para peminat kami. Mereka sangat teruja dan saya gembira melihat mereka.”
Selepas kekalahan mengejut di tangan Crystal Palace dan Leicester sebelum ini, Fernandinho menolak dakwaan Manchester City mempunyai sesuatu untuk dibuktikan ketika menentang Liverpool.
C’MON! Until the end ???????? Great team effort! We are City! pic.twitter.com/p7DKnejJP4
— Fernandinho (@fernandinho) January 3, 2019
“Tidak sama sekali. Kami mempunyai sesuatu untuk dibuktikan dalam setiap perlawanan sebenarnya.”
“Musim lepas kami berjaya mengutip 100 mata – 50 mata di tempat sendiri dan 50 mata di tempat lawan. Jadi sekarang kami perlu terus berusaha dan cuba memenangi setiap perlawanan.”