Ini Sebab Mengapa Arsenal Tidak Memerlukan Seorang Penyerang Tulen

Evolusi Pep Guardiola sebagai pengurus boleh diringkaskan dengan fakta bahawa tindakan signifikan pertamanya adalah mempopularkan konsep “false No. 9” (penyerang bayangan), manakala tindakan signifikan terbarunya adalah menghidupkan semula peranan “true No. 9” (penyerang tulen).

Cara penggunaan Lionel Messi oleh Guardiola di Barcelona menjadi cukup berjaya kerana Messi merupakan pemain luar biasa, mungkin yang terbaik dalam sejarah bola sepak. Seperti yang sering berlaku dalam sejarah sukan ini, ramai yang cuba meniru sistem revolusi ini tanpa memiliki pemain yang setaraf dengan Messi.

Memang benar Barcelona beraksi tanpa penyerang tengah tradisional tetapi Messi masih mampu mencipta rekod jaringan. Pasukan lain yang meniru gaya ini hanya menambah midfielder tambahan. Malah, apabila pasukan kebangsaan Sepanyol menggunakan rakan sepasukan Messi di Barcelona, Cesc Fabregas sebagai “false 9”, pendekatan mereka lebih bersifat defensif.

Pasukan-pasukan lain terlalu fokus pada fakta Messi bukan penyerang tulen tetapi mengabaikan hakikat dia masih menjaringkan gol dengan prolifik. Sebenarnya, pasukan yang terbaik memerlukan seseorang yang boleh menghubungkan permainan serta menjaringkan gol.

Sama ada Erling Haaland berada dalam kategori yang sama dengan Messi masih belum dapat dipastikan tetapi jelas bahawa dia juga seorang pemain luar biasa.

Pada musim debutnya bersama Manchester City (2022-23), Haaland menjaringkan 36 gol liga. Ia merupakan rekod tertinggi dalam satu musim sejak liga itu dikenakan semula pada awal 1990-an. Dengan purata 0.91 gol setiap perlawanan, kadar jaringannya adalah yang terbaik dalam sejarah liga itu. Jika dia kekal bersama City sehingga kontraknya tamat pada 2034, dia mungkin akan memecahkan rekod Alan Shearer sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 260 gol.

Melihat kejayaan individu Haaland di hadapan gol, peminat kelab besar lain tentunya menginginkan penyerang sepertinya untuk pasukan mereka.

Dua nama yang sering disebut sebagai calon utama ialah Viktor Gyokeres dan Alexander Isak. Secara kebetulan kedua-duanya berasal dari negara Scandinavia seperti Haaland. Namun, permintaan mendadak untuk mendapatkan penyerang tulen dengan bayaran tinggi sebenarnya mengabaikan banyak bukti.

Statistik individu Haaland memang luar biasa tetapi kesannya terhadap pasukan City secara keseluruhan boleh diperdebatkan.

Sejak kedatangannya, jumlah jaringan keseluruhan City di Liga Perdana untuk setiap musim telah menurun kepada 94 dan 96 gol dalam dua musim terakhirnya, berbanding 99 gol pada musim sebelum Haaland menyertai pasukan itu. City juga telah bolos lebih banyak gol (33 dan 34, berbanding 26 pada musim 2021-22), menang lebih sedikit perlawanan (28 setiap musim, berbanding 29) dan mengumpul mata yang lebih rendah (89 dan 91 mata, berbanding 93).

Benar, City berjaya memenangi Liga Juara-Juara selepas kehadiran Haaland, sesuatu yang mereka gagal lakukan sebelum ini. Namun sama ada Haaland benar-benar menjadi faktor penentu kejayaan itu boleh dipersoalkan kerana dia tidak menjaringkan sebarang gol selepas peringkat suku akhir.

Semua ini tidak boleh diletakkan di bahu Haaland semata-mata. Dia telah menjalankan tugasnya dengan sangat baik. Tetapi pemain lain dalam pasukan telah kehilangan sentuhan dan tidak seperti yang dilakukan Guardiola terhadap Sergio Aguero yang mengubahnya daripada sekadar penyudah pantas kepada pemain yang mampu menghubungkan permainan dan Haaland masih belum menunjukkan perkembangan serupa.

Bukan hanya mengenai Haaland,  pengalaman kelab-kelab besar lain dalam lima tahun terakhir menunjukkan bahawa membina pasukan di sekitar seorang penyerang No. 9 tulen boleh membawa kesan negatif.

Contoh dari kelab lain:

  • Manchester United: Di bawah Ole Gunnar Solskjaer, mereka meningkat selepas melepaskan Romelu Lukaku dan memanfaatkan Marcus Rashford serta Anthony Martial. Kedua pemain ini masing-masing menjaringkan 17 gol liga pada musim 2019-20. Bruno Fernandes turut menyumbang 26 gol dalam satu setengah musim pertamanya. Namun, apabila mereka membeli semula Cristiano Ronaldo pada usia 36 tahun, pasukan kehilangan keseimbangan, prestasi pemain lain merosot dan United jatuh ke tempat ke-6 pada musim berikutnya.
  • Chelsea: Mereka memenangi Liga Juara-Juara 2020-21 tanpa penyerang tulen, kemudian membawa semula Lukaku untuk mengisi kelemahan yang dilihat dalam pasukan. Namun, pasukan menjadi lebih tidak seimbang dan lebih jauh dari menjuarai liga.
  • Arsenal: Ketika Pierre-Emerick Aubameyang, seorang penyudah klinikal menjaringkan 22 gol dalam dua musim berturut-turut, Arsenal kekal sebagai pasukan yang biasa-biasa sahaja. Peningkatan mereka sebagai pencabar kejuaraan berlaku selepas Mikel Arteta menggantikannya dengan Alexandre Lacazette (yang kurang menjaringkan gol tetapi lebih membantu rakan sepasukan) kemudian Gabriel Jesus, dan kini Kai Havertz.
  • Liverpool: Mereka mencapai kemuncak di bawah Jurgen Klopp dengan Roberto Firmino sebagai pemain penghubung, membantu Mohamed Salah dan Sadio Mane. Ketika memenangi liga pada 2019-20, Firmino hanya menjaringkan 1 gol di Anfield. Liverpool merosot apabila Darwin Nunez, seorang penyerang tradisional mula menjadi pilihan utama. Kini mereka kembali berbahaya dengan Cody Gakpo atau Luis Diaz di barisan hadapan.
  • Tottenham: Selepas menjual Harry Kane, mereka tidak menggantikannya dengan penyerang baru, tetapi tetap meningkatkan jumlah jaringan dan kutipan mata pada musim pertama tanpa Kane.

Banyak lagi contoh boleh diberikan. Brentford dan Fulham yang membina permainan mereka di sekitar satu penyerang utama, tidak mengalami kemerosotan besar selepas kehilangan Ivan Toney dan Aleksandar Mitrovic. Malah Bournemouth bermain lebih baik selepas kehilangan penyerang utama mereka.

Namun, ada pengecualian dalam kes seperti Chris Wood di Nottingham Forest yang masih berjaya memberikan impak besar dengan gaya permainan yang lebih klasik.

Kesimpulannya, seorang penyerang tajam di dalam kotak penalti masih penting tetapi pasukan tidak sepatutnya bergantung sepenuhnya kepada mereka. Yang lebih ideal adalah penyerang yang bukan sahaja menjaringkan gol tetapi juga mampu menghubungkan permainan. Lebih baik mempunyai beberapa pemain yang mampu menjaringkan gol dalam angka dua digit setiap musim.

Dalam konteks ini, perbandingan antara Haaland dan Nunez agak menarik. Haaland jelas lebih prolifik melalui 81 gol Liga Perdana berbanding 24 gol oleh Nunez sejak musim panas 2022. Namun dalam hal peranan mereka dalam pasukan, kelab-kelab besar mungkin lebih perlu mencari seseorang seperti Nunez, seorang pemain yang boleh dimasukkan sebagai alternatif daripada seseorang seperti Haaland yang perlu dimainkan dalam setiap perlawanan.

Sebagai contoh, apabila Nunez menjaringkan dua gol pada masa kecederaan sebagai pemain gantian ketika menentang Brentford, jurulatih Liverpool tidak memberinya tempat dalam kesebelasan utama pada perlawanan berikutnya.

Kerana itulah peranan ideal pemain seperti dia: sebagai pilihan alternatif bukan pilihan utama.

BACA:  Video: Rangkuman Aksi Dungu Darwin Nunez Bersama Benfica Dan Uruguay