Piala Asia: Mancini Dedah Terpaksa Singkir 3 Pemain Bintang Arab Saudi Kerana Besar Kepala

Ketua Jurulatih Arab Saudi Roberto Mancini hairan dengan sikap tiga pemain yang dipilihnya untuk berada di dalam skuad Piala Asia 2023.

Arab Saudi adalah salah sebuah pasukan pilihan di kejohanan kali ini dan hanya akan melakukan penampilan pertama pada awal pagi esok menentang Oman di dalam saingan Kumpulan F.

Walaubagaimanapun Mancini terpaksa melakukan perubahan saat akhir dengan menyingkirkan tiga pemain bintang daripada pasukan dengan jolokan Helang Hijay itu pada 13 Januari lalu.

Tiga pemain tersebut adalah penjaga gol Nawaf Al-Aqidi, pemain tengah Salman Al-Faraj dan pemain pertahanan Sultan Al-Ghannam.

Ketiga-tiga pemain kemudiannya digantikan oleh Mohammed Al-Rubaie (Al-Ahli), Mohammed Al-Breik (Al-Hilal), dan Talal Haji (Al-Ittihad).

Mancini kemudian mendedahkan kisah di sebalik langkahnya itu sambil meluahkan kehairanan dan kekecewaan beliau.

“Tiga pemain itu pada asalnya berada di dalam senarai pasukan,” kata Mancini.

“Salman datang kepada saya dan berkata dia tidak mahu bermain dalam perlawanan persahabatan [ketika persiapan Piala Asia}.

“Saya bertanya kepada Sultan, dan dia berkata dia tidak mahu bermain. Bukan pemain yang menentukan sama ada mereka bermain atau tidak. Saya yang sepatutnya membuat keputusan itu.

“Nawaf pula memberitahu dia akan datang, tetapi sehari selepas itu mengubah keputusannya.

“Tiga hari yang lalu dia memaklumkan kepada jurulatih penjaga gol kami dan berkata: ‘saya tidak mahu berada di dalam skuad sekiranya tidak bermain'”

“Jadi saya terpaksa menyingkirkan mereka kerana hanya mahukan pemain yang sanggup bertarung untuk negaranya.

“Ini adalah pasukan kebangsaan, bukan kelab. Ini negara anda. Anda mewakili semua orang dari negara anda.

“Ini adalah situasi yang sangat aneh dan saya mengalami perkara sebegini buat kali pertama.

“Tetapi kami sudah memanggil pemain lain yang sanggup berjuang untuk negara,” jelas Mancini.

Arab Saudi menampilkan permainan yang cukup menarik sejak melantik Mancini pada 28 Ogos tahun lalu sebelum tampil di Piala Asia 2023.

Pada mulanya Mancini gagal merekodkan sebarang kemenangan dalam empat perlawanan dikendalikannya, namun kini Arab Saudi berjaya menang dalam semua lima perlawanan terakhir yang dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman itu.

Antara lawan yang ditewaskan Arab Saudi di bawah kendalian Mancini adalah Jordan, Lebanon dan Hong Kong – semuanya beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar.

BACA:  Piala Dunia 2022: Argentina Berkicap Di Tangan Arab Saudi