Ini Sebab Barcelona Bakal Papar Logo Rolling Stone Di Jersi Untuk El Clasico

Barcelona akan memaparkan logo kumpulan rock terkenal Rolling Stone pada jersi mereka untuk perlawanan El Clasico menentang Real Madrid pada 28 Oktober hadapan.

Skuad kendalian Xavi yang juga juara bertahan La Liga ditaja oleh syarikat penstriman terkemuka dunia Spotify yang mempunyai sejarah menggunakan logo atau emblem artis tekemuka untuk perlawanan besar seperti El Clasico.

Untuk dua perlawanan El Clasico pada musim lalu, Barcelona menggunakan jersi dengan logo Drake dan Rosalia di bahagian hadapan jersi.

Kali ini giliran Rolling Stone memanfaatkan kerjasama Spotify dengan kelab Catalan itu – dengan logo yang popular memaparkan bibir dan lidah terjelir.

Kempen kali ini adalah sempena album baharu Rolling Stone, Hackey Diamonds yang akan mula diedarkan pada hari ini (20 Oktober) – 18 tahun sejak kali terakhir kumpulan rock British itu mengeluarkan album mereka.

Selain untuk perlawanan El Clasico, logo Roling Stones turut akan dipaparkan pada jersi skuad wanita di pertandingan Liga F menentang Sevilla seminggu selepas itu.

1,899 helai jersi telah dicetak khas untuk dibeli oleh peminat. Barcelona pula akan menjual 22 helai jersi terhad rekaan tersebut yang turut didatangkan dengan tandatangan semua anggota skuad utama.

Turut akan dijual adalah koleksi edisi terhad lain seperti t-shirt, topi, dan hoodie yang akan mulai dijual pada 23 Oktober.

“Sekali lagi kerjasama kami dengan Spotify membuka langkah ke tahap seterusnya,” kata Naib presiden bahagian pemasaran Barcelona, Juli Guiu.

“Menggandingkan dua entiti ikonik – Rolling Stones dan Barcelona – ia adalah detik istimewa buat penyokong kami di seluruh dunia.

“Muzik dan bola sepak telah menghasilkan kerjasama istimewa untuk tempoh masa yang panjang dan kami bangga kerana membuka lembaran baharu di dalam kisah ini bersama Spotify.”

BACA:  Courtois Tolak Spekulasi Real Madrid, Mahu Terus Kekal Bersama Chelsea