Henry Belajar Apa Itu Bolasepak Ketika Bermain Di Bawah Guardiola

Legenda Arsenal, Thierry Henry berkata persepktif beliau terhadap bolasepak berubah apabila beliau bermain di bawah Pep Guardiola selama 3 tahun di Barcelona.

Kini bekerja sebagai pengkritik bolasepak di Skysports, Henry menyertai Barcelona dari Arsenal pada tahun 2007.

Musim pertama Henry di Nou Camp berakhir dengan penuh kekecewaan

Henry mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan kesayangannya itu kerana mahu memenangi trofi yang belum pernah dimenanginya iaitu Liga Juara-Juara Eropah.

Musim pertama beliau di Nou Camp tidak selancar seperti yang disangka. Barcelona mengharungi musim yang mengecewakan dan tidak memenangi sebarang kejuaraan pada musim tersebut. Pengurus Barcelona ketika itu, Frank Rijkaard meletak jawatan pada penghujung musim.

Barcelona mengumumkan mereka membuat pelantikan dalaman untuk menggantikan Rijkaard, dengan bekas pemain, Pep Guardiola mengambil tampuk pengurusan kelab. Saat kegemilangan Los Cules bermula pada detik tersebut.

Guardiola memperkenalkan DNA bolasepak beliau yang lebih dikenali sebagai ‘tiki-taka’. Permainan yang ditunjukkan pasukan Barcelona ketika itu memang jauh meninggalkan pasukan lain dan mereka berjaya menjadi pasukan pertama dalam sejarah bolasepak Sepanyol memenangi treble pada musim 2008/2009.

Guardiola mengubah segalanya dan Henry berjaya mendakap trofi yang sangat diidamkannya

Henry hanya mengambil masa selama dua tahun untuk mendakap trofi yang sangat diidamkannya itu dan keputusan untuk berhijrah ke Catalan jelas membuahkan hasil.

Sebelum Arsenal, Henry pernah bermain dengan pasukan seperti Juventus dan Monaco. Beliau juga berjaya muncul pemain terbanyak menjaringkan gol buat pasukan kebangsaan Perancis dengan 51 gol.

Tetapi ketika bercakap dalam satu rancangan pagi ‘Soccer AM’, Henry mengakui Guardiola telah mengubah pandangan beliau terhadap bolasepak dan bagaimana ia sepatutnya dimainkan.

“Saya belajar sekali lagi apa itu bolasepak pada umur 30 tahun. Selepas semua yang saya menang  bersama Arsenal, Juventus dan Monaco termasuk peringkat antarabangsa, secara tiba-tiba saya melihat bolasepak dari sudut yang berbeza.”

“Anda harus memberikan 100% terhadap semua perkara. Anda harus faham apa itu ruang dan kekal berada dalam posisi.”

“Walaupun kami berhenti minum ketika menjalani latihan, kami harus berlari, minum dan kembali dalam latihan. Guardiola sangat menekankan perincian dan tiada siapa yang dapat melawannya.”

Apabila Henry, Eto’ dan Messi berlari ke arah kamu, kamu mati.

Henry juga sempat memberikan pendapat beliau mengenai bagaimana Guardiola merencana taktikal bagi setiap perlawanan.

“Kadangkala beliau terlalu cerdik sebab itulah beliau mendapat masalah. Beliau melihat banyak perkara yang beliau rasa perlu ditukar dan diperbaiki. Beliau pernah menukar taktikal sebanyak 5 kali dalam satu separuh masa.”

“Jika saya berdiri di antara bek kanan dan pertahanan tengah, dan di bahagian kiri padang Samuel Eto’o melakukan perkara yang sama, kami telah berjaya merantai pergerakan 4 pemain lawan.”

“Dengan saya dan Eto’o berlari di belakang pertahanan, Xavi dan Iniesta akan memegang bola di bahagian tepi padang. Messi pula akan turun lebih ke bawah. Jadi pasukan lawan sudah tentu berasa tertekan.”

“Senario ini sama seperti saya beritahu kamu untuk berjumpa di London tetapi saya tidak berikan kamu alamat. Hanya berjumpa di London sahaja. Jika kamu bijak, kamu akan jumpa saya. Tetapi bagi Guardiola, beliau akan beri GPS, alamat, kereta dan semua perkara.”

BACA:  Paul Pogba Sah Tolak Tawaran Lumayan Dari Manchester City