Highlight Kesemua Perlawanan Minggu Pertama EPL 2021-22

Liga Perdana Inggeris musim 2021-22 telahpun bermula secara rasminya sekaligus mengakhiri penantian selama beberapa bulan para penyokong beberapa kelab untuk mengejek penyokong lawan.

Pada musim ini, penyokong di England telah dibenarkan untuk menonton perlawanan di stadium, mengakhiri fasa menonton perlawanan bola sepak dalam televisyen yang menggunakan sorakan palsu penyokong yang ternyata tidak enjoy langsung.

Brentford 2-0 Arsenal

Perlawanan pertama memperlihatkan bagaimana pasukan yang buat kali pertama dalam sejarah kelab bermain dalam liga teratas di England, Brentford, berjaya menumpaskan bekas abang besar EPL, Arsenal 2-0 di laman sendiri pada hari Jumaat.

Pemain Sepanyol, Sergi Canos, meletakkan namanya dalam sejarah yang selamanya akan diingati oleh penyokong Brentford apabila meledakkan gol pertama pada minit ke-22 menerusi satu rembatan deras dalam kotak penalti lawan.

Pada minit ke-73, Christian Norgaard mengesahkan kemenangan pasukan baru ini menerusi satu tandukan dari jarak dekat dalam kotak 6-ela di kotak penalti Arsenal.

Manchester United 5-1 Leeds United

Pasukan yang berbelanja besar, Manchester United, memulakan program perlawanan pertama mereka dengan mempersembahkan pemain baharu yang dibeli dari Real Madrid, Raphael Varane, yang diiriingi sorakan daripada para penyokong di stadium.

Dalam perlawanan tersebut, Manchester United terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain tengah sensasi bersama kelab tetapi sendu bersama pasukan kebangsaan, Bruno Fernandes, pada minit ke-30 yang berjaya menyudahkan hantaran pantas daripada Paul Pogba.

Empat minit selepas separuh masa kedua bermula, Luke Ayling telah menyamakan kedudukan menerusi satu rembatan padu, ngilu, deras yang tepat ke bucu gawang lantas menewaskan David De Gea.

Tidak menunggu lama, United kembali mendahului Leeds tiga minit kemudian menerusi satu hantaran cantik Pogba kepada Greenwood, yang kemudiannya membawa bola ke dalam kotak penalti lawan sebelum melepaskan rembatan leret, menewaskan Illan Meslier.

Dua minit kemudian, Bruno sekali lagi mencatatkan nama sebagai penjaring menerusi satu rembatan leret selepas sekali lagi menerima hantaran daripada Paul Pogba. Rembatan tersebut asalnya dilihat dapat diselamatkan oleh pertahanan Leeds, namun dengan menggunakan Goal Line Technology (GLT) pengadil telah mengesahkan bahawa gol itu benar, bola masuk itu benar, penjaga gol tertewas itu benar.

Selang lima minit kemudian, hantaran jauh daripada Victor Lindelof disambut kemas oleh Bruno, yang kemudiannya meledakkan satu rembatan padu dan deras ke dalam gol Leeds, sekaligus menjadi pemain United yang pertama sejak musim 1977-78 yang menjaringkan hatrik dalam perlawanan pembukaan.

Melengkapkan kemenangan pasukan Syaithon Merah ini, Pogba sekali lagi mencatatkan nama dalam rekod assist apabila lorongannya ke tengah kotak penalti Leeds disambar oleh Fred.

Watford 3-2 Aston Villa

Satu lagi pasukan yang baru naik taraf ke puncak tertinggi piramid bola sepak England, Watford, yang mencatatkan permulaan yang baik pada musim ini dengan tiga mata penuh, selepas menewaskan pasukan yang baru sahaja kehilangan ketua pasukan mereka Jack Grealish.

Emmanuel Bonaventure telah membuka jaringan pada minit kesepuluh, menerusi rembatan jarak dekat dalam kotak penalti Aston Villa, yang menewaskan penjaga gol yang baru sahaja menjulang Copa America bersama Argentina, Emiliano Martinez.

Tiga minit sebelum separuh masa pertama tamat, Isamila Sarr menggandakan kedudukan buat Watford apabila rembatannya tertampan pertahanan Villa dan melambung tinggi melemaskan Martinez sekali lagi.

Pada minit ke-67, Cucho Hernandez, menjadikan kedudukan 3-0 apabila rembatan lencongnya gagal diselamatkan Martinez dan menerjah gol Villa.

Selang tiga minit kemudian, John McGinn berjaya mendapatkan gol pertama Villa dalam usaha mereka cuba bangkit dalam perlawanan ini, menerusi satu tendangan first timer  selepas meyambut hantaran daripada Leon Bailley.

Pada hujung perlawanan, Villa dihadiahkan tendangan penalti selepas Bertrand Traore dijatuhkan dan pemain baru menyertai kelab, Danny Ings, dengan mudah menolak bola ke dalam gol menewaskan Daniel Bachmann.

Leicester City 1-0 Wolverhampton

Pasukan yang terkulai layu terkeluar daripada empat pasukan teratas pada penghujung musim lalu, Leicester City, turut memulakan kempen liga musim ini dengan rentak positif selepas menewaskan pasukan serigala 1-0 di laman sendiri.

Pada minit ke-15 perlawanan, Jamie Vardy telah berjaya menewaskan Jose Sa, namun dia didapati terlebih dahulu telah ofsaid.

Walabagaimanapun, Vardy teap muncul penjaring pada minit ke-41 apabila dia menyudahkan hantaran lintang dari tepi padang, lalu menewaskan penjaga gol Wolves.

Chelsea 3-0 Crystal Palace

Juara Liga Juara-Juara UEFA musim lalu dan bakal juara EPL musim ini, Chelsea, memulakan liga dengan rentak agak garang selepas menewaskan pasukan jiran tetangga, Crystal Palace.

Marcos Alonso membuka jaringan pasukan The Blues menerusi satu sepakan percuma yang hanya mampu dilihat oleh penjaga gol Palace pada minit ke-25.

Lima minit sebelum waktu rehat, Christian Pulisic menggandakan kedudukan buat pasukan tuan rumah selepas melakukan follow up bola muntah daripada tampanan Vincente Guaita.

Melengkapkan hari pertama yang gemilang buat Chelsea adalah pemain pertahanan muda, Trevoh Chalobah, yang melakukan rembatan dari luar kotak penalti, sekaligus menjadi gol pertama dalam perlawanan pertamanya dalam Liga Perdana.

Everton 3-1 Southampton

Pasukan yang ditinggalkan tanpa belas oleh Carlo Ancelotti, Everton, membuka rekod pengurus baru, Rafa Benitez dengan tiga mata selepas menewaskan calon relegation musim ini, Southampton.

Everton terlebih dahulu ketinggalan pada minit ke-22 selepas pertahanan Michael Keane, mensedekahkan bola kepada Che Adams, yang kemudiannya menolak bola kepada Adam Armstrong dan disudahi dengan rembatan kencangn menewaskan Jordan Pickford.

Dua minit selepas separuh masa kedua, Richarlison menyamakan kedudukan menerusi tampanan jarak dekat, menewaskan penjaga gol Southampton yang tergamam.

Pada minit ke-75, Abdoulaye Doucoure meletakkan Everton di depan menerusi satu rembatan tepat ke bucu gol lawan, melepasi jangkauan McCarthy.

Pada minit ke-80, penyerang sensasi, Dominic Calvert Lewin, melakukan tandukan persis Amri Yahyah selepas menerima bola hantaran rendah daripada Richarlison dari sebelah kanan padang.

Burnley 1-2 Brighton & Hove Albion

James Tarkowski membuka jaringan buat Burnley pada minit kedua dalam perlawanan yang tidak mendapat perhatian penyokong bola sepak di Malaysia ini selepas menanduk bola daripada tendangan sudut. Gol ini kemudiannya disemak sama ada berlaku kekasaran atau tidak beberapa detik sebelumnya, namun pengadil tetap mengekalkan gol ini.

Selepas itu Brighton cuba bangkit namun Burnley tetap teguh bertahan sehinggalah minit ke-73, apabila Neal Maupay berjaya menyamakan kedudukan selepas dibawa masuk sebagai pemain gantian.

Jakub Moder yang menerima hantaran daripada Bissouma telah melakukan lencongan ke depan gol Burnley dan kemudiannya disambar oleh Maupay.

Lima minit kemudian, Alexis Mac Allister menjaringkan gol kemenangan buat Brighton dalam satu gerakan yang sama dengan gol pertama, tetapi dengan menggunakan watak berbeza.

Kali ini, Pascal Gross melakukan hantaran silang dari sebelah kanan dan disambar oleh Mac Allister yang melakukan larian dari belakang.

Norwich City 0-3 Liverpool

Turut mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pertama musim ini adalah pasukan yang paling power dalam dunia, Liverpool, apabila dengan mudah menewaskan pasukan yang ada Pukki, Norwich City di tempat lawan.

Pemain berbisa, Mohamad Salah seperti biasa menjadi watak utama apabila dia menolak bola kepada Diogo Jota yang kemudiannya menewaskan penjaga gol Norwich, Tim Krul, pada minit ke-26. Pada mata orang biasa, Salah mungkin kelihatan seperti tidak sengaja menampan bola kepada Jota, tetapi hanya orang tertentu sahaja yang tahu bahawa memang Salah rancang benda tu.

Pada minit ke-65, Salah sekali lagi menunjukkan bahawa dia adalah pemain yang tidak tamak apabila melorongkan bola kepada Firmino, selepas Sadio Mane menunjukkan aksi tamak dan kelakar. Firmino kemudiannya dengan begitu sempurna menolak bola ke dalam gol yang terbuka.

Apalah ertinya perlawanan pembukaan tanpa gol daripada Salah.

Pemain terbaik sepanjang zaman Liverpool ini mencipta rekod pemain pertama yang menjaringkan gol dalam perlawanan pembukaan selama lima musim berturut-turut apabila rembatan lencong kaki kirinya menewaskan Krul buat kali ketiga dalam perlawanan ini.

Kita mungkin baru sahaja menyaksikan satu perlawanan daripada setiap pasukan, tetapi tidak melampau untuk kita katakan bahawa gol Salah ini adalah gol yang bakal memenangi anugerah Puskas tahun depan.

Perlawanan Bonus : Kedah 2-4 Selangor

Ifedayo = GOAT. As simple as that.

BACA:  Sadio Mane Tidak Tahu Pemain Akan Menerima Pingat Sekiranya Liverpool Juara Liga