Gianluca Vialli Meninggal Dunia

Bekas pemain penyerang Chelsea dan Juventus, Gianluca Vialli dilaporkan telah meninggal Dunia pada usia 58 tahun selepas bertarung dengan kanser Pankreas sejak 2017.

Gianluca Vialli telah meletakkan jawatan sebagai dari staf kejurulatihan Itali pada Disember lalu untuk melawan kanser yang dihidapnya yang menyerang kembali pada 2021.

Pada hujung tahun lalu keadaannya bertambah buruk ketika menerima rawatan di London dan Doktor telah memanggil kesemua ahli keluarganya.

Gianluca Vialli merupakan sahabat karib kepada pengurus Itali, Roberto Mancini dengan kedua-dua mereka pernah beraksi bersama di Sampdoria ketika karier masing-masing sebagai pemain.

Vialli dan Mancini juga pernah bergandingan untuk skuad kebangsaan Itali dengan kedua-dua mereka dianggap penyerang terhebat The Azzuri pada ketika itu.

Gianluca Vialli merupakan pembantu jurulatih untuk skuad kebangsaan Itali dalam saingan Euro 2020 yang telah muncul juara.

Salah satu detik paling mengharukan sepanjang kejohanan EURO 2022 adalah melihat kembalinya Vialli di garisan tepi padang dan lebih manis lagi melihat beliau bersama sahabatnya, Roberto Mancini yang ketika ini merupakan pengurus pasukan.

‘The Goal Twins’ dari Sampdoria itu kembali bersama bergandingan pada kali ini, namun bukan sebagai pemain, tetapi sebagai tenaga kejurulatihan untuk skuad kebangsaan Itali.

Gandingan mereka berjaya membawa Itali mara ke perlawanan akhir saingan Euro 2020 dan telah berjaya menumbangkan England dalam perlawanan akhir.

Apa yang membuatkan kem Itali semakin beremosi bukan hanya kerana kejayaan gandingan ‘Goal Twins’ itu membawa skuad menjadi juara, tetapi mereka beremosi kerana terkenangkan perjuangan yang dilalui oleh bekas bintang Sampdoria, Juventus dan Chelsea itu melawan kanser.

Pada tahun 2017, dunia bola sepak Itali dikejutkan dengan berita duka yang menyatakan bahawa legenda bola sepak mereka, Gianluca Vialli telah didiagnos menghidapi kanser.

Setahun selepas itu Vialli telah mendedahkan bahawa beliau sedang melalui rawatan chemotherapy selama lapan bulan dan rawatan radiotherapy selama enam minggu untuk penyakit kanser yang beliau hidapi.

Pada tahun 2019, walaupun masih sedang menjalani rawatan, beliau telah diajak oleh sahabatnya, Roberto Mancini untuk menjadi pembantunya sebagai barisan kejurulatihan skuad kebangsaan Itali.

Vialli kemudiannya telah menyatakan persetujuan beliau untuk membantu Mancini dan beliau kemudiannya pada tahun 2020 telah mengumumkan bahawa dirinya bebas dari kanser.

Berita gembira tentang Vialli bebas dari kanser turut diumumkan oleh bekas kelabnya, Chelsea pada April 2020 yang menyatakan:

“Gianluca Vialli telah disahkan bebas dari kanser selepas 17 bulan beliau bertarung dengan kanser pancreas.”

“Berita yang menakjubkan.”

Tulis Chelsea di laman rasmi media sosial mereka.

Vialli sepertinya tidak begitu dikenali oleh peminat selepas beliau meninggalkan Watford pada tahun 2002 yang lalu.

Selepas bertahun-tahun menyepi, beliau kembali terlibat dalam dunia bola sepak dengan membantu Roberto Mancini untuk menguruskan skuad kebangsaan Itali dalam saingan Euro 2020.

Bekas penyerang Sampdoria itu turut sempat menulis sebuah buku bertajuk ‘Goals: Inspirational Stories to Help Tackle Life Challenges’ yang berkisahkan tentang kehidupannya.

“Saya anggap ia sebagai salah satu fasa dalam kehidupan saya yang perlu saya hadapi dengan keberanian dan menjadikannya sebagai pengalaman untuk saya pelajari sesuatu.”


Jelas beliau ketika memberitahu bahawa dirinya menghidap kanser.

“Saya tahu ia sangat sukar untuk menjelaskan kepada semua orang, kepada keluarga saya. Kamu tentu tidak akan sanggup untuk mengecewakan orang yang kamu sayang: ibu bapa saya, abang saya dan kakak saya, isteri saya Cathryn, anak gadis saya Olivia dan Sofia.”

“Ia juga memberi kamu rasa seperti bersalah, seperti itu merupakan kesalahan kamu. Saya akan memakai sweater dan baju di dalam jadi orang tak akan perasan apa-apa, dan dengan itu saya mampu untuk terus jadi Vialli yang mereka kenal.”

Namun kanser kembali menyerang Vialli dan telah menghembuskan nafas terakhir di awal tahun 2023.

BACA:  Kanser Tak Jadi Penghalang Vialli Bantu Sahabatnya, Mancini Julang Itali