Jumlah Penyokong Frankfurt Di Nou Camp Mengejutkan Ramai Pihak

Barcelona secara rasminya telah tersingkir dari saingan Europa League musim 2021/22 selepas dikejutkan dengan kekalahan di tangan Eintracht Frankfurt.

Gergasi Catalan itu merupakan calon kegemaran untuk menjuarai saingan Europa League musim ini, namun mereka terpaksa akur dengan kekalahan 3-2 (4-3 aggregate) di tangan Eintracht Frankfurt.

Tidak boleh dinafikan lagi yang kedua-dua pasukan telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan dalam perlawanan yang dilangsungkan di Nou Camp itu.

Dua gol jaringan Filip Kostic dan satu gol padu jaringan Rafael Santos Borre sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan yang cukup bermakna untuk kelab dari saingan Bundesliga itu.

Barcelona berjaya menjaringkan dua gol ketika perlawanan masuk ke aksi tambahan masa menerusi Sergio Busquets dan Memphis Depay.

Namun malangnya mereka gagal untuk melakukan comeback dan terpaksa akur disingkirkan dari saingan Europa League oleh Frankfurt.

Frankfurt selepas ini akan turun beraksi bertemu West Ham United di peringkat separuh akhir selepas wakil dari saingan Premier League itu berjaya mencatatkan kemenangan 3-0 menewaskan Lyon hari ini.

Ia dijangka bakal menjadi aksi pertembungan yang sangat menarik dan jelas sekali atmosphere di kedua-dua stadium bakal menghiburkan para peminat.

Para peminat perlu untuk menonton kedua-dua leg perlawanan tersebut kerana semua sedia maklum aura dari penyokong mereka sungguh luar biasa.

Apa pun yang akan berlaku, West Ham sepertinya perlu lebih berhati-hati untuk melayan kunjungan penyokong pasukan pelawat di London Stadium nanti.

Mengapa perlu berhati-hati? Ia kerana hampir 30,000 penyokong Frankfurt yang turun ke Nou Camp hari ini untuk menyokong pasukan kesayangan mereka.

Bahkan masih ada ramai lagi sebenarnya penyokong mereka yang berada di luar stadium yang hadir untuk memberi sokongan padu kepada Frankfurt.

Banyak video reaksi para penyokong mereka yang tular di media sosial hari ini terutama ketika mereka sedang meraikan kejayaan Frankfurt layak ke peringkat separuh akhir.

Di bawah merupakan rakaman aksi-aksi para penyokong Frankfurt meraikan kejayaan mereka menyingkirkan Barcelona di Nou Camp.

Bagaimana logiknya hal seperti ini boleh berlaku? Jumlah penyokong berbaju putih di Nou Camp dilihat seperti mereka sedang beraksi di Santiago Bernabeu.

Tidak hairanlah mengapa Frankfurt boleh mampu menewaskan Barcelona selepas melihat bagaimana para penyokong mereka membanjiri stadium untuk memberi sokongan padu kepada mereka.

Selepas tamat perlawanan tersebut, Xavi mengakui yang beliau terkejut bagaimana penyokong Frankfurt boleh seramai itu di dalam stadium.

“Saya menjangkakan sekitar 70,000 ke 80,000 penyokong ada di sini tapi ia tak sepatutnya berlaku seperti itu. Macam perlawanan akhir dengan penyokong sama ramai. Pihak kelab akan menyiasat apa yang sebenarnya berlaku.”

Pemain pertahanan Uruguay, Ronald Araujo meluahkan hal yang sama dengan beliau menyatakan bahawa:

“Saya terkejut terlalu ramai penyokong dari Jerman di dalam stadium. Pihak kelab perlu siasat hal ini.”

Presiden kelab, Joan Laporta turut mengeluarkan kenyataan tentang hal tersebut dengan menyatakan bahawa:

“Apa yang berlaku di stands adalah satu hal yang memalukan dan tak boleh berulang. Kita perlu periksa segala maklumat yang kita ada dan ambil langkah berjaga-jaga. Ia sangat menyedihkan. Kita perlu lebih tegas dan tak tidak membenarkan ia berlaku lagi. Sebagai penyokong Barcelona saya sendiri rasa malu melihat itu.”

Sepertinya Joan Laporta benar dan penyokong Barcelona sememangnya perlu berasa malu dengan apa yang berlaku.

Pasukan gergasi seperti mereka tak sepatutnya didominasi ketika bermain di halaman sendiri dan pihak kelab perlu lakukan sesuatu dan perlu ada tindakan segera yang diambil.

Sumber: GMS

BACA:  Fabregas: Messi Masih Pemain Terbaik Dunia Jika Bermain Di Liga Perdana Inggeris