Kanser Tak Jadi Penghalang Vialli Bantu Sahabatnya, Mancini Julang Itali

Gianluca Vialli merupakan sahabat karib kepada pengurus Itali, Roberto Mancini dengan kedua-dua mereka pernah beraksi bersama di Sampdoria ketika karier masing-masing sebagai pemain.

Vialli dan Mancini juga pernah bergandingan untuk skuad kebangsaan Itali dengan kedua-dua mereka dianggap penyerang terhebat The Azzuri pada ketika itu.

Gianluca Vialli ketika ini merupakan pembantu jurulatih untuk skuad kebangsaan Itali dalam saingan Euro 2020 ini.

Salah satu detik paling mengharukan sepanjang kejohanan ini adalah melihat kembalinya Vialli di garisan tepi padang dan lebih manis lagi melihat beliau bersama sahabatnya, Roberto Mancini yang ketika ini merupakan pengurus pasukan.

‘The Goal Twins’ dari Sampdoria itu kembali bersama bergandingan pada kali ini, namun bukan sebagai pemain, tetapi sebagai tenaga kejurulatihan untuk skuad kebangsaan Itali.

Mancini Dan Vialli Ketika Bersama Skuad Kebangsaan Itali

Gandingan mereka berjaya membawa Itali mara ke perlawanan akhir saingan Euro 2020 selepas berjaya menewaskan Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti awal pagi tadi.

Apa yang membuatkan kem Itali semakin beremosi bukan hanya kerana kejayaan gandingan ‘Goal Twins’ itu membawa skuad kali ini ke perlawanan akhir, tetapi mereka beremosi kerana terkenangkan perjuangan yang dilalui oleh bekas bintang Sampdoria, Juventus dan Chelsea itu.

Kisah Vialli Bebas Kanser

Pada tahun 2017, dunia bola sepak Itali dikejutkan dengan berita duka yang menyatakan bahawa legenda bola sepak mereka, Gianluca Vialli telah didiagnos menghidapi kanser.

Setahun selepas itu Vialli telah mendedahkan bahawa beliau sedang melalui rawatan chemotherapy selama lapan bulan dan rawatan radiotherapy selama enam minggu untuk penyakit kanser yang beliau hidapi.

Pada tahun 2019, walaupun masih sedang menjalani rawatan, beliau telah diajak oleh sahabatnya, Roberto Mancini untuk menjadi pembantunya sebagai barisan kejurulatihan skuad kebangsaan Itali.

‘The Goal Twins’

Vialli kemudiannya telah menyatakan persetujuan beliau untuk membantu Mancini dan beliau kemudiannya pada tahun 2020 telah mengumumkan bahawa dirinya bebas dari kanser.

Berita gembira tentang Vialli bebas dari kanser turut diumumkan oleh bekas kelabnya, Chelsea pada April 2020 yang menyatakan:

“Gianluca Vialli telah disahkan bebas dari kanser selepas 17 bulan beliau bertarung dengan kanser pancreas.”

“Berita yang menakjubkan”

Tulis Chelsea di laman rasmi media sosial mereka.

Vialli sepertinya tidak begitu dikenali oleh peminat selepas beliau meninggalkan Watford pada tahun 2002 yang lalu.

Selepas bertahun-tahun menyepi, beliau kembali terlibat dalam dunia bola sepak dengan membantu Roberto Mancini untuk menguruskan skuad kebangsaan Itali dalam saingan Euro 2020.

Bekas penyerang Sampdoria itu turut sempat menulis sebuah buku bertajuk ‘Goals: Inspirational Stories to Help Tackle Life Challenges’ yang berkisahkan tentang kehidupannya.

“Saya anggap ia sebagai salah satu fasa dalam kehidupan saya yang perlu saya hadapi dengan keberanian dan menjadikannya sebagai pengalaman untuk saya pelajari sesuatu.”

Jelas beliau ketika memberitahu bahawa dirinya menghidap kanser.

“Saya tahu ia sangat sukar untuk menjelaskan kepada semua orang, kepada keluarga saya. Kamu tentu tidak akan sanggup untuk mengecewakan orang yang kamu sayang: ibu bapa saya, abang saya dan kakak saya, isteri saya Cathryn, anak gadis saya Olivia dan Sofia.”

“Ia juga memberi kamu rasa seperti bersalah, seperti itu merupakan kesalahan kamu. Saya akan memakai sweater dan baju di dalam jadi orang tak akan perasan apa-apa, dan dengan itu saya mampu untuk terus jadi Vialli yang mereka kenal.”

“Kemudian saya memutuskan untuk cerita tentang kisah saya dan saya mahu bukukan kisah itu… Saya harap kisah saya mampu untuk menginspirasikan ramai orang ketika mereka berdepan dengan kesukaran.”

Perjalanan Mancini dan Vialli Dalam Saingan Euro 2020

Saingan Euro 2020 ini merupakan kempen yang sangat menakjubkan untuk skuad kebangsaan Itali yang sudah melayakan diri mereka ke perlawanan akhir.

Diletakkan di dalam kumpulan A bersama Wales, Switzerland dan Turki, Itali berjaya mara ke pusingan kalah mati dengan rekod cemerlang mencatatkan tiga kemenangan dari tiga perlawanan.

Di pusingan 16 terbaik, Itali terpaksa bermain hingga ke masa tambahan untuk menyingkirkan Austria dan mara ke peringkat suku akhir.

Mereka kemudiannya dikatakan bakal tersingkir selepas dijadualkan bertemu Belgium di peringkat suku akhir, namun The Azzuri berjaya membuktikan kemampuan mereka dengan menewaskan pasukan yang berada di ranking nombor satu FIFA itu untuk mara ke separuh akhir.

Itali cemerlang menewaskan Sepanyol di peringkat separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti dan kini mereka sudah berjaya untuk beraksi di pentas perlawanan akhir.

Apa yang lebih menakjubkan lagi, Roberto Mancini yang mengambil alih Itali ketika skuad The Azzuri berada di kedudukan yang teruk dalam ranking FIFA telah berjaya mengubahnya menjadi pasukan yang digeruni pada ketika ini.

Beliau berjaya membawa Azzuri untuk mengharungi 33 perlawanan dengan tidak terkalahkan dan ia merupakan rekod terbaik yang pernah dicipta dalam sejarah bola sepak Itali.

Selepas apa yang dilalui oleh Vialli, tidak hairanlah mengapa beliau begitu teruja dan gembira setiap kali Itali menjaringkan gol dan memenangi perlawanan yang mereka lalui dalam saingan Euro 2020 ini.

Seandainya The Azzuri berjaya memenangi saingan Euro 2020 ini, ia tentunya akan menjadi kejayaan yang lebih manis untuk Vialli bersama sahabatnya Roberto Mancini.

Sumber: FourFourTwo

BACA:  Bekas Pengurus Manchester City Setuju Jadi Jurulatih Itali Yang Seterusnya