Guardiola Pasrah, Ucap Tahniah Pada Sanchez Atas Perpindahannya Ke United

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengucapkan tahniah kepada Alexis Sanchez atas perpindahannya ke Manchester United, sambil menambah Sanchez dan ejen pemain tersebut telah mengambil keputusan yang terbaik buat mereka.

Guardiola telah mengenalpasti Sanchez sebagai penambahan terbaik kepada skuadnya sejak musim panas dulu lagi.

Sampai hati lo memilih United

Walaubagaimanapun, Guardiola terpaksa melupakan hajatnya untuk kembali bersatu dengan Sanchez kerana pemain antarabangsa Chile memilih untuk menyertai Manchester United kerana tawaran gaji yang lebih tinggi.

Tambahan pula, City enggan membayar yuran perpindahan yang tinggi kepada pemain yang hanya mempunyai 6 bulan sahaja lagi dalam kontraknya.

Jose Mourinho mengesahkan Manchester United masih belum dapat mengesahkan perpindahan ini secara rasmi, tetapi tidak menolak pasukannya terlibat dalam perlumbaan untuk mendapatkan tandatangan Sanchez.

Beberapa laporan mengatakan Sanchez bakal menerima gaji tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, sekitar £500,000 seminggu, tetapi Guardiola enggan mengulas lebih lanjut mengenai aspek kewangan menjadi punca City gagal mendapatkan khidmat Sanchez.

“Saya bukan seorang yang pandai dengan Matematik dan nombor. Saya tahu Sanchez masih lagi berada di Arsenal ketika ini, tetapi saya rasa beliau akan menyertai Manchester United tidak lama lagi.”

Dekat tapi jauh

“Tahniah kepada kedua-dua pihak. Sanchez dan ejennya telah mengambil keputusan yang dirasakan terbaik buat mereka. Selamat berjaya.”

Sebelum ini, Sanchez telah bersetuju secara lisan untuk menyertai City sebanyak dua kali. Kali pertama pada musim panas lalu dan terbaru adalah pada Krismas, tetapi Guardiola berkata beliau tidak kecewa dengan tindakan Sanchez memilih untuk menyertai United.

“Saya ulang sekali lagi, pemain dan pengurus Arsenal dan Manchester United mengambil keputusan yang dirasakan terbaik buat mereka. Tiada apa-apa yang perlu ditambah.”

“Pendapat saya terhadap Sanchez tidak akan berubah. Saya beruntung kerana dapat bekerjasama dengannya ketika di Barcelona. Beliau memilih untuk menyertai kelab lain dan saya hanya mampu mengucapkan semoga berjaya kepada Sanchez.”

BACA:  Manchester United Menawarkan Sanchez Kepada Dortmund Untuk Mendapatkan Sancho