Fernando Torres Sah Tinggalkan Atletico Madrid Hujung Musim Nanti

Penyerang Atletico Madrid, Fernando Torres mengesahkan beliau tidak akan kekal lagi bersama Atletico Madrid musim hadapan tetapi bertekad untuk meneruskan kariernya di tempat lain.

Dalam perkembangan terkini, Torres mengesahkan desas-desus yang mengatakan Atletico tidak akan menawarkan kontrak kepadanya musim hadapan, tetapi beliau mendakwa tidak akan bersara lagi buat masa sekarang.

Pengakhiran buat El-Nino bersama kelab kesayangannya

Torres menyertai Atletico Madrid seawal usia 10 tahun dan hanya mengambil masa selama 6 tahun sahaja di akademi kelab tersebut sebelum melakukan debutnya bersama pasukan utama pada usia 16 tahun. Beliau berada dalam pasukan utama selama 6 musim sebelum berpindah ke Liverpool pada tahun 2007.

Bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu berjaya menjaringkan 65 gol dalam 102 penampilan di Liga Perdana Inggeris sebelum berpindah ke Chelsea pada tahun 2011 dengan yuran perpindahan sekitar  £50 juta.

Walaupun berjaya memenangi banyak kejuaraan bersama Chelsea termasuk Liga Juara-Juara pada tahun 2012, prestasi beliau merudum dengan teruk dan jauh berbeza dengan apa yang pernah dipamerkannya ketika bersama Liverpool.

Torres kembali ke Atletico Madrid pada tahun 2015 dan prestasinya menunjukkan tanda-tanda pemulihan di bawah Diego Simeone. Beliau turut berjaya menambah koleksi gol beliau dalam La Liga menjadi 92 gol.

Siapa boleh lupa jaringan beliau ketika menewaskan Jerman dalam final Euro 2008

Kini berusia 34 tahun, Torres mengakui masanya sudah tiba untuk meninggalkan Atletico Madrid bagi fasa seterusnya dalam karier yang dipenuhi dengan trofi di peringkat kelab mahupun antarabangsa.

“Ketika saya mula-mula menyertai Atletico, saya masih lagi berusia 10 tahun dan saya menganggap kelab ini sebagai rumah saya. Saya bertuah kerana dapat melakukan debut, bermain dan menjaringkan gol untuk kelab ini.”

“Atletico Madrid akan terus menjadi rumah saya. Saya mampu membeli banyak kediaman, tetapi saya hanya ada satu rumah. Saya merupakan sebahagian dari skuad Atletico yang bersaing merebut kejuaraan liga dan Atletico akan terus kekal menjadi rumah saya untuk selama-lamanya.”

“Musim ini merupakan musim terakhir saya bersama Atletico Madrid. Ini bukan keputusan yang mudah untuk diambil, tetapi berdasarkan keadaan semasa, mungkin ini keputusan terbaik buat saya dan pihak kelab.”

“Badan saya masih lagi mampu bermain. Saya mahu mencuba nasib bermain di tempat lain pula.”

Lagenda Liverpool sebelum hancur di Chelsea.
i7

Europa League merupakan peluang terakhir buat Torres mengecap trofi dalam musim terakhirnya di Atletico Madrid. Mereka berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Sporting CP dalam perlawanan pertama pusingan suku akhir Europa League dan hampir pasti akan layak ke pusingan seterusnya.

Dalam saingan La Liga pula, persaingan kini terarah untuk meraih kedudukan ke-2 dalam La Liga dengan Barcelona hampir pasti akan dinobatkan sebagai juara liga tidak lama lagi memandangkan mereka mempunyai kelebihan 11 mata di hadapan pencabar terdekat.

BACA:  Penyokong Setan Merah Dituduh Bawa Suwey Kepada Chelsea