Huddersfield Muncul Pasukan Pertama Tersingkir Dari Liga Perdana Inggeris

Huddersfield menjadi pasukan pertama tersingkir dari Liga Perdana Inggeris musim apabila tewas di tangan Crystal Palace 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Selhurst Park semalam.

Dua gol pada separuh masa kedua menerusi sepakan penalti, Luka Milivojevic dan Patrick van Aanholt sudah cukup untuk menghantar Huddersfield ke Liga Championship musim hadapan.

Huddersfield menyamai rekod terburuk pasukan paling awal tersingkir dari Liga Perdana Inggeris

Kekalahan Huddersfield, ditambah dengan kemenangan yang diraih Burnley dan Southampton, mengesahkan relegasi mereka dari Liga Perdana Inggeris.

Huddersfield turut menyamai pencapaian terburuk pasukan yang bertanding dalam Liga Perdana Inggeris apabila tersingkir walaupun liga masih berbaki 6 perlawanan lagi. Derby County dan Ipswich Town merupakan pasukan yang pernah melakukan perkara yang sama seperti Huddersfield sebelum ini.

Untuk rekod, musim ini adalah musim ke-3 Huddersfield bersaing dalam Liga Perdana Inggeris tetapi prestasi buruk sejak awal musim menyebabkan mereka terpaksa melupakan niat untuk terus bersaing di kejohanan tertinggi di England musim hadapan.

Musim lepas menyaksikan Huddersfield berjaya mengelak dari mengalami relegasi, hasil pendekatan yang diambil bekas pengurus, David Wagner yang mahu pasukannya bermain dengan penuh bertenaga dan tanpa rasa takut.

Pengurus, Jan Siewert berjanji Huddersfield akan kembali bangkit dan menjadi lebih kuat

Walau bagaimanapun, musim ini tidak berjalan seperti yang diharapkan buat Huddersfield. Wagner meninggalkan kelab atas persetujuan bersama pada Januari lalu selepas hanya mampu mengutip 11 mata dari 22 perlawanan awal.

Jurulatih dari Jerman, Jan Siewert dilantik menggantikan tempat Wagner untuk mencari jalan membantu kelab tersebut dari relegasi namun situasi masih tidak berubah. Sejak mengambil alih jawatan pengurus, Siewert mengalami 8 kekalahan dari 9 perlawanan, dengan satu-satunya kemenangan dicapai pada Februari lalu, menewaskan Wolves di halaman sendiri.

Antara punca utama Huddersfield bergelut musim ini adalah ketumpulan di jentera serangan. Dari 32 perlawanan liga yang mereka harungi musim ini, hanya 18 gol berjaya dijaringkan dan pada tahun 2019, mereka hanya mampu menjaringkan 1 gol di tempat lawan.

Pengendali Huddersfield, Jan Siewert berjanji kepada peminat yang mereka akan kembali lebih kuat selepas disahkan menjadi pasukan pertama mengalami relegasi musim ini.

“Saya rasa peminat pon sudah mengerti apa yang kami lakukan selama ini. Terdapat sesetengah perkara yang tidak betul musim ini, dan kami perlu mencari cara untuk memperbetulkannya demi kelab ini.”

Kenangan promosi di bawah David Wagner suatu ketika dahulu

“Sekarang kami sedang fokus untuk memperbetulkan perkara yang salah, dan mencari jalan untuk kembali dengan lebih kuat.”

“Agak sukar untuk menjelaskan perasaan saya sekarang, sudah tentu saya kecewa. Penalti dalam perlawanan tadi mengubah hala tuju permainan. Saya masih belum kira betul-betul tetapi saya rasa kami mungkin telah melepaskan 8 hinggo 10 penalti musim ini.”

“Bagi saya, dalam hidup terdapat kejayaan dan kegagalan dan kedua-duanya berkait. Sebagai sebuah kelab, kami perlu belajar dari kegagalan ini.”

BACA:  Pelarian Syria Yang Menjadi Mangsa Buli Di UK Terima Undangan Hadiri Perlawanan EPL