Gundogan Terkejut Reaksi ‘Buat Dek’ Pemain Barcelona Selepas Tewas El Klasiko

Ilkay Gundogan terkejut dengan reaksi daripada rakan sepasukannya di Barcelona selepas kekalahan kepada Real Madrid dalam perlawanan El Klasiko pada hujung minggu lalu.

Gundogan menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-6 untuk gol pertamanya di dalam perlawanan El Klasiko sejak melengkapkan perpindahan ke Nou Camp daripada Manchester City pada musim panas lalu.

Namun demikian dua jaringan babak kedua oleh penyerang sensasi England, Jude Bellingham – termasuk gol kemenangan pada masa kecederaan – memastikan tiga mata menjadi milik Los Blancos.

Dan ketika ditembual selepas perlawanan, Gundogan jelas marah dengan kekalahan kepada Real Madrid. Tetapi lebih mengecewakan Gundogan ialah reaksi yang diberikan oleh rakan sepasukannya di bilik persalinan selepas kekalahan tersebut.

“Saya baru saja datang dari bilik persalinan. Dan sudah tentu ramai kecewa terutama selepas perlawanan besar seperti ini dan keputusan yang kami perolehi.

“Bagaimanapun saya sebenarnya berharap untuk melihat kekecewaan yang lebih besar, rasa marah yang lebih membuak, dan lebih rasa geram,” luah Gundogan.

Pemain tengah berusia 33 tahun itu beraksi selama tujuh musim di Etihad dan membantu City memenangi lima kejuaraan Premier League termasuk treble bersejarah pada musim lalu.

Dan Gundogan mahukan rakan sepasukan baharunya di Nou Camp untuk menunjukkan sifat yang lebih berjiwa kental, selepas Barcelona kini berada empat mata di belakang pendahulu Real Madrid dan Girona selepas 11 perlawanan musim ini.

“Kami harus bertindak sekarang atau Real Madrid, dan malah Girona akan mulai menjarakkan diri daripada kami,” tambah Gundogan.

“Ini [sikap] telah menjadi masalah. Saya tidak tahu, tetapi anda seharusnya lebih beremosi apabila tewas sebegini dan pada masa yang sama anda sedar mampu bermain dengan lebih baik dalam situasi tertentu. Masalahnya anda tidak memberikan reaksi dan perkara itu kini berjangkit ke dalam padang.”:

“Saya bukan datang ke sini untuk tewas perlawanan sebegini dan biarkan saja [kedudukan pasukan dalam liga] terus ketinggalan. Saya ada tanggungjawab untuk diri sendiri. Sebagai pemain yang lebih berpengalaman, saya tidak boleh benarkan perkara sebegini berlaku. Kami perlu lebih kental.”

BACA:  Keunikan Maestro Tengah Barcelona, Sergio Busquests Tiada Tandingan