Can: Sesi Latihan Juventus Lebih Susah Dari Liverpool

Pemain antarabangsa Jerman, Emre Can berkata beliau mendapati sesi latihan bersama Juventus adalah lebih sukar jika dibandingkan dengan Liverpool walaupun ada pihak yang mendakwa latihan di bawah Jurgen Klopp agak meletihkan.

Can bermain untuk Liverpool selama 4 musim selepas berpindah dari Bayern Leverkusen pada tahun 2013, dan melakukan 166 penampilan bersama kelab Merseyside tersebut.

Can sudah menjaringkan 4 gol untuk Juventus setakat ini

Sepanjang mewakili The Reds, Can dianggap watak penting dalam skuad utama dan tidak pernah bermain kurang dari 37 perlawanan dalam setiap musim beliau bersama Liverpool.

Walau bagaimanapaun, akibat kegagalan pasukan tersebut untuk memenangi trofi secara konsisten, Can mengambil keputusan untuk meninggalkan Liverpool bagi menyertai Juventus secara percuma.

Can tidak melanjutkan kontraknya bersama Liverpool dan ia membuka ruang buat Juventus untuk menawarkan kontrak yang lumayan kepada Can untuk berhijrah ke Itali.

Sejak menyertai Juventus awal musim ini, Can tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri. Beliau telah melakukan 31 penampilan dalam semua pertandingan dengan Juventus selesa mendahului Serie A disamping berada dalam peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Sesi latihan Liverpool tidak sesukar Juventus !

Can juga tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diterapkan Massimiliano Allegri.

“Saya pernah mengadu kepada Jurgen Klopp mengenai sesi latihan yang amat sukar di Liverpool ! Tetapi sesi latihan di Juventus adalah lebih sukar.”

“Kami perlu berlari lebih banyak dan melakukan banyak latihan kekuatan. Ia merupakan satu cabaran buat saya pada permulaan. Tetapi sekarang badan saya sudah terbiasa dengan latihan sebegeni.”

Walaupun meninggalkan Liverpool dalam situasi yang kurang manis, Can berkata beliau masih mengekalkan hubungan yang baik dengan Klopp, yang baru sahaja membimbing Liverpool mencatatkan kemenangan selesa 2-0 ke atas Porto awal pagi tadi.

Can mengakui beliau terpaksa membuat keputusan yang sukar ketika meninggalkan Liverpool, tetapi percaya beliau telah membuat keputusan yang tepat.

“Klopp memang kecewa. Beliau mahu saya terus kekal di Liverpool, tetapi menerima keputusan yang saya ambil.”

“Klopp juga tahu keputusan ini bukannya disebabkan saya tidak sukakan beliau atau Liverpool, tetapi demi mencari cabaran baru bersama Juventus.”

“Saya mempunyai memori yang berharga sepanjang bersama Liverpool dan saya akan sentiasa bersyukur terhadap sokongan dari semua pihak ketika saya berada di sana. Saya juga masih lagi berhubung dengan Jurgen Klopp.”

Air dicincang tidak akan putus. Can dan Klopp masih lagi bersama

Bagi pertemuan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah awal pagi nanti menentang Ajax, Can tidak akan turut serta kerana mengalami kecederaan.

“Allegri adalah seorang pakar dalam bab taktikal. Beliau mempersiapkan pasukan dalam cara yang berbeza bagi setiap perlawanan dan sentiasa mencuba perkara baru.”

“Kami perlu menyerang dan bertahan dalam cara yang berbeza bagi setiap perlawanan. Bagi Allegri, setiap informasi walaupun kecil amat penting.”

BACA:  Manchester United Memintas Liverpool Sebagai Pasukan Lebih Hebat