Roberto Mancini Anggap Jerman Lebih Layak Untuk Mara Lebih Jauh Berbanding England Dalam Saingan Euro 2020

Pengurus Itali, Roberto Mancini secara peribadinya percaya yang Jerman tak sepatutnya tersingkir dari saingan Euro 2020 selepas mempamerkan aksi persembahan yang cukup mantap ketika bertemu England.

Jerman telah diundi untuk berada dalam kumpulan F dalam saingan Euro edisi kali ini, yang mana kumpulan tersebut dianggap sebagai kumpulan paling maut dalam kejohanan ini.

Ia dianggap kumpulan maut kerana tiga dari empat pasukan dalam kumpulan tersebut merupakan pasukan terhebat dunia, dan juga antara pasukan pilihan untuk memenangi kejohanan ini.

Jerman diundi berada dalam kumpulan yang sama dengan Juara Dunia 2018, Perancis, Juara saingan Euro 2016 Portugal dan pasukan yang sedang meningkat naik ketika ini, Hungary.

Jerman yang beraksi dibawah kendalian Joachim Low dalam kejohanan ini berjaya mengakhiri aksi peringkat kumpulan di kedudukan kedua.

Selepas mencatatkan satu kekalahan, satu kemenangan dan satu keputusan seri, anak-anak buah Joachim Low itu berjaya untuk melayakan diri mereka ke pusingan kalah mati.

Walau bagaimanapun, harapan Jerman untuk mara ke peringkat suku akhir terkubur selepas mereka mencatatkan kekalahan 2-0 bertemu England dalam pusingan 16 terbaik di Wembley.

Low telah berundur dari jawatan beliau sebagai pengurus pasukan selepas tersingkirnya Jerman dalam saingan Euro kali ini dan tempatnya telah digantikan oleh bekas pengurus Bayern Munich, Hansi Flick.

England sementara itu berjaya menyingkirkan Ukraine di peringkat suku akhir dan kemudiannya menewaskan Denmark di peringkat separuh akhir untuk mara ke perlawanan akhir bertemu Itali.

Walau bagaimanapun, skuad The Three Lions terpaksa akur dengan kekalahan mereka ditangan pasukan paling berprestasi itu menerusi penentuan sepakan penalti.

Harapan England untuk menjulang Piala pertama mereka sejak 55 tahun lalu terkubur di bumi Wembley, dan ia merupakan satu keputusan yang sangat menyedihkan untuk skuad kendalian Gareth Southgate itu.

Pengurus Itali itu baru-baru ini seolah-olah mahu menambah garam pada luka di hati England selepas mengeluarkan dakwaan yang menyatakan Jerman tidak selayaknya tersingkir dari saingan Euro.

Ketika beliau ditanya tentang apa yang Jerman boleh pelajari dari Itali, Mancini mendedahkan kepada Sport1 bahawa:

“Saya tak tahu apa yang Jerman boleh lakukan. Saya masih yakin yang mereka merupakan negara yang hebat dalam dunia bola sepak.”

“Mereka sentiasa mempunyai skuad yang hebat dan pemain yang sangat bagus. Pengurus Jerman juga seorang yang sentiasa hebat.”

“Namun semua orang perlu lalui takdir masing-masing. Tak ada beza dengan kami tiga tahun lalu.”

“Tentu, Joachim Low dan anak-anak buahnya tersingkir di pusingan 16 terbaik di tangan England, tapi mereka juga tak melalui aksi peringkat kumpulan yang mudah.”

“Tapi jujurnya, pada pandangan saya sendiri, skuad Jerman tak patut tersingkir dari pertandingan ini. Bagi saya mereka telah bermain permainan yang menakjubkan ketika bertemu Inggeris.”

Skuad kendalian Roberto Mancini telah mempamerkan rentak permainan yang sungguh luar biasa menakjubkan sepanjang kempen saingan Euro 2020 ini.

Aksi hebat mereka telah membantu The Azzuri untuk menjulang kejuaraan saingan European Championship tahun 2020 ini selepas menewaskan England dalam aksi perlawanan akhir.

Mereka bahkan langsung tidak pernah mencatatkan sebarang kekalahan sepanjang kejohanan ini, dan turut mengekalkan rekod tidak terkalahkan dalam 34 perlawanan terakhir mereka.

Mancini dalam temu bual sama turut mengakui bahawa:

“Jelas sangat gembira untuk melihat Itali menjuarai saingan Euro pada musim panas ini.”

“Saya rasa sangat, sangat bagus untuk bergelar Juara European Championship.”

Jelas bekas pengurus Manchester City itu.

Gambar profile Roberto Mancini di laman twitter miliknya

“Ia benar-benar satu perasaan yang sangat hebat dan menakjubkan. Saya sangat gembira untuk penyokong Itali di negara kami dan yang berada di seluruh dunia.”

Adakah Mancini benar-benar bermaksud untuk memuji Jerman, atau beliau sememangnya mahu menyakitkan hati para penyokong England?

Sebenarnya tak mustahil untuk Mancini berasa sakit hati dan berdendam dengan skuad The Three Lions memandangkan pada apa yang telah mereka lakukan sepanjang kejohanan ini.

Dalam aksi perlawanan akhir tersebut, ketika skuad Itali mahu menyanyikan lagu kebangsaan mereka, para penyokong England telah membuat kacau dan membuat bunyi bising untuk mengganggu lagu tersebut.

Ia jelas merupakan satu sikap tak matang, tak profesional, dan tak bertamadun yang ditunjukkan oleh para penyokong England.

Para penyokong The Three Lions turut membuat kecoh ketika sebelum sepak mula perlawanan akhir tersebut dengan penyokong tanpa tiket berlumba-lumba merempuh masuk ke stadium.

Kebanyakan mereka yang masuk tanpa tiket turut mengambil tempat duduk penyokong yang ada tiket dan lebih teruk lagi, anak kepada Roberto Mancini sendiri terpaksa duduk di tangga ketika menonton aksi babak pertama permainan kerana tempatnya diambil oleh orang lain.

Persatuan Bola Sepak England ketika ini sedang berdepan dengan empat pertuduhan dari UEFA atas kesalahan para penyokong mereka sendiri.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Maurizio Sarri Mungkin Terlepas Peluang Menjadi Pengurus Chelsea Kerana Masalah Tingkah Laku