FIFA Angkat Gol Sean Selvaraj Sebagai Layak Dicalonkan Untuk Anugerah Puskas?

Fédération internationale de Football Association (FIFA) melalui laman Twitter rasminya telah mengangkat gol pemain Negeri Sembilan, Sean Selvaraj sebagai tiga gol terbaik dunia minggu ini.

FIFA juga telah bertanya kepada para pengikutnya adakah salah satu daripada tiga jaringan ini boleh menjadi calon untuk anugerah Puskas?

Gol Sean Selvaraj ini adalah gol kemenangan dalam aksi kebangkitan luar biasa Negeri Sembilan ke atas skuad Gergasi Merah selepas ketinggalan dua gol.

“Kami memulakan minggu kami, dengan beberapa Monday Magic. Bolehkah mana-mana gol ini menjadi calon #Puskas?”

“Satu serangan ajaib. Letakkan gol ini di Louvre.”

Pada minit ke-88, Sean menerima hantaran pendek daripada Izzuddin di sebelah kiri padang. Tanpa dicabar oleh mana-mana pemain Selangor, walaupun Brendan Gan kelihatan berlari ke arahnya.

Sean mendapat ruang dan waktu yang cukup untuk mencari langkah yang sesuai lalu melepaskan satu rembatan melengkung ala-ala gelembung buaya tetapi melencong cantik tepat ke penjuru kiri gol Selangor.

Dalam bahasa mudah, Sean telah menjaringkan gol bertaraf Anugerah Puskas! Gol Sean ini turut mendapat perhatian daripada akaun Twitter bola sepak luar negara yang menciap video ini.

Dua gol lagi pilihan FIFA minggu ini bersama gol Sean Selvaraj adalah jaringan daripada pemain Club Atletico Central Córdoba, Francisco González Metilli dan pemain Kidderminster Harriers, Nathan Lowe.

Francisco González Metilli menjaringkan satu voli terbang diudara selepas mendapat umpanan cantik dari rakan sepasukannya. Padu.

Nathan Lowe juga tidak kurang padu dengan satu rembatan deras dari jauh yang terus merobek jaring lawan.

Anugerah Puskas merupakan anugerah tahunan diperkenalkan untuk pemain bola sepak lelaki atau wanita yang menjaringkan gol terbaik atau “fantastik” dengan kriteria tertentu yang memenuhi syarat sah Puskas untuk dicalonkan.

FIFA Puskas Award telah diperkenalkan pada tahun 2009 dan telah pun mempunyai 13 orang pemenang dan Cristiano Ronaldo merupakan pemenangan yang pertama.

Jika gol Sean Selvaraj ini tidak tercalon sekalipun namun gol ini telah menjadi bualan dunia bola sepak.

Gol Sean Selvaraj Pelengkap Kebangkitan Luar Biasa Negeri Sembilan

Negeri Sembilan melakukan kebangkitan yang luar biasa dalam perlawanan dalam perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium MBPJ semalam.

Selangor turun dengan Sam Somverville sebagai penjaga gol dan dibantu oleh Fazly Mazlan, Yazan Al-Arab, Sharul Nazeem dan Quentin Cheng di bahagian pertahanan.

Baha Abdelrahman, Alexander Agyarkwa, Mukhairi Ajmal dan Nor Hakim Hassan mengemudi bahagian tengah sambil bahagian serangan dipacu oleh Caion dan kapten marvel, Brendan Gan.

Pasukan pelawat, Negeri Sembilan, pula seperti biasa menampilkan penjaga gol yang semakin meningkat naik, Syihan Hazmi selaku penjaga gawang dengan bahagian pertahanan diterajui oleh Khuzaimi Piee, Herold Goulon dan Nasrullah Hanif dalam barisan tiga pertahanan.

Omid Nazari, Saiful Ridzuwan Selamat, Che Rashid dan Zamri Ramli membentuk gandingan empat pemain tengah manakala Matheus Alves, Gustavo dan Yashir Pinto memacu rangkaian tiga penyerang pasukan.

Perlawanan bermula dengan aksi biasa-biasa sahaja di mana kedua pasukan dilihat lebih banyak berhati-hati dalam menjana serangan. Walaubagaimanapun, pada minit kelapan, tiba-tiba pertahanan Negeri Sembilan, Goulon, melakukan aksi yang tak terjangkau pemikiran seorang insan.

Pada awalnya Goulon yang menerima umpanan Khuzaimi tidak berada dalam keadaan bahaya dan dia boleh melakukan hantaran ke atas atau clear bola dengan begitu awal. Tetapi selaku seorang insan yang boleh dikatakan berani mengambil risiko, Goulon melakukan pusingan bersama bola dalam keadaan yang tidak kemas – tidak sekemas bajunya yang tuck in.

Peluang ini dihidu oleh Caion yang melakukan tekanan ke atas pertahanan Negeri Sembilan ini, lalu merampas bola sambil melakukan cabaran fizikal kepada Goulon. Sebaik mendapat bola, Caion terus meluru masuk ke kotak penalti lalu melakukan satu sepakan lencong lantas menewaskan Syihan Hazmi yang separa sedia.

Iya lah, mana nak sedia bola tak bahaya tiba-tiba jadi bahaya.

Pada minit ke-29, sepakan percuma dari sebelah kanan padang daripada Mukhairi Ajmal telah ditanduk oleh Yazan yang melakukan lonjakan tinggi untuk menanduk bola.

Bola terbang masuk ke dalam gol, dan pengadil mengesahkan gol tersebut tetapi ada satu kemusykilan di situ.

Sewaktu bola melambung ke dalam kotak penalti, pengadil terlebih dahulu meniup wisel sebelum bola ditanduk oleh Yazan.

Jadi persoalannya, adakah gol tersebut sepatutnya dikira kerana bola hanya ditanduk beberapa milisaat selepas wisel ditiup?

Pada separuh masa kedua, Negeri Sembilan tampil dengan lebih bersemangat dan bertenaga dalam melancarkan serangan. Pada minit ke-65, meraka dihadiahkan sepakan percuma di luar permukaan kotak penalti dan Gustavo Dos Santos dengan begitu mantap melakukan sepakan tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan Somerville.

Ketepatan dan kejituan tendangannya boleh dianggap bertaraf Safiq Rahim.

Pada minit ke-79, Khuzaimi Piee mengambil sepakan percuma dari sebelah kanan padang dan sepakan lencongnya dapat dihidu dan dibaca oleh Gustavo Dos Santos yang kemudiannya melakukan tandukan sipi untuk sekali lagi menewaskan Somerville yang hanya mampu melihat bola masuk ke dalam gol.

Kedua-dua pasukan terus melancarkan serangan untuk mencari gol kemenangan dan sudah menjadi ketentuan bahawa malam ini milik bekas pemain Selangor, Sean Selvaraj.

Pada minit ke-88, Sean menerima hantaran pendek daripada Izzuddin di sebelah kiri padang. Tanpa dicabar oleh mana-mana pemain Selangor, walaupun Brendan Gan kelihatan berlari ke arahnya, Sean mendapat ruang dan waktu yang cukup untuk mencari langkah yang sesuai lalu melepaskan satu rembatan melengkung ala-ala gelembung buaya tetapi melencong cantik tepat ke penjuru kiri gol Selangor.

Dalam bahasa mudah, Sean telah menjaringkan gol bertaraf Anugerah Puskas! Gol Sean ini turut mendapat perhatian daripada akaun Twitter bola sepak luar negara yang menciap video ini.

Sesungguhnya, gol cantik seperti ini jika diulang lihat berpuluh kali pun masih belum mampu menghadirkan rasa bosan dan jemu di hati penonton.

Selepas gol tersebut Selangor cuba untuk bangkit mencari gol penyamaan, tetapi kecewa. Itulah, dah leading dua biji tapi tak main elok-elok.

Keputusan perlawanan ini menyaksikan Negeri Sembilan di tangga ketiga liga dengan 26 mata, manakala Selangor pula berada di tangga keenam  dengan hanya 16 mata.

BACA:  Gol Puskas Sean Selvaraj Pelengkap Kepada Kebangkitan Luar Biasa N. Sembilan Ke Atas Selangor