Konflik Antara Abramovich dan Kerajaan UK, Duit Jualan Chelsea Masih Dibekukan
Tiga tahun selepas Chelsea Football Club dijual, hasil jualan sebanyak £2.5 bilion lagi masih dibekukan dalam akaun bank di UK. Wang itu sepatutnya digunakan untuk tujuan kemanusiaan dalam perang Rusia-Ukraine meletus tetapi sehingga kini tiada perkembangan lanjut mengenainya.
Latar Belakang Isu
Bekas pemilik Chelsea, Roman Abramovich terpaksa menjual kelab itu selepas kerajaan UK mengenakan sekatan ke atasnya berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022. Pada 2 Mac tahun yang sama, Abramovich mengeluarkan kenyataan bahawa hasil jualan bersih Chelsea akan didermakan kepada mangsa perang di Ukraine.
Ketika itu, kerajaan UK di bawah pimpinan Boris Johnson melabelkan Abramovich sebagai oligarki pro-Kremlin, iaitu individu kaya yang rapat dengan kerajaan Rusia. Disebabkanitu, syarat utama jualan Chelsea adalah Abramovich tidak boleh mendapat sebarang keuntungan daripada penjualan tersebut.
Pada Mei 2022, Chelsea dijual kepada Clearlake Capital dan Todd Boehly dengan harga £2.5 bilion tetapi sehingga hari ini, wang itu masih tidak digunakan.
Mengapa Dana Masih Dibekukan?
Suruhanjaya Amal UK mengesahkan bahawa belum ada permohonan dibuat untuk menubuhkan yayasan bagi menguruskan wang tersebut. Perbincangan antara kerajaan UK dan wakil Abramovich masih berlarutan.
Salah satu sebab utama kelewatan ini ialah perbezaan pendapat mengenai cara wang tersebut perlu diagihkan.
- Abramovich mahu dana itu digunakan bukan sahaja untuk mangsa Ukraine tetapi juga untuk askar Rusia dan tujuan amal lain di luar Ukraine.
- Kerajaan UK, yang kini dipimpin oleh Keir Starmer dari Parti Buruh tetap berpegang bahawa wang ini hanya boleh digunakan untuk bantuan kemanusiaan di Ukraine.
Ahli Parlimen Parti Buruh, Emily Thornberry mengkritik situasi ini dengan berkata:
“Adalah tidak masuk akal £2.5 bilion disekat daripada mangsa perang Ukraine hanya kerana Abramovich masih bertelagah mengenai perjanjian yang telah dipersetujui.”
Tekanan Antarabangsa dan Bantuan kepada Ukraine
Perbincangan mengenai perang Ukraine semakin hangat selepas bekas Presiden AS, Donald Trump membuat kenyataan kontroversi dengan menyalahkan Ukraine sebagai punca perang. Selain itu, pertemuan antara Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy baru-baru ini berakhir dengan pertelingkahan terbuka.
Dalam perkembangan lain, kerajaan UK mengumumkan bantuan lebih £2 bilion kepada Ukraine, menggunakan keuntungan daripada aset Rusia yang telah dirampas. Namun, sumber dari Perbendaharaan UK menegaskan bahawa dana hasil jualan Chelsea tidak berkaitan dengan bantuan ini.
Tindakan Penyokong Chelsea
Sebelum perlawanan Chelsea menentang Southampton di Stamford Bridge, sekumpulan penyokong Chelsea melakukan protes terhadap pemilik baharu kelab, Todd Boehly dan Clearlake Capital. Mereka juga menyanyikan lagu yang memuji Abramovich sebagai bekas pemilik kelab.
Apa Akan Terjadi Seterusnya?
Kerajaan UK menyatakan bahawa mereka sedang berusaha untuk mempercepatkan proses pengagihan dana ini. Namun, tanpa persetujuan antara Abramovich dan kerajaan UK, tiada yayasan boleh ditubuhkan untuk menguruskan wang tersebut.
CEO badan amal Ukraine Relief, Karol Swiacki menegaskan kepentingan dana ini untuk membantu rakyat Ukraine.
“Lebih sejuta orang di Ukraine kini hidup tanpa bekalan elektrik, air bersih dan gas. Ia adalah bencana. Satu-satunya pihak yang harus dibantu ialah Ukraine.”
Buat masa ini, wakil Abramovich masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai isu ini.