Bekas pemain tengah Manchester City, Samir Nasri terpaksa menunggu lebih lama untuk kembali beraksi selepas penggantungan yang sedang beliau jalani ditambah menjadi 18 bulan.
Nasri digantung dari melibatkan diri dari segala kejohanan bola sepak kerana melanggar peraturan anti-doping yang ditetapkan oleh ‘World Anti-Doping Agency’ (WADA).
Nasri menerima hukuman penggantungan selama 6 bulan selepas menerima ‘drip treatment’ di sebuah klinik di Los Angeles pada tahun 2016. Tindakan Nasri itu melanggar peraturan yang ditetapkan WADA berkenaan ‘drip treatment’ dan Nasri serta merta digantung dari beraksi bersama kelab beliau ketika itu, Sevilla oleh UEFA.
Nasri menghantar rayuan untuk mengurangkan tempoh penggantungan tetapi rayuan beliau ditolak menyebabkan tempoh penggantungan dinaikkan menjadi 18 bulan.
Bekas pemain Arsenal ini sekarang tidak mempunyai kelab dan hanya dibenarkan untuk menjalani latihan dengan mana-mana kelab pada bulan November ini.
Penggantungan ini bermula pada 1 Julai 2017 yang mana pada ketika itu Nasri baru sahaja menyertai kelab Turki, Antalyaspor. Beliau sempat melakukan 8 penampilan bersama Antalyaspor sebelum menjalani hukuman penggantungan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh UEFA, badan bola sepak Eropah itu mengumumkan tarikh Nasri dibenarkan kembali beraksi.
“Badan Disiplin & Etik UEFA telah membuat pindaan mengenai keputusan yang dibuat pada 22 February 2018 seperti berikut.”
“1. Pemain bernama Samir Nasri digantung dari terlibat dalam aktiviti bola sepak selama 18 bulan. Penggantungan ini bermula dari 1 Julai 2017.”
“2. Samir Nasri hanya akan dibenarkan menjalani latihan dengan mana-mana kelab bermula dari 1 November 2018.”
Pada Disember 2016, ketika bermain untuk Sevilla secara pinjaman, Nasri telah dirakam menjalani rawatan tersebut di sebuah klinik yang dikenali sebagai Drip Doctors.
Beliau mendakwa menerima rawatan ‘titisan IV’ untuk memastikan dirinya kekal hydrasi dan berada pada tahap kesihatan yang terbaik sepanjang melalui musim yang agak sibuk bersama Sevilla pada ketika itu.
Nasri meminta UEFA untuk memberikan beliau pengecualian ‘Therapeutic Use Exemption’ (TUE) untuk melepaskan diri dari segala tindakan dari badan bola sepak tersebut.
Malangnya, UEFA menolak permohonan Nasri dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman yang dikenakan ke atas Nasri pada Disember tahun lepas, selepas beliau mengemukakan rayuan kepada mahkamah tersebut.