Chelsea Bangkit untuk Menewaskan West Ham 2-1 dan Kembali ke Tangga Keempat
Chelsea bernasib baik apabila mereka berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan West Ham United 2-1 di Stamford Bridge. Ia sekali gus meletakkan kembali pasukan itu ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris.
West Ham mendahului pada penghujung separuh masa pertama selepas Jarrod Bowen memanfaatkan hantaran lemah ke belakang oleh Levi Colwill. Dia dengan mudah melepasi Filip Jorgensen. Jorgensen diturunkan sebagai penjaga gol utama menggantikan Robert Sanchez.
Namun, Chelsea bangkit di separuh masa kedua. Pedro Neto yang dimasukkan sebagai pemain gantian menyamakan kedudukan selepas menyambar bola yang melantun daripada percubaan Enzo Fernandez.
Gol kemenangan Chelsea pula hadir dengan sedikit tuah. Cole Palmer membuat hantaran silang menggunakan kaki kiri tetapi bola terkena kaki Aaron Wan-Bissaka dan melantun melepasi Alphonse Areola sebelum masuk ke gawang.
Bagaimana Prestasi Jorgensen Sebagai Pengganti Sanchez?
Salah satu topik utama sebelum perlawanan adalah; siapa yang akan mengawal gawang Chelsea. Robert Sanchez atau Filip Jorgensen.
Ketua jurulatih Enzo Maresca mengambil keputusan untuk merehatkan Sanchez. Sanchez sebelum ini sering melakukan kesilapan dan menerima kritikan dari penyokong. Jorgensen yang hanya membuat penampilan ketiga di Liga Perdana sejak menyertai Chelsea dari Villarreal diberikan peluang.
Ketika namanya diumumkan sebelum perlawanan, penyokong bersorak dengan penuh semangat. Namun tidak lama selepas perlawanan bermula kegelisahan mula terasa. Jorgensen hampir gagal menangkap hantaran silang Andy Irving dan tindakannya yang agak lambat mengeluarkan bola dari kawasan pertahanan juga menimbulkan kebimbangan.
Walaupun begitu dia berjaya menyelamatkan satu percubaan bahaya daripada Bowen. Aksi itu sedikit sebanyak meningkatkan keyakinannya tetapi dia tidak dapat menghalang jaringan Bowen sebelum rehat.
Selepas itu, Chelsea lebih banyak mengawal perlawanan dan Jorgensen jarang diuji. Dia sekali lagi hampir melakukan kesilapan pada penghujung perlawanan apabila hantarannya dipintas, mujur Tosin Adarabioyo berjaya menghalang percubaan Mohammed Kudus di garisan gol.
Dengan prestasi semalam, tidak mengejutkan jika Jorgensen terus diberi kepercayaan dalam perlawanan Piala FA menentang Brighton sekali gus menafikan peluang Sanchez untuk beraksi menentang bekas kelabnya.
Maresca Tewaskan Bekas Pengurus Chelsea, Graham Potter
Perlawanan ini menemukan dua jurulatih yang pernah dan sedang merasai tekanan di Chelsea.
Graham Potter kembali ke Stamford Bridge buat kali pertama sejak dipecat pada April 2023. Selepas 21 bulan tanpa kelab dia kini mengendalikan West Ham dan jelas mahu membuktikan sesuatu dalam perlawanan ini.
Potter kelihatan begitu bersemangat di tepi padang, sering memberi arahan dan menunjukkan emosi setiap kali West Ham hampir menjaringkan gol. Dia kelihatan cukup kecewa apabila tandukan Kudus terkena tiang ketika kedudukan masih 1-1.
Secara taktikal, West Ham bermain dengan baik. Mereka bertahan dengan tersusun dan memberi tekanan kepada Cole Palmer sambil cuba menyerang balas setiap kali mendapat peluang.
Maresca bertindak pantas apabila melihat Chelsea tidak bermain dengan baik. Terdapat ejekan daripada penyokong ketika rehat separuh masa pertama menandakan ketidakpuasan hati mereka.
Pada minit ke-52, Maresca membuat dua pertukaran dengan mengeluarkan Jadon Sancho dan Nicolas Jackson dengan memasukkan Pedro Neto dan Marc Guiu. Sembilan minit kemudian, dia membuat dua lagi pertukaran dengan memasukkan Christopher Nkunku dan Malo Gusto.
Keputusan ini membuahkan hasil, dan apabila gol kemenangan Chelsea hadir melalui percubaan Palmer yang terkena Wan-Bissaka, Maresca kelihatan cukup gembira di tepi padang.
Adakah Chelsea Terlalu Kerap Menukar Pertahanan Tengah?
Sepanjang musim ini barisan pertahanan Chelsea tidak konsisten dan keadaan itu semakin merosot apabila Maresca sering menukar gandingan di bahagian pertahanan tengah.
Kecederaan yang dialami oleh Wesley Fofana dan Benoit Badiashile memaksa Maresca mencuba beberapa kombinasi pemain. Tosin Adarabioyo, Josh Acheampong dan Trevoh Chalobah semuanya diberi peluang bergandingan dengan Levi Colwill tetapi Chelsea hanya mencatat 1 kemenangan dalam 7 perlawanan liga sebelum perlawanan ini.
Dalam perlawanan semalam Tosin diberi peluang beraksi bersama Colwill untuk pertama kali sejak kekalahan Chelsea kepada Ipswich Town pada 30 Disember.
Ketidakstabilan di bahagian pertahanan ini mungkin mempengaruhi prestasi Colwill. Dia kelihatan kurang yakin dalam beberapa perlawanan terakhir. Kesilapan hantaran ke belakang yang memberi peluang kepada Bowen untuk menjaringkan gol mungkin berpunca daripada kurangnya keserasian antara pemain pertahanan.
Rumusan
Chelsea berjaya mencatat kemenangan penting, tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki jika mereka mahu terus bersaing di peringkat tertinggi. Maresca kini perlu mencari kestabilan dalam pasukan agar Chelsea mampu mengekalkan prestasi yang konsisten.
Laporan asal dari Simon Johnson