Gol kemenangan yang kontroversi di Stretford End? Mungkin Manchester United sudah mula menemui rentak srbenarnya.
Walaupun kemenangan pagi tadi tidak begitu meyakinkan, Ruben Amorim pasti menerimanya dengan hati terbuka. Harry Maguire menanduk masuk gol kemenangan tiga minit dalam masa tambahan hasil sepakan percuma dari Bruno Fernandes. Maguire berada dalam posisi ofsaid, namun VAR tidak digunakan dalam Piala FA. VAR akan digunakan pada pusingan kelima dan gol itu tetap dikira tanpa sebarang semakan.
Di sebalik kemenangan itu, prestasi United masih membimbangkan. Kekecewaan penyokong terhadap kurangnya tenaga dalam permainan United sepanjang babak pertama semakin bertambah apabila mereka sekali lagi melepaskan gol pembukaan terlebih dahuli. United ketinggalan untuk kali ke-7 dalam 8 perlawanan di tempat sendiri. Bobby De Cordova-Reid menanduk masuk dari jarak dekat selepas Andre Onana menepis cubaan Wilfred Ndidi. Leicester sememangnya layak mendahului kerana mereka kelihatan lebih tersusun dan berbahaya.
United langsung tidak merekodkan percubaan tepat sepanjang babak pertama. Namun, selepas rehat mereka menunjukkan lebih urgensi. Alejandro Garnacho yang dimasukkan pada separuh masa kedua hampir menyamakan kedudukan tetapi Caleb Okoli berjaya menepis bola ke palang. Tidak lama selepas itu Garnacho sekali lagi mencipta peluang melalui hantaran lintang yang akhirnya disudahkan oleh pemain Joshua Zirkzee.
United kemudian membazirkan beberapa peluang dan perlawanan seakan menuju ke masa tambahan. Namun, Maguire muncul sebagai penyelamat dengan tandukan kemenangan menentang bekas kelabnya. Bendera ofsaid tidak dikibarkan, golnya dikira dan ia memberi kelegaan untuk Amorim.
Babak Pertama yang Teruk?
United bukanlah pasukan yang menyerlah di bawah kendalian Amorim dan permainan United pada separuh masa pertama semalam cukup teruk.
Harapan peminat untuk melihat Patrick Dorgu menampilkan aksi hebat pudar apabila Leicester mengawal sebahagian besar permainan. United mungkin memiliki lebih penguasaan bola tetapi mereka tidak memanfaatkannya. Leicester juga tidak terlalu mengancam tetapi masih kelihatan lebih berbahaya.
Pasukan Amorim hanya melepaskan 2 percubaan dan kedua-duanya tidak tepat berbanding Leicester yang mencatatkan 4 percubaan dan 3 darinya tepat ke sasaran.
Ia merupakan kali ke-7 dalam 20 perlawanan di bawah Amorim United menamatkan separuh masa pertama tanpa percubaan tepat. Statistik ini sangat mengecewakan. Sekali lagi, Rasmus Hojlund kurang mendapat sokongan dan dia hanya melakukan 7 sentuhan bola, paling sedikit sepanjang dia memulakan perlawanan musim ini.
Leicester pula memanfaatkan peluang dengan baik. Kehebatan individu Bilal El Khannouss menewaskan Leny Yoro, sebelum Ndidi melepaskan rembatan rendah yang ditepis Onana dan De Cordova-Reid berada tepat pada masanya untuk menyambar bola dan menjaringkan gol pembukaan.
Mengapa Dorgu Bermain di Sebelah Kanan?
United menghabiskan sebahagian besar tahun 2024 tanpa pemain bek-kiri berkaki-kiri. Kehadiran Dorgu sepatutnya menyelesaikan masalah itu. Namun peminat menjadi hairan apabila melihat Dorgu bermain sebagai bek sayap kanan.
Amorim sebelum ini pernah menggunakan bek sayap di sisi yang berlawanan ketika di Sporting CP tetapi mengapa dia melakukan perkara sama untuk perlawanan pertama Dorgu?
Pada awalnya Dorgu kelihatan tidak selesa tetapi kemudian Amorim membimbingnya sepanjang perlawanan. Pengurus dari Portugal itu beberapa kali memberi arahan dari tepi padang mengenai; bila Dorgu perlu ke bahagian sisi atau masuk membantu di bahagian tengah.
Adakah percaturan ini berhasil? Separuh masa pertama menunjukkan United bergelut dengan corak permainan yang perlahan dan statik. Dorgu dikeliarkan pada waktu rehat dan Garnacho dibawa masuk. Dorgu menamatkan debut yang menjanjikan tetapi sukar difahami dari segi taktikal.
Bagaimana United Menggantikan Lisandro Martinez?
United memulakan perlawanan dengan memakai jersi pemanas badan bertulis “Mucha Fuerza Licha!” sebagai tanda sokongan kepada Lisandro Martinez yang mengalami kecederaan ACL ketika United kalah kepada Crystal Palace.
Tanpa Martinez, Amorim memilih Noussair Mazraoui sebagai bek-tengah-kiri dalam formasi back three. Walaupun Mazraoui memiliki kualiti pengedaran bola yang baik, dia dan Diogo Dalot yang berada di bek sayap kiri gagal membantu pasukan keluar dari tekanan.
Pada separuh masa kedua, Amorim menukar Leny Yoro ke posisi bek-tengah-kiri, Dalot sebagai bek sayap, dan Garnacho sebagai pemain No. 10. Namun permainan tetap perlahan sehingga penyokong di Stretford End mula hilang sabar dan melaungkan “Attack! Attack! Attack!”.
Selepas itu, United menemui rentak dan akhirnya menyamakan kedudukan melalui Zirkzee pada minit ke-68. Persoalan mengenai siapa yang mampu menggantikan Martinez di pertahanan masih belum terjawab.
Bolehkah United Beraksi Tanpa Garnacho?
Alejandro Garnacho muncul sebagai pemain penting dalam skuad United. Amorim memujinya kerana dapat menyesuaikan diri dengan sistem pasukan dan perlawanan ini sekali lagi menunjukkan betapa pentingnya dia sebagai pemain gantian.
Serangan United hambar di babak pertama, meskipun masih kurang tajam selepas rehat, kehadiran Garnacho membawa dinamisme yang amat diperlukan. Dia sering mencuba untuk melepasi pertahanan lawan dan mencipta beberapa peluang termasuk satu percubaan yang ditepis ke palang oleh Okoli.
Garnacho memainkan peranan besar dalam gol penyamaan United, memecah masuk dari kanan dan membuat hantaran yang akhirnya disudahkan oleh Zirkzee. Dia juga hampir mencipta beberapa lagi peluang walaupun keputusannya untuk melepaskan percubaan menyebabkan Hojlund berang.
Tanpa kehadiran Garnacho, United mungkin tidak akan menang perlawanan ini. Dia juga memenangi sepakan percuma yang membawa kepada gol kemenangan Maguire. Dengan prestasi sebegini, tidak hairanlah dia dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Adakah VAR Akan Membatalkan Gol Kemenangan?
Ya. Ulangan televisyen menunjukkan Maguire berada dalam posisi ofsaid ketika menanduk masuk gol kemenangan. Tanpa VAR dalam pusingan awal Piala FA, maka keputusan itu tidak boleh diubah melalui semakan semula dan United terus meraikan kemenangan mereka.
Apa Kata Ruben Amorim?
“Kita perlu percaya sehingga saat akhir tetapi ini tiada kaitan dengan ‘Fergie Time’. Prestasi kami… kita perlu beraksi jauh lebih baik dengan bola dan tanpa bola. Kami langsung tiada tenaga di awal perlawanan terutama pada separuh masa pertama.”
Ditanya sama ada semangat Piala FA membantu mereka menang:
“Ya, tetapi saya tidak melihatnya begitu. Saya tidak boleh hanya fokus untuk menyelamatkan musim dengan satu trofi. Itu bukan cara saya melihat bola sepak atau Manchester United. Ia tentang prestasi dan keputusan. Hari ini keputusan baik tetapi prestasi tidak cukup bagus.”
Siapa yang harus dipersalahkan—pemain, sistem atau jurulatih?
“Semuanya. Jurulatih adalah orang pertama yang bertanggungjawab. Jika pasukan tidak meningkat, itu salah jurulatih. Tetapi kita di sini untuk menganalisis, belajar dan cuba menjadi lebih baik pada perlawanan seterusnya.”
Laporan asal dari Chris Anka dan Anantaajith Raghuraman.