Pemain sayap Arsenal, Gabriel Martinelli, bakal berehat lebih dari sebulan selepas mengalami kecederaan hamstring ketika Arsenal kalah kepada Newcastle United dalam saingan Piala EFL pada Rabu lepas.
Petanda awal menunjukkan pemain antarabangsa Brazil yang berusia 23 tahun itu akan terlepas beberapa perlawanan penting Arsenal. Antara perlawanan Liga Perdana Inggeris yang dijangka tidak akan disertainya adalah perlawanan menentang Leicester City (15 Februari), West Ham United (22 Februari) dan Nottingham Forest (26 Februari). Dia juga berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan dalam perlawanan menentang Manchester United pada 9 Mac serta Chelsea pada 16 Mac.
Arsenal telah layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, yang mana perlawanan pertama akan berlangsung pada 4 dan 5 Mac, manakala aksi timbal balik akan diadakan pada 11 dan 12 Mac.
Kehilangan Martinelli menjadi tamparan hebat untuk pasukan bimbingan Mikel Arteta, lebih-lebih lagi dengan keadaan barisan serangan Arsenal yang sudah pun terjejas teruk akibat masalah kecederaan. Namun, tidak ada pentunjuk untuk menggambarkan Martinelli akan terlepas baki musim ini. Dia dijangka kembali pada dua bulan terakhir yang penting dimana tempoh itu menjadi penentu musim Arsenal.
Martinelli terpaksa dikeluarkan pada minit ke-37 di St James’ Park selepas mengalami kesakitan di bahagian belakang pahanya. Dia digantikan dengan Ethan Nwaneri.
Kecederaan pemain Brazil itu menambah lagi masalah Arsenal di bahagian serangan. Gabriel Jesus sudah pun direhatkan untuk tempoh yang panjang selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada Januari. Manakala Bukayo Saka pula dijangka hanya kembali pada bulan Mac selepas menjalani pembedahan hamstring Disember lalu.
Sepanjang musim ini, Martinelli telah menjaringkan 7 gol dan menyumbang 3 bantuan gol dalam 35 perlawanan. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dia juga telah mengisi posisi Saka di sayap kanan.
Pada awal minggu ini, Martinelli turut dilihat bersama Saka dan Ben White dalam skuad Arsenal yang akan berlepas ke Dubai untuk menjalani kem latihan cuaca panas pertengahan musim.
Mikel Arteta sebelum ini mengakui bahawa Arsenal kecewa kerana gagal mendapatkan pemain baharu dalam jendela perpindahan Januari walaupun dia secara terbuka menyuarakan keperluannya untuk menambah pemain di bahagian serangan selepas kehilangan Saka dan Jesus akibat kecederaan.