Gara-Gara Piala Dunia, Adriano Bercerai Selepas 24 Hari Kahwin

adriano cerai

Gara-gara demam Piala Dunia yang semakin membara, bekas pemain Brazil, Adriano dilaporkan berdepan dengan penceraian hanya selepas 24 hari sahaja tempoh perkahwinan. Bercerai terus.

Adriano dan isterinya Micaela Mesquita kini telah berpisah atas alasan yang sangat menakjubkan kerana Adriano ‘menghilang selama dua hari untuk menonton Piala Dunia’.

Bekas pemain berusia 40 tahun itu, yang dikatakan telah membelanjakan £13,000 kepada 18 perempuan sewa untuk mengatasi kekecewaan perpindahannya yang gagal ke kelab Perancis, Le Havre pada 2015, mengikat tali pertunangan bulan lalu.

Pasangan itu pada mulanya merancang untuk berkahwin pada 30 November tetapi memutuskan untuk meneruskan perkahwinan selepas bertunang dan berkongsi gambar mereka menandatangani kertas rasmi di Instagram.

Namun, dikatakan ada masalah di dalam rumahtangga baru mereka. Menurut Extra, pasangan itu telah berpisah berikutan perselisihan mengenai Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar.

Adriano dilaporkan telah pergi dan memandu ke Vila Cruzeiro, sebuah daerah di Utara Rio de Janeiro untuk bertemu dengan rakan-rakannya dan menonton perlawanan Brazil menentang Switzerland.

Bekas bintang Inter Milan, Parma, Roma, Corinthians dan Flamego itu dikatakan menghabiskan dua hari di Vila Cruzeiro, tempat dia dibesarkan, sebelum pulang ke pangkuan isterinya, Micaela Mesquita.

Menurut laporan, Micaela Mesquita dan Adriano telah bertengkar tentang geo lokasi dan keberadaannya dalam tempoh ‘kehilangannya’ itu dan terjadilah sesi soal siasat.

Dari sesi soal siasat ini maka terjadilah satu pertengkaran yang mungkin agak teruk kerana membawa perpisahan kepada bahtera yang baru dibina kurang sebulan.

Micaela Mesquita memulakan langkah awal dan telah memadamkan semua foto Instagramnya bersama Adriano – hanya beberapa minggu selepas berjalan menyusuri pulau indah untuk ke alam perkahwinan bersama Adriano.

Mereka juga telah berhenti mengikuti akaun antara satu sama lain namun Adrian masih menyimpan sesetengah gambar bekas isterinya dan tidak memadamkan kesemuanya.

Pasangan itu juga membatalkan sambutan yang telah diatur sebelumnya bersama keluarga dan rakan mereka pada hujung minggu berikutan perpisahan yang mengejutkan mereka.

Walau bagaimanapun, mungkin masih ada harapan untuk pasangan itu kerana mereka mempunyai sejarah putus cinta dan kembali bersama. Mereka telah berpisah dan bertemu semula sebanyak lima kali sebelum ini.

Sebelum ini mereka putus tanpa ikatan dan kini mereka putus sebagai suami dan isteri, semoga baik-baik saja buat Adriano dan Micaela Mesquita.

Kerana kehebatannya sebagai seorang penyerang, Adriano mendapat jolokan L’Imperatore (the Emperor) atau dalam bahasa Melayu, Maharaja yang bakal menakluk bola sepak dunia tetapi kecundang kerana masalah peribadi.

Adriano bersara daripada bola sepak pada 2016 selepas putus cinta dengan permainan itu berikutan kematian bapanya dan kariernya yang begitu cerah telah jatuh begitu sahaja.

Dia menghabiskan beberapa tahun di Inter Milan dan memenangi empat gelaran Serie A bersama gergasi Itali itu. Dia juga menjaringkan 27 gol dalam 48 perlawanan untuk Brazil.

Salah satu golnya yang paling terkenal ialah pada perlawanan akhir Copa America 2004 menentang Argentina – yang dimenangi Brazil 4-2 menerusi sepakan penalti.

Antara kelab yang pernah Adriano sertai sepanjang kariernya adalah Flamengo, Corinthians, Roma, Parma, Fiorentina dan Atletico Paranaense. Namun Adriano tidak mampu memenuhi potensi dan bakat yang ada pada dirinya ke kemuncak.

Dalam sejarah permainan Pro Evolution Soccer (PES), adakah terdapat mana-mana pemain yang lebih baik daripada Adriano Leite Ribeiro atau Adriano?

Dengan kekuatan tendangan setinggi 99 anda boleh jaringkan gol dari mana-mana kawasan selepas melepasi garisan tengah padang. Semua itu dalam kenangan seperti rumah tangga Adriano.

BACA:  "Sedih Dan Memalukan"- Peminat Kecewa Melihat Keadaan Adriano Pada Ketika Ini