Firmino Kejutkan Ramai Kerana Mahu Tinggalkan Al Ahli Dan Kembali Beraksi Di Premier League

Beberapa kelab Premier League telah ditawarkan peluang untuk mendapatkan bekas pemain dan legenda Liverpool Roberto Firmino.

Pemain antarabangsa Brazil itu menyertai kelab Saudi Pro League Al Ahli pada musim panas lalu selepas lapan tahun berkelana di Anfield.

Firmino memulakan kariernya di Timur Tengah dengan cemerlang apabila menyumbat hatrik di penampilan pertamanya bersama Al Ahli.

Pemain itu bagaimanapun kemarau jaringan dalam 18 penampilan berikutnya untuk kelab baharunya itu.

Keadaan menjadi semakin sukar buat Firmino apabila ayahnya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menyertai percutian keluarga pada November tahun lalu.

Tatkala pemain berusia 32 tahun itu menyatakan hasrat untuk meninggalkan Al Ahli hanya selepas 6 bulan menyertai kelab itu, talkSPORT mendedahkan Fulham adalah antara pasukan yang telah dihubungi untuk peluang mendapatkan tandatangan pemain itu.

Sheffield United turut menyatakan minat untuk mendatangkan Firmino sebelum pengurus pasukan Paul Heckingbottom dipecat.

Fulham sememangnya mencari seorang penyerang berpengalaman sejak kehilangan khidmat Aleksandar Mitrovic yang menyertai Al Hilal di jendela perpindahan musim panas lalu.

Firmino dianggap sebagai pemain yang menepati profil dikehendaki Fulham dan pernah menjuarai semua trofi kejuaraan yang dipertandingkan ketika bersama Liverpool.

Ketika bersama Liverpool, Firmino adalah antara rangkaian tiga penyerang paling berbahaya du dunia apabila membentuk gandingan mantap bersama Mohamed Salah dan Sadio Mane.

Sepanjang tempoh itu Firmino melakukan 362 penampilan sejak 2015, dan turut menyumbang 111 gol untuk The Reds.

Firmino dan Fabinho membuatkan penyokong Liverpool histeria apabila kedua-duanya kembali ke Anfield pada Tahun Baru untuk menyaksikan Liverpool menewaskan Newcastle 4-2 di Anfield dalam saingan Premier League.

BACA:Β  Jerman FA Akui Tidak Mampu Tandingi Gaji Klopp Di Anfield