Akibat Bela Cybertrooper Bekas Presiden Barcelona Ditahan

Bekas Presiden kelab bola sepak Barcelona, Josep Maria Bartomeu dilaporkan telah ditahan di rumahnya selepas banyak laporan polis telah dibuat ke atas beliau di Sepanyol.

Selain itu Chief Executive Officer(CEO), Oscar Grau, Pengarah Undang-undang, Roman Ponti dan Jaume Masferrer yang merupakan bekas pengasihat Josep Maria Bartomeu turut ditahan.

Penahanan ini dibuat disebabkan berkaitan kes ‘Barcagate’ di mana Josep Maria Bartomeu telah dituduh membela atau mewujudkan pasukan cybertrooper atau askar siber.

Barcelona telah dituduh mempunyai syarikat yang memantau media sosial dan mempunyai akaun media sosial palsu untuk mempertahankan reputasi Josep Maria Bartomeu selaku presiden suatu ketiak dulu.

Akaun palsu media sosial ini berfungsi sebagai cybertrooper dan menyerang pihak yang menentang presiden selepas scouting dijalankan bagi mengenal pasti puak penentang.

Pihak yang diserang termasuklah staf dan pemain pasukan Barcelona sendiri temasuklah Lionel Messi, Pep Guardiola, Xavi dan Gerrard Pique.

Barcelona telah dituduh membayar yuran perkhidmatan syarikat I3 Ventures sebanyak £170,000 bersamaan RM961, 760 yang menyasarkan musuh Josep Maria Bartomeu.

Gerrard Pique yang merupakan salah seorang sasaran serangan cybertrooper menyifatkan situasi ini sebagai sesuatu yang memalukan.

“Perkara ini sebenarnya memalukan kelab kerana membelanjakan wang untuk mengkritik kami.”

“Sangat kejam bagi pemain Barcelona melihat kelab membelanjakan wang untuk mengkritik bukan sahaja orang luar yang pernah mempunyai pertalian dengan kelab sebelum ini malah pemain yang masih beraksi di sini.”

Dalam satu kenyataan dibuat oleh Barcelona tahun lalu, kelab Catalan itu telah menafikan kewujudan pasukan Cybertrooper ini.

“FC Barcelona dengan ini secara tegas menafikan sebarang pertalian dan selanjutnya, kontrak perkhidmatan yang dihubungkan dengan akaun media sosial yang telah menyiarkan mesej negatif atau meremehkan kepada mana-mana individu, entiti atau persatuan yang mungkin atau mempunyai perkaitan dengan kelab.”

Barcelona juga menafikan I3 Ventures mempunyai akaun palsu dan hanya merupakan penyedia perkhidmatan kepada kelab.

“I3 Ventures merupakan penyedia perkhidmatan kepada kelab tidak mempunyai hubungan dengan akaun yang disebut dan jika ada hubungan yang jelas, kelab dengan segera akan menamatkan kontrak dan mengambil tindakan undang-undang.”

Barcelona mengesahkan bahawa I3 Ventures dilantik untuk menganalisa media sosial kelab sahaja dan tiada menyediakan perkhidmatan cybertrooper.

“Barcelona mengesahkan kontrak perkhidmatan ini berhubung pemantauan media sosial dengan tujuan menganalisa komen postif dan negatif mengenai organisasi sahaja.”

Dengan penahanan Josep Maria Bartomeu ini kes ini mungkin akan terbongkar selepas siasatan dijalankan atau ini hanya sekadar satu tuduhan semata-mata.

Josep Maria Bartomeu telah melepaskan jawatan Presiden Barcelona pada bulan Oktober 2020 selepas terlibat dengan perbahana saga perpindahan Lionel Messi.

Desakan memuncak untuk Josep Maria Bartomeu berundur selepas Lionel Messi membuat permohonan untuk berpindah kelab.

BACA:  Salah Dinasihatkan Tolak Tawaran Real Madrid & Barcelona Untuk Menjadi Legenda Liverpool