Ibrahimovic Pernah Minta Untuk Tidak Dibayar Gaji Ketika Bersama Manchester United

Zlatan Ibrahimovic berkata beliau pernah meminta Manchester United untuk tidak membayar gajinya kerana tidak berpuas hati dengan tahap permainannya selepas kembali dari kecederaan.

Penyerang Sweden itu mengakui beliau bergelut untuk kembali ke tahap terbaiknya selepas mengalami kecederaan serius pada penghujung musim 2016/2017. Sebelum kecederaan tersebut, Ibrahimovic berjaya menjaringkan 28 gol dalam musim pertamanya di England.

Kecederaan yang meragut karier Zlatan di Old Trafford

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho membenarkan Ibrahimovic untuk menjalani rawatan di kelab tersebut walaupun kontraknya telah tamat. Kerana kagum dengan kesungguhan Ibrahimovic, Mourinho menawarkan kontrak baru dan bekas penyerang Paris Saint-Germain itu kembali beraksi untuk United pada hujung tahun lalu.

Tetapi nyata kecederaan masih lagi membelenggu Ibrahimovic kerana beliau gagal mempamerkan prestasi seperti sebelum beliau ditimpa kecederaan tersebut. Akhirnya, Ibrahimovic dibenarkan untuk berpindah ke Major League Soccer untuk menyertai LA Galaxy pada Mac lalu.

Ibrahimovic yang telah bersara dari arena bola sepak antarabangsa pernah berkata beliau bersedia untuk kembali beraksi dengan Sweden sekiranya diminta berbuat demikian. Namun, nama Ibrahimovic tidak disenaraikan dalam skuad Sweden yang berjaya mara sehingga peringkat suku akhir di Russia sebelum disekat oleh England.

Dalam temuramah ramah terbaru Ibrahimovic bersama BBC, beliau mengakui tidak berada di tahap terbaik selepas kembali dari kecederaan ketika bersama United.

Tetapi Zlatan kembali bernyawa di United States

“Situasi yang saya hadapi bukanlah mengenai kontrak atau berapa wang yang saya patut terima. Perkara sebaliknya yang berlaku.”

“Saya berkata kepada Manchester United, ‘Saya tidak mahu menerima gaji. Anda boleh simpan sahaja duit itu’.”

“Minda saya sudah bersedia tetapi lutut saya sebenarnya masih belum bersedia. Apabila saya sudah bersedia, saya berkata kepada diri sendiri, ‘Aku masih lagi sampai ke tahap sebelum ini’. Manchester United pernah memiliki Zlatan. Selepas kecederaan itu, saya tidak bersedia untuk menjadi Zlatan yang lama.”

“Saya dipilih untuk bermain dalam beberapa perlawanan tetapi saya beritahu kepada jurulatih, ‘Dengar sini, Aku masih belum bersedia. Aku tak mahu kecewakan kamu. Aku hormat pada rakan sepasukan yang lain dan juga coach. Pilih pemain lain yang mampu bermain lebih baik dari aku.’ Saya tetap melakukan perkara tersebut walaupun saya adalah Zlatan.”

Los Angeles finally has their own King !

Keputusan Ibrahimovic untuk berpindah ke Amerika Syarikat nyata membuahkan hasil kerana beliau dilihat cepat untuk menyesuaikan diri apabila menjaringkan dua gol dalam debutnya bersama LA Galaxy, termasuk satu volley cantik sejauh 35 kaki yang terus menerjah jaring.

“Sebaik saja saya menyepak bola itu, saya tahu ia akan masuk. Anda akan sendiri tahu apabila anda menyepak bola dengan baik. Apabila bola itu menerjah jaring, seluruh stadium menjadi gila.”

“Saya tidak boleh merungkapkan detik itu dengan kata-kata. Penantian saya selama 8 bulan untuk 20 minit dalam perlawanan itu nyata berbaloi.”

BACA:  Solskjaer Tiada Masalah Alih Fokus Terhadap Arsenal Selepas Cemerlang Singkirkan PSG