Gol Dramatik Dan Sensasi Minit Akhir Kobbie Mainoo Beri Kemenangan Buat Man Utd

Kobbie Mainoo menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-97 perlawanan untuk memastikan Manchester United menewaskan Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux dalam perlawanan Premier League pada awal pagi tadi.

Mainoo dengan tenang melencongkan bola untuk menewaskan Jose Sa untuk gol pertama di Premier League, hanya beberapa saat selepas Pedro Neto seakan-akan berjaya memberikan Wolves satu mata dalam perlawanan ini.

Ketinggalan 2-0 pada babak pertama, Wolves bangkit pada babak kedua dan minit ke-85 kedudukan masih lagi 3-1 memihak kepada United.

Marcus Rashford terus menghadirkan impak selepas terlepas perlawanan Piala FA akibat demam kerana berpoya-poya di kelab malam membuka tirai jaringan seawal pada minit ke-5 perlawanan, sebelum Rasmis Hojlund menggandakan jaringan kepada 2-0.

Pablo Sarabia kemudiannya berjaya mengurangkan defisit melalui sepakan penalti sebelum Scott McTominay menanduk masuk untuk kelebihan 3-1 kepada pasukan pelawat pada minit ke-75 perlawanan.

Tetapi itu hanyalah permulaan kepada perlawanan yang berakhir dengan penuh dramatik ini.

Kapten Wolves, Maximillian Kilman terus memastikan tekanan kekal milik skuad kendalian Erik ten Hag apabila menanduk masuk sepakan penjuru.

Dan ketika perlawanan memasuki minit ke-6 masa kecederaan, Neto berjaya menewaskan Andre Onana melalui gerakan serangan balas pantas.

Wolves meraikan jaringan mereka itu dengan penuh bersemangat namun United memastikan drama belum lagi berakhir apabila Mainoo tampil menjadi wira dengan jaringannya pada detik akhir perlawanan yang mengecewakan Wolves.

Kemenangan tersebut bermakna skuad Ten Hag kini kembali ke kedudukan ke-7 liga, selepas sebelum ini merekodkan empat perlawanan liga tanpa sebarang kemenangan.

BACA:  Mourinho: Sanchez Tidak Akan Bermain Buat Satu Tempoh Yang Agak Lama