Kontrak Baharu Vinicius Jr Di Real Madrid Punyai Klausa “Anti-Arabia”

Vinicius Junior dilaporkan telah menandatangani kontrak baharu bersama Real Madrid untuk kekal di Santiago Bernabeu sehingga musim panas 2027.

Perjanjian baharu pemain sayap dari Brazil itu mengandungi klausa pelepasan berjumlah €1 billion (RM5.06 billion), yang dilakukan khas untuk mengelakkan pemain itu daripada disambar oleh kelab dari Arab Saudi.

Sebenarnya perbincangan untuk melanjutkan kontrak Vinicius untuk kekal bersama Real Madrid telah mengambil tempoh masa yang panjang.

Rundingan di antara kedua-dua pihak telah bermula sejak September tahun lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu akhirnya memuktamadkan untuk kekal bersama Los Blancos, di mana pemain ini telah menjadi antara tunjang utama gergasi Sepanyol itu sejak beberapa musim lalu.

Sejak tiba dari Flamengo pada 2018, Vinicius kini telah melakukan 225 penampilan untuk Real Madrid.

Sepanjang tempoh itu pemain lincah itu turut telah menjaringkan 59 jaringan, selain turut mencipta 64 bantuan gol untuk rakan sepasukannya yang lain.

Vinicius menjaringkan gol kemenangan untuk menyingkirkan Liverpool di perlawanan akhir Champions League pada 2022, dan telah menjuarai La Liga sebanyak dua kali selain Copa del Rey sekali.

Di pentas antarabangsa Vinicius sudah melakukan 23 penampilan untuk Brazil dan mejaringkan tiga gol.

Sebelum ini Vinicius menjadi perhatian utama komiti bola sepak dunia selepas kekalahan 1-0 Real Madrid kepada Valencia pada Mei lalu.

Pemain sayap dari Brazil itu berkonfrontasi dengan penyokong Valencia yang memaki hamun pemain itu dengan kata-kata berbaur perkauman.

Pemain berusia 22 tahun itu kemudiannya dilayangkan kad merah kerana didakwa menampar Hugo Duro, sekali lagi mencetuskan respon daripada kalangan penyokong Valencia.

Vinicius selepas itu tidak berdiam diri apabila mengutuk sikap perkauman penyokong lawan dan kurangnya tindakan daripada pihak La Liga untuk membendung isu tersebut.

Tetapi kini ia telah menjadi isu utama untuk ditangani oleh badan bola sepak negara itu apabila enam pengadil La Liga termasuk Iglesia Villanueva yang bertanggungjawab mengetuai pengendalian VAR dalam perlawanan tersebut telah dipecat.

Pada ketika itu ramai meramalkan Vinicius sudah tidak sanggup beraksi di Sepanyol dan insiden tersebut menyebabkan Real Madrid berisiko kehilangan pemain itu.

BACA:  Liverpool Tawarkan Gaji Bernilai £100k Seminggu Kepada Bintang Real Madrid