Harapan Arsenal Kian Pudar Selepas Kekalahan Kepada West Ham

Hari ini semuanya terasa sukar untuk Arsenal.

Kecederaan pemain, keputusan pengadil yang tidak memihak kepada mereka, serangan yang tumpul dan kegagalan membawa masuk pemain baharu pada Januari. Semua ini menjadi punca kekalahan 1-0 di tempat sendiri kepada West Ham United. Sebelum ini, Arsenal mencatat 15 perlawanan liga tanpa kalah tetapi kini mereka tidak boleh lagi mengabaikan masalah yang semakin membebankan.

Pengurus, Mikel Arteta tidak mahu memberi alasan.

“Saya sangat kecewa dan sudah tentu marah,” katanya selepas perlawanan. “Hari ini kami bermain di bawah standard sepatutnya, dan itu tanggungjawab saya. Saya benar-benar marah.”

Arteta menolak untuk menyalahkan kecederaan, kad merah, kegagalan membeli pemain atau faktor luar lain yang menjejaskan Arsenal.

“Saya tolak semua itu kerana ini soal standard pemain dan pasukan yang turun beraksi hari ini termasuk saya sendiri,” katanya. “Kami jauh dari tahap yang diperlukan untuk bersaing merebut gelaran Liga Perdana. Ya, kami konsisten sebelum ini, tetapi bola sepak bergantung pada prestasi semasa dan hari ini, kami tidak cukup bagus.”

Ketegasan Arteta dalam mengambil tanggungjawab bukan sesuatu yang baru. Dia bukan jenis yang suka mencari alasan dan sikap itu memang boleh dipuji.

Namun, dia juga tidak punya banyak pilihan. Musim belum pun masuk bulan Mac. Apa gunanya jika dia mengaku bahawa kempen Arsenal kini tergelincir kerana nasib malang dan keputusan buruk? Sebagai pengurus tugasnya adalah memastikan pasukan terus berjuang hingga musim berakhir. Sama ada di hadapan media atau dalam bilik persalinan, fokus utamanya adalah mengawal perkara yang masih boleh dikawal.

Dan memang ada sebab untuk Arteta berfikir begitu. Arsenal bukan tewas kerana nasib malang tetapi kerana kelemahan sendiri. Mereka gagal menyerang dengan tajam walaupun menguasai bola dan pertahanan mereka mudah dibolosi. Walaupun kecederaan membelenggu pasukan, prestasi yang ditampilkan tetap di bawah standard.

Namun sukar untuk menafikan bahawa Arsenal kehilangan 4 penyerang utama iaitu Kai Havertz, Bukayo Saka, Gabriel Martinelli, dan Gabriel Jesus, semuanya masih cedera. Bahagian serangan mereka kini pincang. Situasi ini mirip dengan Tottenham yang mengalami masalah besar di bahagian pertahanan dan kini bergelut dalam liga. Arsenal kini menghadapi krisis mereka sendiri.

Kehilangan pemain penting membuatkan Arsenal kelihatan terdesak. Mikel Merino memberi impak ketika masuk sebagai pemain gantian menentang Leicester tetapi permainan buruk Arsenal dalam 80 minit perlawanan itu sepatutnya menjadi isyarat jelas. Mengharapkan Merino untuk terus menyelamatkan pasukan setiap minggu hingga hujung musim mungkin sesuatu yang tidak realistik.

Ketika Arsenal mencari gol penyamaan, 3 daripada 4 pemain gantian yang dimasukkan oleh Arteta adalah pemain pertahanan. Dia mengambil risiko besar dengan mengeluarkan Declan Rice untuk memberi ruang kepada Zinchenko bermain di bahagian tengah, sesuatu yang jarang dilakukan sebelum ini. Raheem Sterling hanya dimasukkan 10 minit sebelum tamat, lebih sebagai langkah terdesak berbanding strategi sebenar. Malah Arteta turut mengeluarkan William Saliba dan mengubah barisan pertahanan, meletakkan Ben White dan Jurrien Timber di posisi yang tidak biasa. Semua ini jelas menunjukkan betapa terdesaknya Arsenal.

Kini, pasti menarik untuk melihat bagaimana pihak pengurusan Arsenal menilai semula keputusan mereka dalam jendela perpindahan Januari. Mereka memilih untuk tidak membeli penyerang baharu. Adakah mereka masih yakin itu adalah langkah terbaik untuk masa depan kelab? Atau adakah mereka kini menyesal kerana tidak memperkukuh skuad?

Harapan Arsenal untuk sekurang-kurangnya mengutip 1 mata hampir musnah apabila pemain gantian, Myles Lewis-Skelly dilayangkan kad merah selepas menarik Mohammed Kudus. Pemain berusia 18 tahun itu telah menunjukkan potensi besar dalam musim debutnya bersama pasukan utama tetapi kali ini kesilapannya jelas memberi kesan.

Kesilapan pemain muda adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Namun masalahnya, Arsenal kini berada dalam situasi di mana mereka tidak boleh melakukan sebarang kesilapan. Ini adalah kad merah ke-5 Arsenal di Liga Perdana, 2 lebih banyak daripada pasukan lain. Bermain dengan 10 pemain terlalu kerap bukanlah sesuatu yang boleh diteruskan jika mereka mahu kekal bersaing.

Arteta pasti akan terus menuntut lebih banyak daripada pasukannya dan kemungkinan besar mereka akan memberi tindakbalas yang lebih baik selepas ini. Arsenal masih sebuah pasukan yang berkualiti.

Tetapi untuk mengejar Liverpool? Ia nampaknya semakin sukar. Pasukan Arne Slot mungkin mengalami sedikit penurunan prestasi sejak beberapa minggu kebelakangan ini tetapi Arsenal gagal mengambil kesempatan. Jika Liverpool menang dalam perlawanan seterusnya, Arsenal mungkin akan ketinggalan 11 mata sebelum mereka turun menentang Nottingham Forest pada hari Rabu nanti.

Perjalanan menuju kejuaraan mungkin masih ada kejutan. Namun sukar untuk menafikan bahawa musim Arsenal kini semakin hampir kepada titik kritikal.

BACA:  Hakim Kanada Sahkan Tindakan Undang-Undang Terhadap Pengerusi Newcastle